Topik diikuti
Pergi ke BHkuRahayu: Maklum balas belia bantu bentuk undang-undang lindungi kanak-kanak di dalam talian
Rahayu: Maklum balas belia bantu bentuk undang-undang lindungi kanak-kanak di dalam talian
Rahayu: Maklum balas belia bantu bentuk undang-undang lindungi kanak-kanak di dalam talian
Maklumat yang diraih daripada usaha berterusan bagi mengumpul pandangan mengenai rancangan pemerintah untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat bagi kanak-kanak, akan membantu membentuk undang-undang untuk melindungi mereka secara berkesan, kata Menteri Negara Pembangunan Digital dan Penerangan, Cik Rahayu Mahzam.
Bercakap kepada media selepas satu sesi perbincangan dengan belia pada 4 Julai, Cik Rahayu berkata bahawa adalah amat penting untuk memahami perspektif golongan belia.
“Saya kagum dengan kematangan dan tahap kecanggihan digital belia kita. Mereka amat sedar tentang semua bahaya dalam talian, isu privasi dan maklumat palsu. Mereka jauh lebih canggih daripada yang kita jangkakan,” kata beliau.
Cik Rahayu menambah bahawa ramai peserta belia lebih menggemari pendekatan bertingkat untuk mengawal selia akses media sosial.
Ini berbanding larangan mutlak seperti yang dikuatkuasakan di Australia pada Disember 2025, yang melarang mereka di bawah usia 16 tahun daripada menggunakan mana-mana platform media sosial.
“Mereka juga sedar bahawa undang-undang ada batasnya,” kata Cik Rahayu.
Beliau menambah bahawa adalah penting juga untuk mendampingi dan melengkapkan ibu bapa dengan pengetahuan penting, agar mereka dapat menyokong anak-anak mereka di ruang digital.
Kementerian Pembangunan Digital dan Penerangan (MDDI) telah mengadakan sesi perbincangan bersama belia pada 4 Julai bagi mengumpul pandangan mengenai rancangan pemerintah untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk kanak-kanak.
Sekitar 75 belia, yang berusia antara 13 hingga 35 tahun, menyertai sesi tersebut yang diadakan di pusat konvensyen Suntec.
Semasa sesi itu, para peserta menghabiskan masa lebih dua jam untuk membincangkan pelbagai topik berkait keselamatan siber.
Ini termasuk sama ada pendekatan akses bertingkat akan menjadikan platform media sosial lebih selamat untuk pengguna muda, dan apakah tahap akses yang sepatutnya diberikan kepada kanak-kanak daripada kumpulan umur yang berbeza.
Sesi-sesi akan datang yang dianjurkan oleh MDDI pada Julai termasuk satu dialog bersama ibu bapa, serta sebuah forum mengenai keselamatan dalam talian yang dianjurkan bersama Institut Kajian Dasar (IPS).
