Badan-badan yang ingin menjalankan operasi kemanusiaan di Tebing Barat dan Gaza perlu mendaftar dengan Kementerian Dalam Negeri Penguasa Palestin (PA), dan tidak memerlukan sebarang pengesahan daripada pemerintah Singapura untuk tujuan pendaftaran tersebut.

Perkara ini dimaklumkan oleh Kementerian Ehwal Luar (MFA), Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dalam satu kenyataan bersama pada 22 September.

Penjelasan ini dibuat susulan pertemuan pengasas Love Aid Singapore, Encik Gilbert Goh bersama Pejabat Pesuruhjaya Pertubuhan-pertubuhan Amal (COC) pada 21 September untuk membincangkan beberapa perkara yang dibangkitkan oleh Encik Goh.

Dalam pertemuan itu, antara lain, Encik Goh telah memohon sokongan rasmi daripada MFA bagi membolehkan pertubuhannya untuk mendaftar sebagai pertubuhan bukan pemerintah (NGO) di Gaza.

“MFA telah mendapatkan penjelasan daripada PA, yang memaklumkan bahawa organisasi yang menjalankan operasi kemanusiaan di Tebing Barat dan Gaza perlu mendaftar dengan Kementerian Dalam Negeri PA.

“PA selanjutnya menasihatkan bahawa organisasi sedemikian tidak perlu mendapatkan pengesahan daripada pemerintah masing-masing bagi tujuan pendaftaran,” kata jurucakap MFA, MHA dan COC.

Selain isu pendaftaran, pertemuan itu turut menyentuh hasrat Love Aid Singapore untuk menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Hospital Al-Awda (AAH) yang terletak di Jaluran Gaza.

Pihak COC menjelaskan bahawa keputusan memeterai MOU tersebut adalah hak Love Aid Singapore sendiri, namun menggesa badan itu untuk melaksanakan proses penilaian yang wajar (due diligence) ke atas rakan kerjasamanya.

“PA telah memaklumkan bahawa AAH tidak bersekutu dengan PA, dan pihak PA tidak mempunyai sebarang peranan dalam pengurusan hospital berkenaan,” menurut kenyataan bersama itu.

Dalam pada itu, pemerintah Singapura turut menggalak rakyat Singapura untuk terus menyokong usaha kemanusiaan bagi Gaza melalui saluran yang berwibawa, tambah kenyataan bersama itu.

Ini termasuk menerusi badan-badan seperti PA, Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Program Makanan Sedunia (WFP), Palang Merah Singapura (SRC) dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).

Ketika dihubungi Berita Harian pada 23 September, Encik Goh berkata pertemuannya dengan COC berlangsung “dalam suasana mesra dan rasmi seperti biasa” seperti pertemuan kerap mereka sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun demikian, beliau mendakwa maklumat yang diperolehnya secara peribadi sewaktu kunjungannya ke Kementerian Ehwal Dalam Negeri di Ramallah dan pertemuannya dengan Duta Palestin di Jakarta tiga bulan lalu adalah berbeza.

“Pihak pemerintah menyatakan bahawa pengesahan mereka tidak diperlukan; hanya kelulusan daripada pihak PA sahaja yang diperlukan,” kata Encik Goh.

“Kami telah pergi sendiri ke Kementerian Dalam Negeri PA di Ramallah tiga bulan lalu, dan dimaklumkan bahawa pengesahan daripada pemerintah kita diperlukan sebelum pendaftaran boleh dibuat.

“Kami juga telah menemui Duta Palestin di Jakarta, yang turut menyatakan bahawa pengesahan daripada pemerintah kita diperlukan sebelum pendaftaran boleh dilakukan dengan pihak PA di Ramallah,” kata Encik Goh.

“Kami kini akan mendapatkan khidmat peguam untuk membuat pendaftaran bagi pihak kami di Baitulmaqdis, atau mencari cara yang sah untuk melakukannya tanpa menyusahkan pemerintah kita – sesuatu yang sememangnya tidak kami inginkan sejak awal lagi.”

Beliau menekankan langkah pendaftaran rasmi itu penting bagi memastikan kelangsungan operasi bantuan mereka di rantau berkenaan.

“Tanpa pendaftaran yang betul, kami mungkin ditutup secara rasmi oleh Penyelaras Aktiviti Pemerintah di Wilayah (Cogat), sebuah organisasi yang diterajui Israel yang menyelaras bantuan di Palestin,” ujar beliau dalam satu catatan Instagram pada 22 September.