Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemerintah sekat laman web asing tidak sahih potensi lancar kempen niat jahat
Pemerintah sekat laman web asing tidak sahih potensi lancar kempen niat jahat
Laman web dipercayai menyamar dan upaya cetus perbalahan dalam masyarakat
Pemerintah sekat laman web asing tidak sahih potensi lancar kempen niat jahat
Pemerintah telah mengenal pasti dan menyekat enam laman web asing yang tidak sahih, dipercayai digunakan untuk melancarkan kempen maklumat berniat jahat (HIC) terhadap Singapura.
Dalam kenyataan bersama pada 23 April, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) menjelaskan bahawa laman-laman web itu menyamar sebagai laman web Singapura.
Penyamaran itu dilakukan melalui perdayaan identiti atau spoofing, penggunaan istilah berkaitan Singapura dalam nama domain, serta memaparkan berita dan teks tempatan yang serupa.
Selain itu, laman-laman web itu dikaitkan dengan rangkaian dan laman web lain yang telah dilabel oleh penganalisis antarabangsa sebagai tidak sahih dan mengandungi maklumat tidak tepat.
Enam laman web tersebut ialah singaporeheadline.com, singaporeweek.com, singapore24hour.com, nanyangweekly.com, singaporebuzz.com dan sgtimes.com.
“MHA telah mengenal pasti enam laman web tidak sahih yang dikendalikan pelaku asing yang boleh digunakan untuk melancarkan HIC terhadap Singapura.
“IMDA telah meneliti penemuan MHA dan berpuas hati terdapat keperluan untuk mengeluarkan arahan kepada syarikat penyedia khidmat Internet (IASP) bagi menyekat akses ke atas enam laman web tidak sahih tersebut bagi pengguna di Singapura,” kata kenyataan itu.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), MHA berkata mereka mengetahui tentang enam laman web tidak sahih tersebut antara 2024 dengan 2025, melalui pemantauan rutinnya.
Namun, tindakan hanya diambil sekarang kerana ia memerlukan masa untuk menyiasat laman web itu, serta rangkaiannya secara menyeluruh, bagi menilai kesan potensinya terhadap Singapura, dan sama ada ia telah digunakan oleh pelakon asing, kata kementerian tersebut.
“Selepas menjalankan siasatan, kementerian tersebut telah merangka pelan untuk menangani ancaman yang ditimbulkan oleh laman-laman web itu, dan menilai bahawa tiada keperluan untuk bertindak dengan serta-merta terhadap laman web berkenaan kerana ia belum digunakan dalam sebarang HIC terhadap Singapura dan pendedahannya di sini adalah rendah,” kata MHA.
Satu tinjauan BH mendapati lima daripada laman web tersebut didaftarkan di Kepulauan Cayman – sebuah wilayah seberang laut Britain, sementara laman web keenam, sgtimes.com, didaftarkan di China.
Mereka menambah, lima laman web itu – singaporeheadline.com, singaporeweek.com, singapore24hour.com, nanyangweekly.com, dan singaporebuzz.com – dikaitkan dengan satu rangkaian laman web berita palsu yang dikenal pasti oleh Kumpulan Analisis Ancaman Google dan Mandiant.
Kesemua laman web itu dicipta pada tarikh yang sama, 28 Mac 2021, dan ini membuktikan laman web itu tidak autentik.
Ia juga melalui pembaharuan serentak pada Jun 2025, dan laman-laman tersebut tidak dapat diakses selama beberapa hari sebelum kembali aktif.
Kesemua lima laman web tersebut menjadi tidak aktif pada 9 Jun 2025, sebelum kembali aktif pada 17 Jun 2025.
Selepas perubahan itu, kelima-lima laman web tersebut dikesan menerima peningkatan antara muka yang serupa, termasuk ciri terkini seperti teks berita bergerak, ruangan carian dan sorotan sohor kini, menjadikannya kelihatan seperti laman web berita utama.
Laman-laman web itu menyamar sebagai saluran berita utama Singapura.
Mereka menggunakan nama domain dengan perkataan seperti ‘Singapura’ dan ‘Nanyang’ serta menerbitkan kandungan berkaitan Singapura.
Semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), empat daripada laman web tersebut – nanyangweekly.com, singapore24hour.com, singaporeheadline.com dan singaporeweek.com – telah menyiarkan berita berkaitan pilihan raya sepanjang 10 hari kempen.
“Kebanyakan laman web ini sebahagian besarnya tidak aktif sebelum pengeluaran Writ Pilihan Raya, dan hanya mula aktif selepas writ tersebut dikeluarkan,” ujar kenyataan tersebut.
Tambahan pula, kebanyakan kandungan berkaitan Singapura dalam lima laman web palsu itu – yang diambil daripada media utama tempatan seperti Channel NewsAsia (CNA), The Straits Times, dan Mothership, serta media asing seperti Bloomberg dan Business Insider – tidak menyatakan sumber asal.
Tindakan ini, ujar kenyataan itu, boleh mengelirukan pembaca, membuat mereka percaya laman-laman web ini adalah sumber berita sahih berkaitan Singapura, dan kandungan yang disiarkan mencerminkan pendirian rasmi atau sentimen tempatan.
Laman web sgtimes.com juga turut menyamar sebagai portal berita utama Singapura melalui reka bentuk dan isinya.
Laman web tersebut mengandungi kepala berita The Singapore Times, dengan subkepala berita, Singapore News and Travel.
Laman web ini kebanyakannya menyiarkan berita Singapura dan pada 25 Julai 2025, ia menerbitkan artikel bertajuk, ‘Media utama Singapura Straits Times, Lianhe Zaobao, Singapore Times’
Dalam artikel tersebut, penulis mendakwa sgtimes.com sebagai salah satu media utama negara dengan “jumlah kunjungan bulanan yang tinggi”.
Menurut MHA dan IMDA, taktik biasa pelaku asing berniat jahat adalah dengan membina laman web yang kelihatan sahih untuk memancing pengikut tempatan, kemudian menggunakan platform palsu itu untuk melancarkan HIC.
“Kami telah memerhatikan contoh-contoh di luar negara, di mana pelaku asing sedemikian telah mencipta dan menggunakan laman web berita tidak sahih untuk menyebarkan naratif palsu dan mempengaruhi sentimen penduduk yang disasarkan, demi memajukan kepentingan mereka sendiri.
“Kesannya ialah serius; HIC boleh menghasut dan menyebabkan ketegangan sosial, mengeksploitasi jurang perbezaan dalam masyarakat, memanipulasi pilihan raya serta keputusan pilihan raya, di samping menjejaskan keyakinan dan kepercayaan terhadap institusi awam,” tambah kenyataan itu.
Sebelum ini, Akta Penyiaran digunakan pada Oktober 2024 untuk menyekat akses kepada 10 laman web palsu yang dicipta pihak asing. – Laporan tambahan oleh Syed Muhammad Firdaus.
