Parlimen telah meluluskan tiga usul pada 6 Oktober untuk menetapkan gaji Presiden, Speaker Parlimen, dan Timbalan Speaker berdasarkan garis panduan baharu yang diterima oleh pemerintah pada September.

Usul-usul tersebut, yang dikemukakan oleh Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah, diluluskan sebulat suara oleh Dewan tanpa sebarang perbahasan, serupa dengan perbahasan terdahulu mengenai gaji menteri yang diadakan pada 2012.

Pembentangan usul itu dibuat selepas Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan pada September lalu bahawa pemerintah telah menerima cadangan daripada jawatankuasa yang ditugaskan untuk menyemak semula gaji pemegang jawatan politik Singapura.

Antaranya, Encik Wong mengumumkan bahawa pemegang jawatan politik akan menerima kenaikan gaji sekali sahaja sehingga 9 peratus, setelah pemerintah menerima cadangan jawatankuasa itu untuk mengemas kini tanda aras MR4 daripada $1.1 juta kepada $1.8 juta.

Pada 6 Oktober, Cik Indranee berkata bahawa Parlimen telah meluluskan peningkatan belanjawan bagi operasi Istana dan kakitangan Presiden pada awal 2026, memandangkan kos operasi telah meningkat.

Pada Mac, Parlimen juga telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak $2,559,100, termasuk kenaikan gaji kakitangan peribadi Presiden Tharman Shanmugaratnam daripada $6,696,700 kepada $7,318,000.

Di bawah usul pertama pada 6 Oktober yang mencadangkan perubahan kepada perundangan yang menetapkan perbelanjaan Pejabat Presiden, gaji Presiden akan dinaikkan daripada $1,568,900 kepada $2,568,200 setahun.

Semasa berucap di Parlimen pada 6 Oktober, Cik Indranee berkata gaji Presiden terdiri daripada gaji bulanan sebanyak $180,000, bonus bulan ke-13, dan komponen berubah-ubah tahunan (AVC) yang ditetapkan mengikut kadar yang diterima oleh Perkhidmatan Awam

Gaji Speaker, yang akan terus ditetapkan pada kadar 50 peratus daripada gaji rujukan menteri MR4, juga akan naik daripada $550,000 kepada $900,000 setahun.

Ia merangkumi gaji bulanan, bonus bulan ke-13, dan AVC yang ditetapkan mengikut kadar yang diterima oleh Perkhidmatan Awam.

Pakej tahunan Timbalan Speaker, yang akan kekal ditetapkan pada kadar 15 peratus daripada gaji Speaker, juga akan dinaikkan daripada $82,500 kepada $135,000 setahun.

Selain pelarasan itu, jawatankuasa itu juga telah mencadangkan agar mekanisme tanda aras bagi jawatan Speaker dan Timbalan Speaker dikaji semula, dengan mengambil kira bagaimana peranan dan tanggungjawab mereka mungkin telah berubah dari semasa ke semasa.

Gaji bagi pemegang jawatan politik kali terakhir dikemas kini pada 2012, dengan perubahan tersebut dikuatkuasakan secara retrospektif mulai 2011 apabila penggal pemerintah yang baharu bermula.

Sejak itu, pemerintah yang silih berganti memutuskan untuk menangguhkan sebarang perubahan lanjut atas sebab-sebab seperti ketidakstabilan global, walaupun rangka kerja gaji tersebut masih relevan.

Pada 2017, satu jawatankuasa semakan telah mencadangkan pelarasan kenaikan gaji, namun pemerintah memutuskan untuk tidak membuat sebarang perubahan memandangkan ketidaktentuan ekonomi.

Semakan seterusnya dijadualkan pada 2023, tetapi ia turut ditangguhkan.

Pada September, Encik Wong menyatakan bahawa walaupun pemerintah telah menerima cadangan jawatankuasa bebas tersebut, ia tidak bermakna semua menteri akan serta-merta menerima gaji sebanyak $1.8 juta.

Sebaliknya, pemegang jawatan politik sedia ada hanya akan menerima pelarasan gaji sekali sahaja sehingga 9 peratus mulai 15 Oktober, bergantung pada keadaan dan prestasi masing-masing.

Menjelang akhir penggal pemerintah ini, Encik Wong berkata kebanyakan menteri gred MR4 dijangka memperoleh pendapatan kira-kira $1.35 juta setahun, tertakluk kepada prestasi dan tanggungjawab mereka.