Penglibatannya dalam penubuhan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) kekal sebagai antara sumbangan paling bermakna bagi Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, sepanjang hampir 40 tahun berkhidmat kepada masyarakat.

Malah, ulama veteran yang berusia 66 tahun itu memberitahu Berita Minggu (BM) usaha tersebut juga antara yang paling mencabar baginya.

RRG, yang ditubuhkan pada 2003 untuk menangani salah faham tentang dakwah Islam serta menangani ideologi ekstremis di Singapura, digerakkan oleh relawan daripada golongan asatizah setempat sedang pemerintah berusaha mematahkan rangkaian ekstremis tempatan Jemaah Islamiyah (JI)

Ustaz Hasbi dan Allahyarham Ustaz Ali Mohamed, yang bersama-sama diiktiraf sebagai antara pengasas RRG, dilantik sebagai pengerusi bersama.

Pada mulanya, RRG dilontar kritikan, terutamanya kerana bekerjasama dengan pihak pemerintah dan didakwa cuba mengawal dakwah Islam kata Ustaz Hasbi.

Namun, sokongan berterusan asatizah setempat dan masyarakat menanam tekad beliau dan pengasas lain untuk meneruskan usaha mereka, tambah beliau.

Selang lebih dua dekad, usaha RRG kini diiktiraf dan dihormati secara meluas bukan sahaja di Singapura, malah di peringkat antarabangsa.

Sebagai pengiktirafan atas sumbangan beliau kepada RRG, di samping pelbagai jasa lain, Ustaz Hasbi dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang, antara anugerah negara paling berprestij, sempena Hari Kebangsaan 2026.

Ustaz Hasbi, yang merupakan mantan Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), antara lima warga Singapura yang dipilih menerima anugerah tersebut pada 2026.

Seramai 7,491 individu menerima Anugerah Hari Kebangsaan pada 2026.

Ketika dihubungi BM, Ustaz Hasbi berkata beliau amat bersyukur dan menyifatkan anugerah itu sebagai penghargaan sumbangan segala pihak RRG, serta pelbagai sumbangan golongan asatizah.

“Secara tidak langsung, RRG juga mendapat pengiktirafan daripada pihak pemerintah atas usaha yang telah dilakukan lebih daripada 20 tahun yang lalu dalam menangani masalah pengganasan serta membantu pemerintah dari sudut pemahaman keagamaan dan kerohanian,” kata Ustaz Hasbi, yang berusia 66 tahun.

Malah, beliau berasa anugerah itu juga menghargai usaha tokoh lain yang telah menyumbang kepada pergerakan misi RRG, termasuk yang masih hidup mahupun yang sudah kembali ke rahmatullah.

Buat masa ini, Ustaz Hasbi berkhidmat sebagai pengerusi bersama di RRG.

Beliau juga pengerusi majlis penasihat tinggi (Masyaikh) di Pergas dan anggota Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Dengan bakti menjangkau hampir empat dekad, Ustaz Hasbi berkongsi bagaimana keperluan masyarakat Islam berubah mengikut arus zaman, sekali gus menuntut pemimpin seperti beliau mengubah cara berkhidmat kepada masyarakat.

Ini termasuk menguasai perkembangan media sosial yang menarik perhatian golongan muda, dan juga warga emas yang belum lagi menguasai platform media massa.

Dalam pada itu, Ustaz Hasbi menekankan bahawa peranan RRG akan kekal relevan memandangkan risiko radikalisme telah meningkat.

Keadaan geopolitik yang semakin rumit turut mendorong keadaan tersebut, katanya.

“Untuk menangani masalah kompleks dan risiko radikalisasi yang semakin mencabar, RRG perlu meningkatkan keupayaannya dengan melantik dan melatih asatizah muda untuk menggerakkan RRG,” katanya.

Ini termasuk membentuk lebih ramai tenaga muda yang sabar menghadapi masalah demikian.

Justeru, Ustaz Hasbi menasihati pemimpin agama muda agar sentiasa bersifat ikhlas apabila mendakwah dan memegang teguh kepada sumber agama yang benar untuk membimbing masyarakat.

Malah, beliau menyeru para pendakwah untuk sentiasa bersabar, sebagaimana Rasulullah saw mengharungi banyak cabaran dan rintangan dalam perjuangan dakwah.

Mengenang jasanya sepanjang hampir empat dekad lalu, Ustaz Hasbi berkata peristiwa menubuhkan RRG paling sukar dilupakan.

Proses itu amat mencabar dan mengambil masa agak lama untuk memahamkan masyarakat Islam yang belum sedia menerima usaha pertubuhan itu, kata beliau.

Beliau berkata beberapa pihak masyarakat menganggap usaha RRG sebagai satu usaha yang mengekang dakwah Islam.

“Ini menyebabkan kekeliruan di kalangan masyarakat yang menganggap perkara berkaitan dengan terorisme dan pengganasan adalah termasuk dalam dakwah Islam, sedangkan ia sesuatu yang sangat bercanggah dengan Islam itu sendiri.

“Maka itu, para Masyaikh Pergas bersetuju dengan penubuhan RRG, sebulat suara menyatakan kita perlu memperbetulkan fahaman umum yang silap ini tentang cara dakwah Islam dilaksanakan dan dilakukan ikut syariat Islam yang telah diasaskan oleh Rasulullah SAW.”

Lantas, beliau bersama pihak RRG mengharungi dugaan tersebut dan memperbaiki pemahaman masyarakat, termasuk mereka yang terpengaruh dengan unsur pengganasan, tentang dakwah Islam yang sebenar, menerusi tingkah laku dan akhlak baik.

Beliau amat bersyukur usaha RRG kini mula difahami dan dapat diterima oleh masyarakat.

Dedikasi itu dilihat sendiri oleh anaknya, Ustaz Ahmad Helmi Mohamad Hasbi, yang turut berkhidmat secara sukarela di RRG sebagai kaunselor.

Ustaz Ahmad Helmi mengenang bagaimana ayahnya kerap membawa beliau dan adik-beradiknya ke kelas, majlis dan sesi penglibatan masyarakat sejak muda lagi.

“Peristiwa itu mendedahkan kami kepada usaha beliau dan menikmati sendiri pengalaman menjalankan kerja kemasyarakatan.

“Saya juga bertuah kerana berpeluang menyaksikan interaksi beliau dengan para ulama. Saya percaya tujuan utama beliau membawa kami bersama adalah untuk memperkenalkan kami kepada mereka, memandangkan beliau sentiasa menggalakkan kami supaya berkhidmat kepada orang lain...”

“Saya amat bersyukur dapat melihat segala usaha dan baktinya membuahkan hasil,” ujar Ustaz Ahmad Helmi.

Senarai penuh penerima Anugerah Hari Kebangsaan 2026 boleh diperoleh di https://www.pmo.gov.sg/national-awards.