SPH Logo mobile
Langgan|

Pasukan ekon S’pura tingkat usaha wujud peluang kerja bagi lulusan baru

Pasukan ekon S’pura tingkat usaha wujud peluang kerja bagi lulusan baru

Kerjasama dengan syarikat, IHL dan peluang latihan amali antara usaha Sert
May 16, 2025 | 8:07 PM

Pasukan ekon S’pura tingkat usaha wujud peluang kerja bagi lulusan baru

sert, gan kim yong, pekerjaan, lulusan baru
Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert) yang dipengerusi Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, akan bekerjasama dengan syarikat dan Institut Pengajian Tinggi (IHL) untuk meneroka peluang latihan amali bagi lulusan baru. - Foto fail

Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert) sedang bekerjasama dengan syarikat untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk lulusan baru.

Ia sedang meneliti kemungkinan menambah peluang latihan amali bagi lulusan yang ingin menjalaninya sebelum memperoleh pekerjaan tetap, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.

Encik Gan, yang juga pengerusi Sert, menambah pasukan bertindak itu juga bekerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi (IHL) untuk mempertingkat usaha bantuan pekerjaan.

Ini termasuk kaunseling kerjaya dan karnival kerjaya, agar lulusan mempunyai lebih banyak peluang mendapatkan pekerjaan pada masa akan datang.

Menyatakan sokongannya bagi lulusan muda, Encik Gan berkata:

“Kami sentiasa menyokong anda dan akan terus berada di sisi anda.

“Perkara pertama yang ingin kami lakukan ialah bekerjasama dengan IHL untuk melihat bagaimana kita boleh memperkukuh khidmat nasihat kerjaya, bimbingan kerjaya, penganjuran karnival kerjaya serta sokongan penempatan pekerjaan untuk mereka.”

Selain itu, Encik Gan turut berkata mereka juga sedang mengusahakan peluang latihan amali bagi lulusan baru.

“Kami juga sedang meneroka usaha untuk meningkatkan peluang latihan amali bagi sesetengah pekerja yang ingin menjalani latihan atau mengikuti program latihan amali sebelum memperoleh pekerjaan tetap,” katanya.

Encik Gan berkata demikian ketika ditemui media pada 16 Mei di Pusat Akhbar Nasional (NPC) di bangunan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI).

Beliau menerajui Sert, yang turut dianggotai – Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee; Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng; serta Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Chee Hong Tat.

Sementara itu, Encik Gan berkata penyesuaian mungkin akan dibuat terhadap anggota Sert apabila barisan Kabinet baru diumumkan kelak.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dijangka akan mengumumkan perubahan dalam barisan Kabinet tidak lama lagi, susulan Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) yang berlangsung pada 3 Mei.

“Kami mungkin perlu membuat beberapa penyesuaian terhadap anggota pasukan ini kerana ia terdiri daripada menteri-menteri dengan portfolio tertentu.

“Kami berkemungkinan akan mengumumkan barisan anggota baru jika terdapat sebarang perubahan selepas barisan Kabinet diumumkan,” tambahnya.

Penyusunan semula Kabinet selepas pilihan raya lazimnya berlaku dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas pengundian.

Barisan Kabinet dijangka dimuktamadkan sebelum Dialog Shangri-La tahunan yang dijadual berlangsung dari 30 Mei hingga 1 Jun.

Berkongsi lebih lanjut mengenai peluang pekerjaan, Encik Gan turut menambah, adalah penting untuk lulusan muda – dari politeknik dan universiti – diambil bekerja secepat mungkin.

Menurutnya, mereka perlu diberi peluang untuk menyertai latihan dan juga menjadi pelatih latihan amali supaya mereka dapat memperoleh pengalaman yang diperlukan.

“Jika semua majikan hanya mengambil pekerja yang sudah berpengalaman, maka tiada siapa yang akan diberi peluang untuk membina pengalaman. Oleh itu, kita perlu memberi peluang kepada lulusan muda.

“Kami akan berbincang dengan syarikat-syarikat ini untuk mewujudkan lebih banyak peluang latihan amali,” ujarnya.

Encik Gan berkata terdapat pelbagai pilihan untuk lulusan baru sama ada meneruskan pelajaran atau membangunkan kemahiran khusus dalam sektor tertentu yang belum dipelajari di universiti atau politeknik, katanya.

Dalam pada itu, Encik Gan turut berkongsi menerusi komunikasi Sert dengan kesatuan sekerja dan pekerja, bahawa kebimbangan utama yang sering diketengahkan adalah keselamatan pekerjaan.

Menurutnya, mereka yang sudah bekerja ingin tahu sama ada pekerjaan mereka terjamin dan mereka mempunyai peluang pekerjaan pada masa hadapan.

Lantas, Encik Gan berkata mereka akan terus bekerjasama dengan syarikat besar untuk mencipta pekerjaan baru.

“Kami akan bekerjasama dengan syarikat besar dan syarikat utama untuk melihat bagaimana kami boleh terus menyokong usaha penciptaan pekerjaan baru.

“Kami juga terus meningkatkan usaha dalam mempromosikan pelaburan.

“Baru-baru ini, terdapat pengumuman mengenai pelaburan baru yang akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk pekerja dan kakitangan di Singapura,” ujarnya.

Perkara pertama yang ingin kami lakukan ialah bekerjasama dengan IHL untuk melihat bagaimana kita boleh memperkukuh khidmat nasihat kerjaya, bimbingan kerjaya, penganjuran karnival kerjaya serta sokongan penempatan pekerjaan untuk mereka... Kami juga sedang meneroka usaha untuk meningkatkan peluang latihan amali bagi sesetengah pekerja yang ingin menjalani latihan atau mengikuti program latihan amali sebelum memperoleh pekerjaan tetap.
 Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, yang juga pengerusi Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert).
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg