Topik diikuti
Pergi ke BHkuPegawai ICA tolak sogokan $19, diiktiraf CPIB
Pegawai ICA tolak sogokan $19, diiktiraf CPIB
Integriti bukan sekadar melakukan perkara yang betul, tetapi tetap berbuat demikian walaupun tiada sesiapa yang melihat.
Itulah pegangan Inspektor Pusat Pemeriksaan (CI), Encik Muhammad Farhan Kamaruddin, 40 tahun, yang menolak percubaan seorang pelancong memberi sogokan sebanyak RMB100, iaitu sekitar $19, selepas lelaki itu didapati membawa masuk barangan larangan.
Sebagai Pegawai Penilaian dan Siasatan, Encik Farhan menjalankan pemeriksaan rutin terhadap pelancong di Lapangan Terbang Changi.
Dalam satu pemeriksaan, seorang warga China, Zhang Huaizhu, 52 tahun, didapati membawa dua karton rokok yang belum dibayar cukai serta dua botol minuman keras yang disembunyikan dalam barangannya.
“Saya berkata ‘tidak boleh’ dalam bahasa Mandarin sambil memberi isyarat bahawa rokok itu tidak dibenarkan dibawa masuk ke Singapura. Dia cuba memberi isyarat supaya saya bertolak ansur, tetapi saya tidak mengendahkannya dan meneruskan pemeriksaan terhadap begnya.
“Ketika itulah dia menawarkan saya 100 yuan sebagai percubaan untuk menyogok saya. Saya segera berundur dan menggelengkan kepala. Namun, dia cuba memasukkan wang itu ke tangan saya secara senyap.
“Selepas memaklumkan penyelia saya mengenai kejadian itu, saya membawa Zhang ke pejabat untuk siasatan lanjut. Di situ, dia mengaku cuba memberi rasuah dan terus ditahan,” kata Encik Farhan ketika ditemui Berita Harian (BH) di balai pelepasan Terminal 3 Lapangan Terbang Changi.
Kes itu kemudian dirujuk kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB). Zhang dijatuhi hukuman penjara empat minggu serta denda $3,400 atas kesalahan di bawah Akta Kastam.
Siasatan mendapati Zhang dan tiga rakannya tiba di Singapura pada 10 Mac tahun ini sebelum dijadualkan transit ke Papua New Guinea.
Atas tindakannya menolak dan melaporkan cubaan sogokan tersebut, Encik Farhan merupakan antara 21 individu yang menerima Plak Penghargaan CPIB di acara tahunan Rangkaian Kerjasama Anti-Rasuah (ACPN) yang diadakan pada 18 September di Pusat Konvensyen Raffles City.
Plak itu disampaikan Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), Encik Desmond Tan, yang hadir sebagai tetamu terhormat.
“Menolak dan melaporkan perbuatan sedemikian penting untuk menegaskan pendirian Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) terhadap sebarang bentuk rasuah, selain mengukuhkan mesej bahawa peraturan dan undang-undang dilaksana terhadap semua secara sama rata.
“Saya percaya tindakan itu mengekalkan integriti dan keteguhan sistem imigresen kami, sekali gus memastikan sempadan Singapura kekal selamat dan terjamin,” kata Encik Farhan, yang juga bapa kepada dua anak berusia tujuh dan dua tahun.
Bagi beliau, pengiktirafan itu menjadi peringatan terhadap dedikasi dan usahanya sepanjang bertugas untuk memastikan pemeriksaan rutin dijalankan dengan sempurna.
“Apabila menerima e-mel yang maklumkan pengiktirafan itu, saya berasa sangat bangga. Perkara pertama yang saya mahu lakukan pada saat itu ialah untuk berkongsi berita itu dengan isteri dan anak-anak saya.
“Ini sesuatu yang boleh saya kongsikan dengan mereka tentang apa yang saya lakukan setiap hari.”
Menurut CPIB, Anugerah Penghargaan CPIB mengiktiraf individu yang berpegang teguh pada prinsip integriti dengan menolak tawaran sogokan dan melaporkan perbuatan rasuah.
Melalui pengiktirafan itu, CPIB berharap dapat menggalakkan lebih ramai orang mengamalkan nilai integriti dan sentiasa berwaspada terhadap perbuatan sogokan atau rasuah, sekali gus mengukuhkan kepercayaan masyarakat serta menegaskan komitmen Singapura terhadap tadbir urus bernilai integriti.

