Siapakah Jauhari yang bakal memenangi Anugerah Jauhari Berita Harian (BH) 2025?
Pencalonan bagi anugerah tahunan itu kini dibuka bagi mencari individu atau pertubuhan dalam masyarakat Melayu/Islam yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang diceburi.
Ini merupakan tahun ke-27 BH menganjurkan anugerah penuh berprestij itu.
Pada 2024, Anugerah Jauhari dimenangi pengasas firma perunding makanan dan minuman (F&B), White Rice Co, Cef Akmal Anuar.
Ibarat kuntuman mekar, BH ingin mencari jauhari yang berkembang indah walaupun dilanda dugaan dan menjadi lambang harapan dan dunia yang mencabar.
Pencapaian pemenang itu akan menjadi inspirasi dan membuka jalan ke arah kecemerlangan bagi generasi seterusnya.
Sejak 1999, BH telah mengiktiraf individu berjaya dalam pelbagai bidang, termasuk perbankan, keusahawanan, bantuan kemanusiaan, fesyen, sukan dan budaya.
Mereka termasuk mantan Presiden, Puan Halimah Yacob; mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank of Singapore, Encik Bahren Shaari; pereka fesyen, Encik Ashley Isham; pakar jantung, Dr Abdul Razakjr Omar; dan Imam Masjid Ba’alwie yang juga pejuang keharmonian antara agama, Habib Syed Hassan Al-Attas.
Panel pengadil Anugerah Jauhari BH, yang dibentuk pada 2023, akan memilih pemenang.
Panel pengadil empat anggota itu diterajui oleh Duta Singapura ke Kuwait (Bukan Pemastautin), Encik Zainul Abidin Rasheed; dan Editor BH, Encik Nazry Mokhtar; serta anggota lain termasuk mantan Anggota Parlimen (AP) yang juga Profesor Madya Kelompok Perniagaan, Perhubungan dan Rekaan di Institut Teknologi Singapura (SIT) dan Timbalan Pengarah Pusat Kepimpinan Masyarakat dan Inovasi Sosial SIT, Dr Intan Azura Mokhtar; serta Zamil Kanan yang juga Penyelaras bagi Program Pengajian Budaya dan Sosial Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat.
Di samping Anugerah Jauhari, pencalonan bagi Anugerah Jauhari Harapan kini turut dibuka.
Individu yang akan dicalonkan harus berusia 30 tahun atau ke bawah dan telah menunjukkan pencapaian dan potensi dalam bidang tersendiri.
Pemenang Jauhari Harapan 2024 merupakan pekerja sosial, Cik Zulayqha Zulkifli, yang mengasaskan bersama Project Hill bagi membantu golongan kurang bernasib baik dan keluarga yang tinggal di flat sewa.
Pemenang Anugerah Jauhari Harapan yang lain termasuk petinju profesional, Muhammad Ridhwan, ‘The Chosen Wan’; pendayung negara dan atlet Olimpik, Saiyidah Aisyah Mohamed; dan penerima biasiswa presiden, Muhammad Dhafer Muhammad Faishal.
Mereka yang ingin membuat pencalonan boleh mengimbas kod QR atau melayari pautan berikut: https://bh.sg/hahq
Sertakan pencapaian dan sebab individu atau pertubuhan tersebut layak menerima anugerah itu.
Sertakan juga nama penuh pencalon dan kaitan pencalon dengan individu atau pertubuhan yang dicalonkan.
Pencalonan ditutup pada 17 Ogos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg