Pekerja harus mempunyai pandangan jangka panjang tentang kerjaya mereka dan terus meningkatkan kemahiran untuk kekal relevan, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.
Beliau menambah bahawa pekerja harus melengkapkan diri dengan pengetahuan tentang keperluan industri untuk lebih memahami pasaran kerja.
Sejajar dengan itu, pemerintah menyediakan pelbagai skim untuk membantu pekerja memperbaiki diri atau mengikuti kursus untuk bertukar kerjaya, seperti SkillsFuture.
Encik Zaqy berkata demikian kepada sekitar 20 kakitangan, pelajar pengajian tinggi dan ibu bapa, yang menghadiri Dialog Masyarakat Berita Harian (BH) pada 2 Oktober lalu di bangunan SPH Media di Toa Payoh North.
Dialog tersebut turut dibarisi anggota panel yang terdiri daripada Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade, Encik Mohd Fahmi Aliman; dan AP GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar.
Isu berkaitan peningkatan kemahiran pekerjaan, sokongan untuk pekerja yang diberhentikan dan pekerja platform menjadi fokus utama dialog itu.
Sesi tersebut menekankan bagaimana pekerja perlu mempersiapkan diri untuk cabaran masa depan, dengan mendapatkan sokongan program yang membantu mereka meraih kemahiran yang lebih relevan dan membuka peluang kerjaya lebih stabil.
Mengupas hal itu, Encik Zaqy berkongsi bahawa pekerja perlu mempunyai pemikiran yang berkembang atau growth mindset kerana industri pada hari ini melihat kepada kemahiran seseorang.
“Walaupun pada satu masa dulu kita semua mengejar kertas sijil, sijil diploma dan sebagainya, hari ini jika kita lihat, industri melihat kepada kemahiran yang anda miliki.
“Walaupun anda mempunyai ijazah diploma ataupun Institut Pendidikan Teknikal (ITE), apakah kemahiran yang anda bawa kepada majikan ataupun syarikat itu?
“Jika anda mempunyai ijazah tetapi tidak relevan kepada pekerjaan, ia tidak akan menjadi relevan,” katanya.
Encik Fahmi turut menyuarakan sentimen yang sama dan mengalu-alukan pekerja muda serta matang supaya membina portfolio mereka.
“Meraih pengalaman, membina portfolio, membuat jaringan pekerjaan. Itu saya rasa amat penting kerana pekerjaan di Singapura ini amat dinamik.
“Jadi kita mesti mempunyai satu penjenamaan tersendiri, menjual kemahiran tersendiri untuk dapat pekerjaan yang lebih bagus, terutama sekali dalam sektor yang membangun,” katanya.
Selain SkillsFuture, pelbagai sokongan lain disediakan bagi pekerja yang ingin meningkatkan diri.
Terdapat kumpulan bantuan diri di Singapura seperti Mendaki yang bekerjasama dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), yang membantu memadankan mereka yang ingin mencari kerja dengan industri baru.
Walaupun terdapat kerisauan daripada hadirin yang mengatakan bahawa kredit $4,000 yang diberikan untuk SkillsFuture tidak mencukupi, Cik Mariam menerangkan bahawa terdapat subsidi yang turut disediakan.
“Saya rasa memang jumlah yang diberi untuk tokokan SkillsFuture itu tidak begitu tinggi. Namun kita mesti tahu terdapat juga dua geran latihan.
“Terdapat banyak kursus kemahiran yang mendapat subsidi yang tinggi, 70 hingga 90 peratus subsidi jika ia di bawah Program Peralihan Kerjaya SkillsFuture (SCTP),” ujar beliau, sambil menambah bahawa dengan perubahan ekonomi sekarang yang begitu pesat, pekerja tidak boleh bergantung pada apa-apa kecuali kemahiran yang dimiliki.
Selain sokongan untuk peningkatan kerjaya, dialog itu turut mengetengahkan perihal perlindungan untuk pekerja platform, lebih-lebih lagi selepas rang undang-undang pekerja platform diluluskan pada 10 September lalu – bagi melindungi pekerja platform dengan perumahan dan persaraan melalui caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF).
Encik Fahmi menekankan bahawa langkah-langkah yang diambil oleh pemerintah adalah untuk melindungi pekerja platform, terutamanya melalui sumbangan CPF dan perlindungan insurans.
Perkara itu penting, lebih-lebih lagi apabila ada yang menyuarakan keprihatinan bahawa apabila pekerja platform mengeluarkan CPF, mereka perlu bekerja waktu yang lebih lama untuk mendapatkan pendapatan seperti sebelum CPF dipotong.
