Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pameran tawar pekerjaan dekat rumah bagi penduduk CDC South East

Feb 23, 2025 | 5:48 PM
Encik Fahmi Aliman di reruai Generation Singapore, antara majikan yang menyertai Learning Neighborhood 2025 @ South East pada 23 Februari. Acara itu menawarkan peluang pekerjaan dan pembelajaran kemahiran dekat dengan penduduk.
Encik Fahmi Aliman di reruai Generation Singapore, antara majikan yang menyertai Learning Neighborhood 2025 @ South East pada 23 Februari. Acara itu menawarkan peluang pekerjaan dan pembelajaran kemahiran dekat dengan penduduk. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, menggalak pencari kerja mendakap pembelajaran sepanjang hayat serta menyesuaikan diri dalam pasaran pekerjaan yang semakin berubah.

Beliau menggalak penduduk meneroka peluang baru di luar zon selesa mereka.

Encik Fahmi berkata demikian di pameran kerja ‘Learning Neighborhood 2025 @ South East’ di Heartbeat@Bedok, yang menarik lebih 4,500 penduduk yang mencari peluang pekerjaan dan peningkatan kemahiran.

Dianjurkan oleh Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLI) dan Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, inisiatif itu menghimpunkan majikan, penyedia latihan dan penasihat kerjaya untuk membantu penduduk mendapatkan pekerjaan yang stabil lebih dekat dengan rumah mereka.

Acara itu bertujuan membina ekosistem pekerjaan mampan demi memastikan penduduk dapat bekerja atau menjalani latihan pembangunan kerjaya tanpa perlu melakukan perjalanan jauh.

Encik Fahmi berkata penduduk tidak boleh leka dalam satu-satu pekerjaan, sebaliknya harus menerima peluang baru sebagai respons kepada perubahan industri.

“Industri logistik dan hospitaliti adalah antara sektor utama pertumbuhan. Terminal baru Lapangan Terbang Changi yang bakal dibuka akan menjana banyak peluang pekerjaan dalam industri hotel dan industri berkaitan,” katanya.

“Acara ini berfungsi sebagai platform untuk penduduk mencari peluang pekerjaan dan kursus latihan yang berkaitan, memastikan penduduk kekal berdaya kerja dalam landskap pekerjaan yang dinamik,” tambahnya.

“Kami juga memberi tumpuan untuk menjadikan peluang ini lebih mudah diakses, terutamanya bagi penjaga dan pekerja yang lebih berusia.”

Beliau menarik perhatian mengenai cabaran yang dihadapi penduduk yang kembali bekerja selepas tidak bekerja bagi satu tempoh tertentu, atau mereka yang mempunyai tanggungjawab menjaga anggota keluarga. Bagi golongan itu, terdapat pilihan latihan fleksibel dan sokongan kerjaya untuk membantu mereka kembali ke alam pekerjaan, kata Encik Fahmi.

Menerusi temu duga dan bengkel pekerjaan di pameran itu, acara tersebut menyediakan laluan mendapat kerja secara langsung, dengan sekitar 15 hingga 16 peratus peserta mengambil langkah seterusnya untuk mendapatkan pekerjaan.

Majikan yang menyertai pameran itu termasuk BlueSG Pte Ltd, Harilela Hospitality Pte Ltd, SIA Engineering Company dan FindSGJobs Career Resources Station.

Encik Fahmi juga menekankan kepentingan memastikan pekerja yang berusia kekal yakin dan berdaya saing dalam tenaga kerja.

“Ramai warga emas kita masih sihat dan bersemangat untuk menyumbang kepada ekonomi. Justeru, kita mesti menyediakan mereka dengan latihan dan sokongan yang diperlukan untuk memastikan mereka relevan dalam pasaran kerja hari ini,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg