Dua projek flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di kawasan estet perumahan Bayshore yang akan datang berhampiran Taman East Coast, akan menawarkan sejumlah 2,500 flat, dalam penjualan Oktober.

Satu lagi projek di Tengah, dan lebih banyak pembangunan di taman perumahan baharu Sembawang North dan Chencharu di Yishun, juga akan mula dijual.

Ini adalah antara tujuh projek yang akan ditawarkan.

Pada 17 Jun, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mengumumkan pelancaran 7,960 flat di Bedok, Geylang, Sembawang, Tengah, Toa Payoh dan Yishun pada Oktober.

Di Bedok, dua projek BTO di Bayshore akan menawarkan sejumlah besar flat fleksi dua bilik untuk warga emas dan golongan bujang.

Daripada 2,500 unit, 1,240 ialah flat fleksi dua bilik; 1,170 flat empat bilik; dan 90 flat tiga bilik.

Kedua-dua projek terletak di Bayshore Drive berhampiran stesen MRT Bayshore.

Projek yang lebih besar, dengan 1,640 unit, menawarkan flat fleksi dua bilik, tiga bilik dan empat bilik serta kemudahan seperti kedai makan, kedai, prasekolah, pusat penuaan aktif dan pusat dialisis buah pinggang.

Projek kedua mempunyai 860 unit flat fleksi dua bilik dan empat bilik, serta minimart, kedai dan prasekolah.

Penganalisis hartanah menjangkakan projek-projek itu akan dikategorikan sebagai flat Plus dan mendapat permintaan tinggi.

Flat Plus dan Prime, yang terletak berhampiran pusat bandar, hab pengangkutan dan kemudahan utama, tertakluk kepada syarat penjualan semula yang lebih ketat berbanding flat Standard, termasuk tempoh penghunian sekurang-kurangnya 10 tahun dan penarikan semula subsidi.

Ketua Penyelidik dan Ahli Strategi Kumpulan Realion (OrangeTee & ETC), Cik Christine Sun, berkata lokasi berhampiran MRT dijangka menarik pembeli bujang kerana kemudahan perjalanan ke Kawasan Pusat Bandar (CBD) dan Orchard Road.

Dua projek BTO pertama di Bayshore dilancarkan pada Oktober 2024.

Dalam jualan itu, yang turut merangkumi projek di Kembangan, flat tiga bilik dan lebih besar di Bedok menerima lebih empat permohonan bagi setiap unit yang ditawarkan.

Projek dengan 710 unit di Tengah Garden Avenue akan menawarkan flat fleksi dua bilik hingga tiga generasi, dijangka diklasifikasikan sebagai flat Standard serta dilengkapi kedai makan, minimart, kedai dan prasekolah.

Tapak tersebut terletak dalam jarak lima hingga 10 minit berjalan kaki dari dua stesen MRT baru di Laluan Jurong Region (JRL), yang dijadual dibuka antara 2028 dengan 2029.

Projek BTO terakhir yang dilancarkan di Tengah adalah pada Oktober 2023.