Maklumat yang diraih daripada usaha berterusan mengumpul pandangan mengenai rancangan pemerintah mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat bagi kanak-kanak, akan membantu membentuk undang-undang melindungi mereka secara berkesan, kata Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam.

Bercakap kepada media selepas satu sesi perbincangan dengan belia pada 4 Julai, Cik Rahayu berkata bahawa adalah amat penting untuk memahami perspektif golongan belia.

“Saya kagum dengan kematangan dan tahap kecanggihan digital belia kita. Mereka amat sedar tentang semua bahaya dalam talian, isu privasi dan maklumat palsu. Mereka jauh lebih canggih daripada yang kita jangkakan,” kata beliau.

Cik Rahayu menambah bahawa ramai peserta belia lebih menggemari pendekatan bertingkat untuk mengawal selia akses media sosial.

Ini berbanding larangan mutlak seperti yang dikuat kuasa di Australia pada Disember 2025, yang melarang mereka di bawah usia 16 tahun daripada menggunakan mana-mana platform media sosial.

“Mereka juga sedar bahawa undang-undang ada batasnya,” kata Cik Rahayu.

Beliau menambah bahawa adalah penting juga untuk mendampingi dan melengkapkan ibu bapa dengan pengetahuan penting, agar mereka dapat menyokong anak mereka di ruang digital.

Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) telah mengadakan sesi perbincangan bersama belia pada 4 Julai bagi mengumpul pandangan mengenai rancangan pemerintah mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk kanak-kanak.

Sekitar 75 belia, yang berusia antara 13 hingga 35 tahun, menyertai sesi tersebut yang diadakan di Pusat Konvensyen Suntec.

Semasa sesi itu, peserta menghabiskan masa lebih dua jam untuk membincangkan pelbagai topik berkait keselamatan siber.

Ini termasuk sama ada pendekatan akses bertingkat akan menjadikan platform media sosial lebih selamat untuk pengguna muda, dan apakah tahap akses yang sepatutnya diberikan kepada kanak-kanak daripada kumpulan umur yang berbeza.

Sesi akan datang yang dianjurkan oleh MDDI pada Julai termasuk satu dialog bersama ibu bapa, serta sebuah forum mengenai keselamatan dalam talian yang dianjurkan bersama Institut Pengajian Dasar (IPS).