Perdebatan antara Parti Tindakan Rakyat (PAP) dengan Parti Pekerja (WP) berterusan dalam talian mengenai cadangan ekonomi WP berikutan ulasan mantan Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan), Encik Lee Yi Shyan.

Dalam hantaran Facebook pada 16 Ogos, Encik Lee berkata WP dilihat mengemukakan pendekatan ekonomi yang berbeza daripada pemerintah menerusi usul di Parlimen pada 5 Ogos.

WP membentangkan usul mengenai masa depan ekonomi Singapura dan menawarkan “rangka tindakan ekonomi” tersendiri.

“Namun, apabila diteliti, sering kali tiada rancangan yang jelas, selaras dan berasas kukuh di sebalik cadangannya.

“Ini bukan perbahasan dasar yang serius, sebaliknya sekadar mengambil kesempatan politik,” kata Encik Lee.

Encik Lee menyandang jawatan sebagai Menteri Negara Kanan dari 2012 hingga 2015.

Beliau bersara daripada politik sebelum Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020).

Hantaran beliau dikongsi menteri-menteri yang masih berkhidmat, termasuk Encik K. Shanmugam, Encik Chee Hong Tat dan Encik Ng Chee Meng.

Encik K. Shanmugam berkata WP mengubah pendiriannya selepas mengemukakan pandangan mengenai ekonomi, manakala Encik Chee bersetuju sepenuhnya dengan pandangan Encik Lee.

Kenyataan Encik Lee mendapat maklum balas Anggota Parlimen (AP) WP, Encik Kenneth Tiong dan Encik Jamus Lim, yang mengemukakan usul tersebut.

Encik Tiong (GRC Aljunied), berkata menerusi media sosial pada 16 Ogos, Encik Lee telah memberi gambaran yang tidak tepat tentang hujah WP serta mengemukakan “pilihan palsu antara dua kemungkinan” mengenai pengorbanan yang perlu dibuat.

Antara pertikaian utama ialah peranan syarikat berbilang negara (MNC) dalam ekonomi Singapura.

Encik Lee berkata Encik Tiong menyeru ekonomi dipacu syarikat dan permintaan tempatan, manakala Encik Lim mahu Singapura “kurang bergantung” pada pertumbuhan diterajui MNC asing dan beralih kepada syarikat kecil dan sederhana (SME).

Encik Lee berkata beliau “terkejut” dengan hujah itu. Walaupun Singapura mahukan syarikat tempatan yang berdaya maju dan permintaan tempatan yang sihat, kedua-duanya tidak dapat menggantikan pelaburan asing dan pasaran dunia.

Beliau mendakwa Encik Tiong dan Encik Lim akhirnya “berundur daripada pendirian mereka” apabila WP menerima pindaan PAP yang menegaskan kepentingan syarikat antarabangsa, perusahaan tempatan serta permintaan luar dan dalam negara.

Pada 5 Ogos, WP menerima tiga daripada empat pindaan AP PAP, Encik Edward Chia, tetapi akhirnya menolak usul yang dipinda selepas tidak bersetuju dengan pindaan pertama yang menyelaraskannya dengan Semakan Strategi Ekonomi (ESR) pemerintah.

Pada 16 Ogos, Encik Tiong berkata WP tidak mencadangkan pilihan antara perusahaan tempatan dengan MNC dan Encik Lee telah menyalah tafsir pendirian WP.

Encik Tiong mengulangi penjelasan WP di Parlimen kepada Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, yang ketika itu memberi maklum balas terhadap ucapan WP, bahawa parti itu tidak membuat “pilihan palsu antara dua kemungkinan” tersebut.

Sebaliknya, WP mahu melonjakkan perusahaan tempatan menerusi sokongan langsung bagi syarikat baharu, pinjaman kepakaran, potongan cukai penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang lebih luas, geran untuk menyamai gaji permulaan MNC dan latihan amali berasaskan Jerman.

Tiada satu pun dasar ini menguntungkan satu pihak dengan merugikan pihak lain.

Encik Tiong menambah bahawa WP tidak berkata permintaan tempatan sahaja mampu memacu ekonomi Singapura dan menolak dakwaan Encik Lee bahawa WP telah “berundur daripada pendiriannya”.

Encik Lee pula berkata persetujuan WP bahawa Singapura mesti terus menarik MNC bermakna perbezaan pendapat kini tertumpu pada langkah untuk SME dan cara memperbaiki skim semasa.

“Itu semua isu yang wajar diperdebatkan,” kata Encik Lee. “Namun, ia bukan strategi ekonomi yang pada asasnya berbeza. Selepas segala gembar-gembur mengenai ‘peralihan’ dan ‘perubahan’, akhirnya ia sekadar kecoh tentang perkara remeh-temeh.”

Encik Lee turut berkata WP “sentiasa memilih pendirian yang lebih mudah dari segi politik”.

Beliau berkata “pendekatan” WP ialah menuntut lebih banyak apabila dasar pemerintah mendapat sambutan dan menentangnya apabila kurang diterima, sambil meremehkan kesan cadangan lain yang ditawarkan.

“Ini bukan sekadar perbezaan dalam penyesuaian dasar,” katanya, sambil menambah bahawa satu-satunya perbezaan dasar sebenar antara kedua-dua parti ialah penggunaan simpanan Singapura.

Beliau berkata PAP mahu simpanan negara dilindungi untuk generasi akan datang, manakala WP mahu ia digunakan untuk pengundi hari ini.

Encik Lim, AP GRC Sengkang, berkata: “Jika wawasan kami digambarkan secara tidak tepat, tidak hairanlah ia kelihatan kurang meyakinkan.”

Beliau menambah bahawa beliau “kecewa kerana PAP memilih permainan kata berbanding isi, sedangkan ia boleh menjadi perbahasan mendalam mengenai ekonomi”.

Dalam hantarannya pada 17 Ogos, Encik Lim turut mengulangi hujah ekonomi partinya serta pendiriannya mengenai MNC dan SME.

Encik Lim menegaskan, dalam hantaran pada 17 Ogos, WP tidak mahu mengurangkan penekanan terhadap MNC, tetapi memberi amaran pendekatan semasa akan menghadapi pulangan semakin berkurangan.

Singapura, katanya, perlu menghidupkan “enjin inovasi yang dipacu SME”.

Kedua-dua pihak turut menekankan kepentingan perbahasan politik ketika Singapura berdepan cabaran politik sejagat.

Encik Tiong berkata demokrasi dibina atas persaingan idea, manakala Encik Lee berkata cadangan dasar yang berwibawa mesti menghadapi pilihan dan pengorbanan serta jujur tentang kesannya.

Encik Tiong berkata WP membentangkan usul itu dengan niat baik, “mengenai persoalan yang memerlukan perbahasan berterusan dan mendalam tentang pengorbanan yang perlu dibuat untuk mencapai kesan yang baik”.

Beliau menambah bahawa Singapura memerlukan politik yang mengutamakan dasar, bukan usaha meraih mata politik, kerana “sistem politik dibina atas persaingan idea”.

Encik Lee berkata “zaman yang serius menuntut keseriusan dalam politik”, dan mudah mengambil pendirian yang menarik dari segi politik, tetapi “jauh lebih sukar membuat pilihan, menghadapi pengorbanan dan bersikap jujur tentang akibatnya”.

Katanya, itulah ujian bagi mana-mana cadangan dasar yang berwibawa dan piawaian untuk menilai idea yang bersaing ketika Singapura menghadapi antara cabaran paling sukar dalam sejarah mutakhirnya.