Pemerintah tidak berhasrat menguatkuasakan kawalan sewa premis perniagaan kerana langkah sedemikian boleh memberi gambaran salah terhadap harga pasaran serta mengurangkan bekalan ruang perniagaan bagi sektor makanan dan minuman (F&B) tempatan.

Sebaliknya, pemerintah menumpukan usaha menambah baik persekitaran pajakan demi memastikan perundingan yang adil antara pemilik premis dengan penyewa, kata Menteri Negara Kanan (Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling.

Beliau menjelaskan bahawa campur tangan pemerintah secara langsung dalam kadar sewa komersial swasta berisiko menjejas keyakinan pelabur serta mengurangkan dorongan pemilik bangunan untuk menyelenggara premis mereka.

“Menetapkan kawalan sewa memerlukan pemerintah campur tangan secara langsung dalam perundingan pajakan komersial swasta, dan ini boleh memberi gambaran salah harga pasaran daripada mencerminkan keadaan penawaran dan permintaan sebenar.

“Implikasi kawalan sewa boleh melangkaui penyewaan ruang runcit serta menjejas keputusan pelaburan dan peruntukan modal secara lebih meluas,” jelas Cik Low yang juga Menteri Negara Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia).

Cik Low menambah, pelabur menghargai penetapan harga yang telus dan berasaskan pasaran.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap Usul Penangguhan yang difailkan oleh Profesor Madya Jamus Lim (GRC Sengkang) di Parlimen pada 6 Oktober.

Dalam usaha untuk memastikan perundingan yang adil antara pemilik premis dengan penyewa, Cik Low berkata pemerintah akan terus memantau landskap sewaan dengan teliti dan bekerjasama dengan pihak berkepentingan industri.

Terdahulu, Dr Lim dalam ucapannya, menegaskan bahawa sektor F&B wajar diberi perhatian khusus kerana ia membentuk identiti nasional dan kini berdepan margin keuntungan yang kian menipis akibat tekanan sewa serta kos tenaga kerja.

Beliau menyarankan agar kadar kenaikan sewa tahunan dihadkan menerusi kawalan undang-undang dan hak pembaharuan pajakan berkanun diperkenalkan bagi melindungi perniagaan kecil daripada lonjakan sewa yang mendadak.

Bagi mengurangkan kekangan tenaga kerja pula, Dr Lim mengusulkan agar pemerintah mengkaji semula Had Maksimum Nisbah Tanggungan (DRC) bagi sektor F&B dan membenarkan pengambilan warga Malaysia sebagai pembantu gerai di pusat penjaja.

Dr Lim turut mencadangkan agar pengendali pusat beli-belah dan pusat penjaja diwajibkan menetapkan kuota minimum bagi pilihan makanan Nusantara halal serta hidangan tempatan.

Ini bagi memastikan keutamaan sentiasa diberikan kepada kulinari tempatan berbanding rangkaian jenama asing yang mempunyai modal besar.

“Kita tidak boleh membiarkan arena F&B tempatan kita menjadi bahan ujian bagi aspirasi penguasaan pasaran oleh rangkaian restoran asing,” kata Dr Lim.

Dalam responsnya mengenai cabaran tenaga kerja, Cik Low berkata pemerintah telah memberikan kelonggaran sasaran dengan meluaskan senarai pekerjaan sumber bukan tradisional (NTS) mulai September.

Ini bagi membolehkan pengambilan pekerja asing untuk peranan F&B yang lain termasuk pembantu dapur dan pelayan.

Beliau turut menekankan bahawa pemerintah telah menyediakan beberapa program khusus untuk membantu perniagaan menyusun semula alur kerja serta mengagihkan penyediaan makanan secara berpusat.

“Kami akan berusaha sedaya upaya untuk terus mencari jalan bagi membantu perniagaan F&B menyesuaikan diri, memperoleh keupayaan baharu, dan merebut peluang pertumbuhan,” tambah Cik Low.