Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pekerja bakal ada perlindungan tambahan daripada diskriminasi di tempat kerja

Pemerintah terima usul Perundangan Keadilan di Tempat Kerja (WFL), dijangka laksana Julai 2024
Aug 4, 2023 | 12:37 PM
RANGKA KERJA MENYELURUH: Rangka kerja perundangan yang diusulkan bertujuan memberi perlindungan tambahan daripada diskriminasi di tempat kerja.
RANGKA KERJA MENYELURUH: Rangka kerja perundangan yang diusulkan bertujuan memberi perlindungan tambahan daripada diskriminasi di tempat kerja. - Foto fail

Pekerja di Singapura boleh menjangka perlindungan tambahan daripada amalan diskriminasi di tempat kerja apabila saranan Perundangan Keadilan di Tempat Kerja (WFL) diperkenal, dijangka pada Julai 2024.

Rangka kerja perundangan itu merangkumi perlindungan bagi golongan pekerja yang berbeza, termasuk wanita yang merancang mendapatkan anak, ibu menyusu, pekerja kurang upaya serta yang mengalami masalah kesihatan mental.

Pekerja juga akan dilindungi daripada tindakan balas majikan kerana melaporkan diskriminasi dan gangguan di tempat kerja, dengan diberi keyakinan bahawa identiti mereka akan dilindungi.

Dalam pada itu, majikan yang terus terang-terangan berpegang pada sikap prejudis mereka melalui sembarang amalan diskriminasi bakal menghadapi denda lebih berat di bawah rangka kerja yang disarankan itu.

WFL ialah perundangan pertama Singapura yang diusul bagi memberi pekerja perlindungan tambahan daripada diskriminasi dan memastikan kesaksamaan di tempat kerja.

Ia melengkapkan rangka kerja sedia ada yang bertujuan menggalak amalan saksama, bertanggungjawab dan progresif di tempat kerja, khususnya melalui Garis Panduan Tiga Pihak mengenai Amalan Pekerjaan Adil (TGFEP) dan Perikatan Tiga Pihak bagi Penyelesaian Pertikaian (TADM).

Rangka kerja perundangan WFL merangkumi 22 saranan yang didedahkan oleh Jawatankuasa Tiga Pihak bagi Kesaksamaan Tempat Kerja pada Jumaat. Ini menyusuli 20 saranan interim yang didedahkan pada Februari 2023.

Jawatankuasa yang dibentuk pada Julai 2021 itu terdiri daripada wakil Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Nasional Singapura (Snef).

Penggubalan undang-undang itu merupakan langkah ke hadapan yang penting bagi Singapura ke arah membina tempat kerja harmoni, memperkukuh perlindungan di tempat kerja dan memastikan perniagaan terus mekar, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, dalam satu sidang media pada Jumaat.

“(Perundangan ini) akan menyampaikan isyarat kukuh bahawa diskriminasi langsung tidak diterima di Singapura.

“Ia bertujuan mencapai tiga matlamat: memelihara keharmonian di tempat kerja, memperkukuh perlindungan bagi pekerja, dan menyokong pertumbuhan perniagaan di Singapura,” kata beliau.

Di bawah perundangan itu, majikan mesti melaksana mekanisme pengendalian rungutan dan memudahkan akses pekerja kepada proses itu.

Sebaik sahaja menerima aduan, majikan perlu menjalankan siasatan melalui proses yang direkod dan menjelaskan hasil siasatan kepada pekerja.

Perundangan itu juga akan melindungi pekerja yang melaporkan sebarang kes diskriminasi, termasuk daripada diberhentikan kerja, diganggu, dipotong gaji atau dirampas hak serta manfaat yang tertera dalam kontrak.

Perlindungan itu diberi di semua tahap, termasuk daripada proses pengambilan kerja hingga pemberhentian kerja.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg