Peminat sukan permotoran di sini boleh meraikan kemeriahan suasana di litar sedikit lebih awal pada 2026 dengan kehadiran pameran Formula Satu (F1) di Singapura pada Julai ini.

Menandai penampilan pertamanya di Asia, pameran itu akan dibuka pada 23 Julai di Gardens by the Bay, kata F1 dalam kenyataan media pada 10 Jun.

Para peminat boleh menikmati pameran imersif yang meneroka masa lalu, masa kini dan masa depan F1, meraikan sejarah sukan tersebut yang merentasi 76 tahun.

Pengunjung juga dijangka mendapat gambaran luar biasa mengenai inovasi, kejuruteraan, personaliti dan waktu penentu yang telah membentuk Kejuaraan Dunia Formula Satu Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), kata F1.

Sebagai tuan rumah perlumbaan malam pertama F1, Singapura merupakan latar yang sesuai untuk debut Asia pameran itu, tambahnya.

Salah satu tarikan utama pameran itu ialah serpihan kereta Haas Romain Grosjean dari kemalangan di Bahrain pada 2020.

Ia turut dipamerkan bersama sarung tangan dan but bekas pemandu F1 tersebut. 

Singapura akan menjadi bandar ke-11 menjadi tuan rumah pameran tersebut, yang sebelum ini singgah di Madrid (Sepanyol), Vienna (Austria), Toronto (Canada), London (England), Oberhausen (Jerman), Amsterdam (Belanda) dan Buenos Aires (Argentina), serta telah menarik lebih 1.3 juta pengunjung setakat ini.

“Pengunjung akan berpeluang mengenang semula detik-detik istimewa Grand Prix Singapura, termasuk paparan kereta Red Bull RB7 milik Sebastian Vettel, kereta yang membawa beliau meraih kemenangan di Singapura pada 2011 dan seterusnya menjadi juara dunia,” kata Pengarah Urusan TEG Experiences, Encik Shane Harmon, sebuah syarikat hiburan langsung bersepadu yang terlibat dalam membawa pameran itu ke sini.

Senarai menunggu untuk akses prajualan eksklusif kini telah dibuka.

Prajualan akan bermula pada 9 pagi pada 17 Jun selama 47 jam, sebelum tiket untuk orang awam dikeluarkan pada 9 pagi pada 19 Jun, kata F1.

Peminat boleh menyertai senarai menunggu melalui laman web pameran F1.

Harga tiket pameran bermula pada $29 bagi mereka yang berusia antara lima dengan 12 tahun.

Mereka yang berusia 13 hingga 17 tahun perlu membayar $40, manakala mereka yang berusia 18 tahun ke atas akan dikenakan bayaran $49 bagi setiap tiket.