Skrip Drama Pentas yang telah diterbitkan sendiri tanpa Nombor Buku Standard Antarabangsa (ISBN) tetapi boleh didapatkan secara komersial kini boleh diterima bagi pencalonan Anugerah Persuratan 2026.

Kriteria bagi kategori Skrip Drama Pentas yang dikemas kini itu berbeza dengan edisi sebelumnya pada 2023, yang hanya menerima pencalonan karya diterbitkan dengan ISBN.

Kategori Sastera Kanak-Kanak juga diperkembang untuk menerima karya bagi pembaca dalam lingkungan umur antara empat dengan 12 tahun.

Hal tersebut mencerminkan kepelbagaian karya sastera yang semakin berkembang dan diterbitkan bagi pembaca muda.

Empat lagi kategori termasuk Cerpen, Esei/Kajian Sastera, Novel dan Puisi juga dibuka untuk menerima pencalonan bagi Hadiah Persuratan.

Bagi Hadiah Persuratan, karya yang layak mestilah ditulis dalam Bahasa Melayu dan dihasilkan oleh warga atau Penduduk Tetap (PR) Singapura.

Ia mesti diterbitkan antara 2023 dengan 2025 sama ada di Singapura atau luar negara, serta mempunyai ISBN yang sah (kecuali bagi kategori Skrip Drama Pentas).

Seperti edisi-edisi lepas, tiga lagi anugerah termasuk Anugerah Tun Seri Lanang, Anumerta Tun Seri Lanang dan Anugerah Harapan akan disampaikan kepada penulis yang telah menyumbang kepada dunia kesusasteraan di Singapura.

Anugerah Tun Seri Lanang ialah anugerah yang mengiktiraf sumbangan cemerlang terhadap bahasa dan persuratan Melayu.

Anumerta Tun Seri Lanang pula menghargai tokoh yang telah meninggal dunia tetapi telah memberi sumbangan besar kepada dunia persuratan sepanjang hayatnya.

Sementara itu, Anugerah Harapan mengiktiraf penulis muda berusia bawah 40 tahun yang menunjukkan potensi besar dalam bidang persuratan.

Penyertaan dan pencalonan bagi Anugerah Persuratan 2026 telah dibuka pada 11 Ogos dan akan ditutup pada 6 petang, 15 September.