PAP perkenal calon simpanan GE2025 di Tampines dan Punggol

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PAP perkenal calon simpanan GE2025 di Tampines dan Punggol

Feb 1, 2026 | 11:09 PM

PAP perkenal calon simpanan GE2025 di Tampines dan Punggol

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Peguam syarikat, Encik Ahmad Firdaus Daud (kiri), kini merupakan Naib Pengerusi cawangan PAP Punggol North, manakala usahawan Encik Mustaffa Kamal (kanan) dilihat bersama cawangan PAP Tampines Central.
Peguam syarikat, Encik Ahmad Firdaus Daud (kiri), kini merupakan Naib Pengerusi cawangan PAP Punggol North, manakala usahawan Encik Mustaffa Kamal (kanan) dilihat bersama cawangan PAP Tampines Central. - Foto HARFA ABDUL KARIM, BH

Dua calon simpanan PAP daripada Pilihan Raya Umum (GE) Mei 2025 telah mula turun padang di Tampines dan Punggol, kurang setahun selepas pilihan raya tersebut.

Peguam syarikat, Encik Ahmad Firdaus Daud, yang sebelum ini menjadi sukarelawan di GRC Nee Soon, kini merupakan Naib Pengerusi cawangan PAP Punggol North, manakala usahawan, Encik Mustaffa Kamal pula dilihat bersama cawangan PAP Tampines Central.

Beliau sebelum ini merupakan sukarelawan di Joo Chiat.

Kededuanya telah kerap menghadiri Sesi Bertemu Penduduk (MPS) mingguan, anjuran parti dan telah dirakam bergambar bersama Anggota Parlimen (AP) GRC masing-masing pada acara masyarakat sejak akhir 2025.

Menurut laporan The Straits Times (ST), para penganalisis berkata kededua individu ini mungkin telah dikerahkan lebih awal ke kawasan pilihan raya yang sengit bagi mempertajam keupayaan mereka serta membina keakraban dan kehadiran akar umbi menjelang pilihan raya umum seterusnya, yang dijadualkan pada atau sebelum 2030.

Langkah ini turut mencerminkan perubahan strategi parti untuk membolehkan calon berpotensi turun padang lebih awal, di samping mengakui kritikan lalu bahawa calon sering “diterjunkan” pada saat-saat akhir sebelum pilihan raya, kata para penganalisis.

Perkembangan ini menyusuli kenyataan Perdana Menteri Encik Lawrence Wong pada Julai 2025 bahawa parti pemerintah telah mula mencari calon-calon berpotensi, supaya mereka boleh mula membina kehadiran akar umbi lebih awal.

Menampilkan calon lebih awal akan membolehkan mereka menimba pengalaman dan pendedahan di lapangan, sambil dinilai oleh parti dan orang ramai sama ada mereka benar-benar bersedia untuk berkhidmat sebagai AP, kata Encik Wong, yang juga Setiausaha Agung PAP.

Pada Pilihan Raya Umum (GE) 2025, parti itu menampilkan beberapa wajah baru lebih awal, namun sebahagian daripada mereka diperkenalkan “agak lewat” dalam proses tersebut, katanya ketika itu, sambil menambah parti akan menangani perkara ini dengan lebih baik.

Encik Firdaus, 42 tahun, dan Encik Mustaffa, 41 tahun, merupakan calon simpanan yang dipaparkan dalam grafik calon PAP semasa pelancaran manifesto parti pada 17 April 2025, kira-kira dua minggu sebelum pengundian.

Mereka merupakan dua daripada tiga individu yang dipaparkan dalam grafik tersebut tetapi tidak bertanding di bawah panji parti.

Individu ketiga ialah aktivis kesatuan sekerja, Cik Natasha Choy.

Beliau tidak sering kelihatan di lapangan, namun dirakam bergambar pada Januari 2026 bersama Menteri Pendidikan dan Pengerusi PAP, Encik Desmond Lee, semasa lawatan parti ke China.

Tampines dan Punggol kekal sebagai kawasan sensitif dari segi politik sejak GE lalu, dan berkemungkinan akan terus begitu, kata pemerhati politik bebas, Dr Felix Tan.

PAP menang dengan majoriti kecil ke atas Parti Pekerja (WP) dalam persaingan sengit di kawasan-kawasan tersebut, termasuk kemenangan kedua paling rapat pilihan raya itu di Tampines, yang membawa calon WP, Cik Eileen Chong, ke Parlimen sebagai AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP).

Memandangkan kemaraan ketara pembangkang di kawasan-kawasan ini, parti mungkin melihat nilai strategik dalam membolehkan Encik Firdaus dan Encik Mustaffa memantapkan kehadiran mereka di lapangan lebih awal, kata Dr Tan.

“Dalam landskap politik yang berubah, langkah ini mengukuhkan keakraban dan daya tahan menjelang persaingan sengit pilihan raya akan datang.”

Profesor Madya Eugene Tan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata PAP jelas memilih untuk menempatkan calon berpotensi di lapangan lebih awal.

Ini membolehkan parti menilai kesesuaian calon-calon ini dengan lebih tepat bagi GE seterusnya, sekali gus mengelakkan keputusan tergesa-gesa.

Ia juga memberi calon berpotensi peluang menimba pengalaman, melibatkan diri dengan penduduk serta memahami isu setempat dengan lebih mendalam, sambil membolehkan penduduk mengenali mereka dengan lebih baik, katanya.

Dengan lebih banyak masa di lapangan, mereka juga dapat menilai kesesuaian politik untuk diri mereka serta keupayaan bertahan dalam “kancah politik yang keras dan mencabar”, kata Profesor Madya Tan.

“Kesimpulannya, penugasan awal ini menguntungkan parti, calon dan masyarakat,” tambah beliau.

Seorang lagi calon berpotensi PAP yang bertukar kawasan bagi GE 2025 ialah usahawan Cik Chua Wei-Shan, yang berusia dalam lingkungan 30-an tahun.

Beliau, bersama Cik Choy, Encik Firdaus dan Encik Mustaffa, tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap pertanyaan media.

Sebelum GE, Cik Chua merupakan pemangku pengerusi cawangan bagi kawasan West Coast di GRC West Coast dan sering dilihat bersama AP di kawasan tersebut.

Namun, beliau tidak ditampilkan sebagai calon pada Mei 2025.

Sejak pilihan raya itu, beliau telah dilihat di GRC Chua Chu Kang bersama Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.

Cik Chua dan Encik Firdaus juga telah dilantik sebagai penasihat akar umbi kedua di kawasan masing-masing.

Bekas AP PAP, Encik Inderjit Singh, berkata adalah lazim bagi parti mempunyai calon berpotensi yang akhirnya tidak ditampilkan, kerana strategi sebelum ini adalah menampilkan lebih ramai calon daripada jumlah kerusi Parlimen.

Beliau turut berkata PAP jarang memutuskan jumlah AP yang akan bersara lebih awal, sebahagiannya supaya pembangkang tidak dapat menjangka strategi parti menjelang GE.

“Siapa yang akan ditampilkan hanya ditentukan pada saat akhir, bergantung kepada siapa dan dari kawasan mana yang bersara,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg