Topik diikuti
Pergi ke BHkuKimi Antonelli kekal tenang tawan Grand Prix Monaco
Kimi Antonelli kekal tenang tawan Grand Prix Monaco
Kimi Antonelli kekal tenang tawan Grand Prix Monaco
MONACO: Pendahulu kejuaraan Formula Satu, Kimi Antonelli, kekal tenang untuk memenangi Grand Prix Monaco yang huru-hara, sekali gus melanjutkan rekod kemenangannya musim ini kepada yang kelima berturut-turut, pada 7 Jun.
Pelumba dari Italy berusia 19 tahun itu membina jurang pendahuluan melebihi 20 saat selepas bermula dari petak pertama dalam kereta Mercedes.
Bagaimanapun, kelebihan itu lenyap selepas kereta keselamatan dikeluarkan.
Ia kemudian disusuli pengibaran bendera merah untuk kerja membaiki permukaan litar yang rosak di selekoh terakhir selepas pemandu Ferrari, Charles Leclerc, melanggar penghadang.
Selepas penangguhan selama 40 minit bagi kerja pembaikan berhampiran La Rascasse selesai, perlumbaan diteruskan dengan permulaan berdiri atau ‘standing start’, di mana semua kenderaan dalam keadaan tidak bergerak.
Sama seperti permulaan pertama awal sebelum itu, Antonelli langsung tidak goyah dan terus memandu dengan sempurna sepanjang lapan pusingan terakhir untuk meraih gelaran pemenang termuda dalam sejarah perlumbaan paling ikonik sukan itu.
Pemandu Ferrari, Lewis Hamilton, menduduki tempat kedua untuk Grand Prix kedua berturut-turut, manakala pelumba Red Bull, Isack Hadjar, meraih tempat ketiga.
Kedudukan podium kedua dalam kerjayanya itu hanya disahkan lama selepas perlumbaan itu tamat, apabila pegawai perlumbaan mengesahkan pasukannya bersih daripada sebarang pelanggaran peraturan.
Hamilton, yang menyamai rekod mendiang Ayrton Senna dengan lapan podium di Monaco, memintas rakan sepasukan Antonelli, George Russell, untuk menduduki tempat kedua dalam carta keseluruhan, ketinggalan 66 mata di belakang pendahulu.
Russell mengharungi hari yang malang selepas dikenakan penalti pandu lalu kerana gagal mematuhi penalti lima saat akibat memandu melebihi had laju di lorong pit.
Kesilapan itu menyebabkannya menamatkan perlumbaan di luar zon mata buat kali kedua berturut-turut selepas menarik diri di Canada.
Beliau merupakan salah seorang daripada lima pemandu yang dikenakan penalti kerana memandu melebihi had laju di lorong pit, termasuk pelumba Alpine, Pierre Gasly, yang pada asalnya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, namun diturunkan serta-merta ke tempat ketujuh selepas dikenakan dua penalti selama lima saat atas kesalahan yang sama.
Setahun selepas menamatkan perlumbaan di tempat terakhir pada penampilan sulungnya di Monaco, Antonelli menunjukkan kematangan yang luar biasa untuk mengetepikan drama bendera merah.
“Ia adalah satu hujung minggu dan perlumbaan yang sukar dipercayai,” kata Antonelli, yang belum dilahirkan pun ketika kali terakhir pelumba Italy memenangi Grand Prix Monaco, iaitu Jarno Trulli pada 2004.
“Saya sebenarnya tidak begitu gemar perlumbaan dimulakan semula, tetapi sebaik sahaja pemberitahuan keluar, saya cuba kembali fokus.
“Selepas berjaya memecut dan mengekalkan kedudukan pertama di selekoh pertama, saya dapat menikmati pusingan terakhir,” tambahnya.
Juara dunia tujuh kali, Hamilton – yang memegang rekod pemenang termuda Monaco sebelum ini ketika memenanginya pada 2008 pada usia 23 tahun – masih belum memenangi perlumbaan sejak menyertai Ferrari pada 2025, namun meneruskan kebangkitannya pada usia 41 tahun.
“Dah banyak sangat menang ni, kawan!” seloroh Hamilton bersama pelumba baharu F1 itu di dalam bilik bertenang.
“Beliau mengingatkan saya kepada diri saya sendiri ketika 2007,” ujar Hamilton. – Reuters.