“CPF bukan sahaja daripada pekerja platform tersebut, malah daripada pengendali platform juga.
“Kalau kita gambarkan, sebenarnya pengendali platform ini akan keluarkan lebih wang untuk memberi tokokan CPF daripada tahun depan (2025) hingga 2029,” kata beliau.
Encik Fahmi turut meredakan kerisauan pekerja platform mengenai bagaimana mereka boleh mendapatkan pampasan kecederaan kerja.
“Secara terperinci, ia akan dilaksanakan oleh pengendali platform, (namun) insurans akan diberikan.
“Tetapi yang penting, (pekerja) mesti tahu di mana insurans tersebut akan bermula, iaitu daripada mengambil tugasan itu sehingga menghantar penumpang,” tambahnya.
Selain itu, Encik Zaqy menambah bahawa dengan Singapura menjadi salah satu negara pertama yang memberi perlindungan kepada pekerja platform, ia merupakan perkara yang penting bagi perlindungan pekerja.
Beliau berkata: “Mereka diberi tokokan seperti pekerja biasa yang boleh digunakan untuk membeli rumah, mendapatkan sokongan jika mereka masuk hospital dan sebagainya, ini semua sangat penting bagi setiap pekerja.”
Encik Zaqy juga menjelaskan bahawa pada akhir 2024, terdapat undang-undang baru yang akan melindungi pekerja dari sudut diskriminasi.
“Hari ini, dari segi rangka kerja, struktur, kita mempunyai mahkamah tribunal dan sebagainya.
“Tetapi kita akan membuat undang-undang untuk memperketatkan lagi, supaya dapat memberi lebih perlindungan kepada pekerja.
“Ia akan merangkumi diskriminasi usia, kerakyatan dan sebagainya,” katanya.
Isu diskriminasi amatlah penting dan beliau mengalu-alukan pekerja supaya tampil untuk melaporkannya kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
Dengan setiap pencerahan yang disampaikan, para hadirin menyambut baik dialog masyarakat kali ini.
Pekerja bebas, Encik Mohammad Zahid Mohd Ali, 47 tahun, berkata: “Platform Dialog Masyarakat BH dapat memberikan peluang bagi saya ketengahkan kerisauan dan mendengar sendiri jawapan anggota panel.”
Bagi Cik Farhana Ahmad Mashon pula, beliau akan berkongsi ilmu yang diraih daripada dialog itu kepada keluarga dan rakan sekerja yang lain.
“Dengan nasihat yang dikongsi oleh anggota panel dan peserta lain, saya dapat faham landskap pekerjaan dan mengenali bantuan yang ada di luar sana,” kata beliau, yang bekerja di Persatuan Pejuang Pengiriman Nasional (NDCA).
“
“Walaupun pada satu masa dulu kita semua mengejar kertas sijil, sijil diploma dan sebagainya, hari ini jika kita lihat, industri kita melihat kepada kemahiran yang anda miliki. Walaupun anda mempunyai ijazah diploma ataupun Institut Pendidikan Teknikal (ITE), apakah kemahiran yang anda bawa kepada majikan ataupun syarikat itu? Jika anda mempunyai ijazah tetapi tidak relevan kepada pekerjaan, ia tidak akan menjadi relevan.”“
“Meraih pengalaman, membina portfolio, membuat jaringan pekerjaan. Itu saya rasa amat penting kerana pekerjaan di Singapura ini amat dinamik. Jadi kita mesti mempunyai satu penjenamaan tersendiri, menjual kemahiran tersendiri untuk dapat pekerjaan yang lebih bagus, terutama sekali dalam sektor yang membangun.”“
“Saya rasa memang jumlah yang diberi untuk tokokan SkillsFuture itu tidak begitu tinggi. Namun kita mesti tahu terdapat juga dua geran latihan. Terdapat banyak kursus kemahiran yang mendapat subsidi yang tinggi, 70 hingga 90 peratus subsidi jika ia di bawah Program Peralihan Kerjaya SkillsFuture (SCTP).”“
“Platform Dialog Masyarakat BH dapat memberikan peluang bagi saya ketengahkan kerisauan dan mendengar sendiri jawapan anggota panel.”“
“Dengan nasihat yang dikongsi oleh anggota panel dan peserta lain, saya dapat faham landskap pekerjaan dan mengenali bantuan yang ada di luar sana.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg