Pekerjaan tetap sepenuh masa bagi lulusan politeknik baru kekal stabil pada 2025, dan gaji permulaan terus meningkat.
Tinjauan Pekerjaan Lulusan Politeknik (GES) terkini oleh lima politeknik, yang dikeluarkan pada 15 Januari menunjukkan 54.2 peratus lulusan mendapat pekerjaan tetap sepenuh masa pada 2025, hanya turun sedikit berbanding 54.6 peratus pada 2024.
Gaji kasar bulanan median bagi pekerjaan dalam kategori itu terus meningkat, daripada $2,900 pada 2024 kepada $3,000 pada 2025.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, lulusan bidang kemanusiaan dan sains kemasyarakatan menikmati gaji tertinggi iaitu $3,200, berbanding rakan sebaya daripada kursus lain.
Ini diikuti oleh lulusan sains kesihatan yang menerima gaji median $3,011.
Secara keseluruhan, 90 peratus lulusan politeknik berjaya mendapat pekerjaan (sepenuh masa atau sementara) dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian atau selepas menamatkan Perkhidmatan Negara (NS) sepenuh masa pada 2025.
Angka itu ialah 90.4 peratus pada 2024.
Keputusan tersebut muncul di tengah-tengah kerisauan lulusan institusi pengajian tinggi mengenai prospek pekerjaan mereka dalam pasaran pekerja yang semakin mencabar dan persekitaran ekonomi yang sentiasa berubah.
Buat kali pertama, tinjauan itu mendedahkan sama ada lulusan politeknik sudah mendapat pekerjaan atau belum.
Ia berbanding tinjauan sebelum ini yang membahagikan kepada mereka yang bekerja dan menganggur sahaja.
Mereka yang telah memperoleh pekerjaan termasuk lulusan yang sudah bekerja sepenuh masa, secara bebas (freelance), atau sambilan, serta mereka yang telah menerima tawaran kerja dan akan mula bertugas, atau sedang memulakan perniagaan sendiri.
Dalam tinjauan sebelum ini, kategori “bekerja” hanya merangkumi mereka yang sudah bekerja pada waktu tinjauan dijalankan, manakala lulusan yang bakal memulakan kerja kemudian atau sedang menubuhkan perniagaan disifatkan sebagai menganggur.
Keputusan terkini juga buat kali pertama memberikan butiran lanjut mengenai lulusan yang belum memperoleh pekerjaan.
Kumpulan itu terbahagi kepada tiga kategori: Mereka yang menerima tetapi menolak tawaran kerja; mereka yang memohon tetapi tidak menerima sebarang tawaran; dan mereka yang tidak mencari pekerjaan sepenuh masa.
Seramai 12,835 lulusan politeknik menjawab tinjauan terkini pada 2025.
Ia termasuk 7,785 daripada 10,169 lulusan politeknik baru serta 5,050 daripada 8,261 lulusan 2022 yang menamatkan NS sepenuh masa antara 1 April 2024 dengan 31 Mac 2025.
Daripada responden tersebut, 43.9 peratus berada dalam tenaga kerja, manakala 56.1 peratus yang tidak bekerja atau tidak aktif mencari pekerjaan sedang melanjutkan atau membuat persediaan untuk melanjutkan pengajian.
Selebihnya tidak mencari pekerjaan.
Tinjauan itu mencerminkan keadaan pekerjaan bagi golongan lulusan enam bulan selepas tamat pengajian, dan dijangka akan bertambah baik selepas tempoh enam bulan tersebut, ujar kenyataan bersama lima politeknik itu.
Berdasarkan data pasaran pekerja daripada Kementerian Tenaga Manusia (MOM), jumlah pekerjaan terus meningkat pada 2025, tambah kenyataan tersebut.
Pada suku ketiga 2025, pertumbuhan pekerjaan didorong oleh sektor kewangan, insurans serta kesihatan dan sosial, manakala sektor maklumat dan komunikasi berkembang lebih perlahan akibat ekonomi sejagat yang tidak menentu.
Bilangan kekosongan jawatan peringkat permulaan meningkat kepada 39,000 pada September 2025, berbanding 26,000 pada September 2024, ujar kenyataan itu.
Lulusan yang memerlukan bantuan dalam pencarian kerja boleh menghubungi politeknik masing-masing untuk kaunseling kerjaya dan menghadiri pameran kerjaya.
Mereka juga boleh memanfaatkan sumber daripada Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) atau Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), serta meneroka Program Pelatih Industri bagi Lepasan Baru (Grit) dan GRIT@Gov yang dilancarkan pada Oktober 2025.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg