Apabila Cik Siti Hajar Ramli menerima panggilan telefon yang memaklumkan beliau merupakan pemenang bertuah wang tunai $30,000, beliau terasa geram dan hampir mematikan talian telefon kerana menyangka ia hanyalah satu panggilan penipuan atau ‘scam’.

Ibu lima anak berusia antara empat dengan 16 tahun itu, sama sekali tidak menduga rezeki tidak salah alamat dengan wang tunai tersebut merupakan kemenangan tempat kedua yang diraih dalam Cabutan Bertuah Selamat Hari Raya tahunan, anjuran rangkaian pasar raya Sheng Siong.

Cik Siti Hajar, 41 tahun, yang menjalankan perniagaan makanan dari rumah, telah membeli bahan-bahan masakan sepanjang Ramadan di salah sebuah cawangan Sheng Siong sebelum menghantar penyertaannya bagi cabutan bertuah tersebut.

Cabutan bertuah yang telah dianjurkan selama lebih 10 tahun itu berlangsung dari 20 Februari hingga 16 April 2026 dan menawarkan wang tunai serta hadiah keseluruhan bernilai $400,000.

Selain Cik Siti Hajar, pemenang hadiah pertama, Koh Joo Leng, 72 tahun, membawa pulang $50,000, manakala pemenang hadiah ketiga, Encik Oh Siew Choon menerima $20,000.

Hadiah lain termasuk 20 hadiah sagu hati bernilai $1,000 setiap satu serta 1,000 set pinggan mangkuk Corelle.

“Saya sudah menerima banyak panggilan ‘scam’ yang cuba memperdaya sejak kebelakangan ini. Apabila menerima panggilan itu, saya dah nak marah orang yang menelefon itu.

“Selepas diberitahu saya memenangi hadiah kedua, saya masih tidak percaya dan terus bertanya sama ada ia panggilan ‘scam’?

“Sambil bercakap dengannya, saya semak nombor telefon itu di Google dan mendapati ia memang nombor ibu pejabat Sheng Siong,” cerita Cik Siti Hajar.

Cik Siti Hajar, seorang suri rumah sejak sedekad lalu, menjalankan perniagaan makanan dari rumah sejak 2017.

Menurutnya, beliau kerap membeli bahan masakan di cawangan Sheng Siong Junction 10, di kawasan kejiranan Bukit Panjang, terutama apabila memerlukan bahan pada saat-saat akhir bagi memenuhi tempahan pelanggan.

Ketika beliau menghantar borang penyertaan, anak perempuannya turut mengajaknya berdoa agar tuah menyebelahi mereka.

Ketika ditanya kegunaan wang kemenangan itu, Cik Siti Hajar menjelaskan ia akan digunakan untuk membantu meringankan bebanan suaminya, seorang teknisyen, selain bakal disimpan bagi keperluan keluarga.