Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar Al-Azhar dari S’pura meninggal dunia setelah jatuh sakit di Yaman

Sep 15, 2025 | 11:40 AM
Singapura, Mesir, Universiti Al-Azhar, pelajar, meninggal dunia
Kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 14 September. - Foto FACEBOOK MUIS

Seorang pelajar wanita Singapura berusia 20 tahun yang sedang menuntut di Universiti Al-Azhar di Kahirah, Mesir, telah meninggal dunia pada 13 September.

Berita Harian (BH) difahamkan Allahyarhamha Halimatussa’diyyah Rahmatullah, meninggal dunia di Hospital Antarabangsa As-Salam di Mesir selepas beliau pulang daripada menjalani program Dowrah di Tarim, sebuah kota di Lembah Hadhramaut, Yaman.

Difahamkan juga, jenazahnya sudah dikebumikan di tempat perkuburan di Mesir pada 14 September selepas disolatkan di Masjid Hussein di sana.

BH telah menghubungi keluarga Allahyarhamha namun mereka enggan mengulas lebih lanjut dan meminta agar menghormati privasi mereka kerana berada dalam kesedihan.

Arwah difahamkan tidak sihat di penghujung program Dowrah yang dijalaninya dan keadaannya bertambah teruk apabila beliau kembali ke Mesir.

Dowrah adalah program musim panas tahunan selama 40 hari di Tarim dan terkenal sebagai perjalanan rohani bagi pelajar yang berminat untuk belajar daripada tokoh-tokoh agama seperti Habib ‘Umar Hafiz.

Ketika beliau masih di hospital, satu usaha pengumpulan dana oleh salah seorang kenalan keluarga Allahyarhamha telah dijalankan melalui wadah WhatsApp.

Ia bertujuan membantu meringankan kesulitan kewangan keluarganya ketika situasi tersebut.

Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), dalam satu catatan di Facebook pada 14 September, berkata ia sedang berhubung rapat dengan keluarga Allahyarhamha.

Pegawai perhubungan pelajar di Kahirah dan Kedutaan Singapura juga sedang menyediakan sokongan dan bantuan yang diperlukan, tambahnya.

Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), dalam catatan Facebook pada 14 September, berkata ia akan mengadakan solat jenazah ghaib bagi Allahyarhamha pada 15 September, selepas solat zuhur di Masjid Kassim yang terletak di Changi Road.

Allahyarhamha, yang merupakan pelajar tahun pertama ijazah sarjana muda di Universiti Al-Azhar dalam bidang Usuluddin, disifatkan sebagai individu yang tidak jemu berkhidmat.

Beliau pernah menjadi tenaga pengajar di Our Little Ummah SG – program yang bertujuan mendedahkan serta membiasakan kanak-kanak dengan bahasa Inggeris dan Arab dalam suasana dwibahasa – yang juga di bawah naungan pusat pembelajaran, Al Wafa’.

Dalam satu hantaran Instagram Our Little Ummah SG, ia berkata:

“Kesungguhan dan semangat anda (Allahyarhamha) sebagai seorang guru di Our Little Ummah telah memberi inspirasi kepada ramai anak didik, dan sifat penyayang anda meninggalkan kesan yang mendalam dalam masyarakat kami.

“Khidmat bakti anda dalam membimbing generasi seterusnya akan sentiasa dihargai.”

Pengarah pusat pembelajaran Al Wafa’, Ustazah Nadia Hanim Abdul Rahman, turut merakam takziahnya melalui Instagram beliau serta menyifatkan Allahyarhamha sebagai seorang yang berpotensi besar dan mempunyai minat yang mendalam dalam berbakti kepada masyarakat.

“Saya ingat lagi ketika saya bertanya kepada Halimah tentang aspirasi beliau. Dengan keyakinan yang tenang, beliau menceritakan semangatnya dalam menuntut ilmu dan keinginannya untuk berkhidmat kepada masyarakat.

“Saya memberitahunya ketika itu bahawa saya menyokongnya dan rakan-rakannya, serta berharap kami akan bertemu lagi selepas tamat pengajian,” tulisnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg