Jumlah pekerja yang diberhentikan kerja di Singapura meningkat daripada 4,620 kepada 4,800 antara Julai dengan September, berbanding suku tahun sebelumnya, meskipun bilangan orang yang bekerja secara keseluruhan mencatatkan pertumbuhan.

Perangkaan awal pasaran kerja untuk suku ketiga 2026 yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 30 Oktober menunjukkan bahawa meskipun kadar pemberhentian kerja kekal pada dua orang bagi setiap 1,000 pekerja, pemberhentian kerja kekal tinggi dalam sektor terpilih yang berorientasikan luaran.

Penyusunan semula perniagaan terus menjadi pemacu utama langkah pemberhentian pekerja tersebut, kata MOM.

Dalam tempoh yang sama, jumlah pengambilan pekerja keseluruhan meningkat sebanyak 27,700 – lebih tinggi berbanding kenaikan 11,400 antara April dengan Jun, serta melepasi rekod 25,100 bagi tempoh sama pada 2025.

Pertumbuhan pekerja bukan penduduk terus merangkumi sebahagian besar kenaikan tersebut, terutamanya dalam sektor seperti pembinaan dan perkilangan.

Sementara itu, pertumbuhan pekerja penduduk sebahagian besarnya terus disokong oleh perkhidmatan penting dan awam, manakala pertumbuhan dalam sektor berorientasi luaran kekal lembap di tengah-tengah ketidakpastian ekonomi global.

Dalam pada itu, kadar pengangguran keseluruhan kekal stabil pada 2 peratus pada September.

Walau bagaimanapun, kadar pengangguran dalam kalangan penduduk meningkat sedikit kepada 3 peratus pada September daripada 2.9 peratus pada Ogos, dan bagi rakyat pula kepada 3.1 peratus daripada 3 peratus.

MOM berkata tinjauan pasaran kerja menunjukkan tanda-tanda bercampur-campur pada September.

Walaupun bahagian firma yang berhasrat mengambil pekerja baru dan menaikkan gaji meningkat pada September berbanding Ogos, kedua-duanya kekal di bawah paras yang dicatatkan pada Julai.

Ini menunjukkan bahawa majikan kekal berhati-hati dalam pengambilan pekerja dan kenaikan gaji di tengah-tengah ketidakpastian yang berterusan.

Sekitar 42.3 peratus firma menyatakan pada September bahawa mereka menjangka menggajikan pekerja baharu dalam tempoh tiga bulan mendatang, naik daripada 30.5 peratus pada Ogos.

Sementara itu, syarikat yang menjangka menaikkan gaji meningkat daripada 16.9 peratus kepada 19.9 peratus dalam tempoh yang sama.

Sebanyak 3.1 peratus syarikat menjangkakan langkah pemberhentian pekerja dalam tempoh tiga bulan akan datang, naik daripada 2.8 peratus pada Ogos.

“Kenaikan ini, di samping pemberhentian kerja sebenar yang lebih tinggi, membayangkan kelemahan yang mula timbul dalam beberapa bahagian pasaran kerja yang memerlukan pemantauan rapi.

“Di tengah-tengah prospek global yang lebih tidak menentu dan perubahan teknologi yang pantas, syarikat-syarikat perlu terus menyesuaikan diri serta melabur dalam tenaga kerja mereka, sementara para pekerja perlu memastikan kemahiran mereka kekal relevan.

“Pemerintah akan terus menyokong majikan dan pekerja dalam usaha ini, termasuk menyemak skim sedia ada serta memperkukuh sokongan di mana bersesuaian,” kata MOM.

Perangkaan pasaran kerja penuh bagi suku ketiga akan dikeluarkan pada pertengahan Disember 2026.