Tekun, disiplin urus masa jadi kunci peluang masuk TJC selepas PSLE

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tekun, disiplin urus masa jadi kunci peluang masuk TJC selepas PSLE

Raih gred 1 untuk semua mata pelajaran utama di samping tawaran ke TJC menerusi DSA
Jan 12, 2026 | 5:30 AM

Tekun, disiplin urus masa jadi kunci peluang masuk TJC selepas PSLE

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Program Tuisyen Mendaki, MTP, faiz zaid, DSA
Selain menghadiri kelas tuisyen, Faiz Zaid, turut memanfaatkan masa lapang dengan mengulang kaji sendiri, berbekalkan buku ulang kaji serta menyelesaikan pelbagai soalan latihan dengan menggunakan bahan pembelajaran yang disediakan Program Tuisyen Mendaki (MTP). - Foto MENDAKI 

Sewaktu berada di Darjah 5 pada 2024, Faiz Zaid menyertai Program Tuisyen Mendaki (MTP) bagi memperkukuh penguasaannya dalam Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Disebabkan jadual kegiatan kokurikulum (CCA) sebagai pengawas dan pemain bola sepak sekolah padat, Faiz yang ketika itu berada di Sekolah Rendah Yumin, mengikuti kelas dalam talian di Pusat Maya MTP pada waktu malam.

Menurut Faiz, 12 tahun, pengurusan masa yang baik serta komitmen untuk kekal tekal menjadi kunci utama sepanjang tempoh persiapan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) 2025.

Selain menghadiri kelas tuisyen, dia turut memanfaatkan masa lapang dengan mengulang kaji sendiri, berbekalkan buku ulang kaji serta menyelesaikan pelbagai soalan latihan dengan menggunakan bahan pembelajaran yang disediakan MTP.

“Saya selalu buat latihan ulang kaji menggunakan bahan pembelajaran yang ada terutama yang disediakan MTP.

“Ia membantu saya memahami konsep dengan lebih mendalam lagi dan tahu di mana kelemahan saya,” kata anak kedua tiga beradik itu.

Minatnya terhadap Matematik turut membantunya untuk mengajar adiknya membuat latihan Matematik.

Baginya, berkongsi ilmu dengan orang lain merupakan satu kaedah pembelajaran yang berkesan, sekali gus membantu dalam mengukuhkan kefahaman sendiri.

Keupayaannya dalam Matematik, malahan, melayakkan Faiz menyertai Program Pelajar Lanjutan (ALP) dan beberapa program lain seperti, Success in PSLE pada 2024 dan 2025, serta ‘bootcamp’ PSLE Last Lap yang dikhususkan bagi pelajar ALP.

Ia membantunya memperhalusi teknik menjawab soalan dan meningkatkan keyakinan diri menjelang peperiksaan.

Berkat kegigihannya melakukan latihan intensif sebagai persiapan bagi PSLE, Faiz menerima keputusan cemerlang.

Beliau meraih gred 1 untuk Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Bahasa Ibunda (Melayu).

Bagi Bahasa Melayu Lanjutan pula, Faiz berjaya mendapat gred Kepujian.

Di samping itu, beliau ditawar menyertai Maktab Rendah Temasek (TJC) menerusi laluan Pengambilan Masuk Ke Sekolah secara Langsung (DSA).

DSA mengiktiraf bakat dan pencapaian pelajar dalam pelbagai aspek, melebihi keupayaan akademik.

Pelajar yang mempamerkan bakat luar biasa dalam bidang seperti sukan, muzik atau kepimpinan boleh memohon secara langsung ke maktab rendah yang mengambil bahagian.

Setelah membuat permohonan, pelajar perlu melalui sesi uji bakat dan temu duga dan jika berjaya, mereka akan mendapat tawaran bersyarat sebelum keputusan PSLE diumumkan.

Tawaran DSA bersyarat akan menjadi sah jika pelajar berjaya memenuhi skor PSLE yang ditetapkan sekolah tersebut.

Melahirkan rasa lega dan kesyukuran, Faiz berkata: “Saya tidak menyangka keputusan yang saya peroleh sebaik ini.

“Apa yang saya tahu, saya sudah berusaha sehabis mungkin dengan berdoa, bekerja keras dan tidak berputus asa.”

Semasa diminta nasihat untuk rakan sebaya, Faiz menekankan mengenai kepentingan usaha yang berterusan serta pengurusan masa yang baik.

“Penting untuk membuat persiapan lebih awal dan banyak berlatih dengan soalan tahun-tahun yang lalu.

“Kalau kita konsisten buat ulang kaji dan menggunakan masa dengan baik, insya-Allah akan ada hasilnya.

“Jika tidak berjaya peroleh keputusan seperti yang diharapkan, tidak perlu kecewa, kerana masih ada peluang lain,” ujarnya.

Selain bidang akademik, daya kepimpinan Faiz turut diasah.

“Sebenarnya, sejak di Darjah 3, saya kagum dengan daya kepimpinan seorang Ketua Pengawas yang saya jadikan sebagai suri teladan. Saya ingin jadi sepertinya,” kata Faiz.

Pengalaman itu mendorong Faiz menetapkan sasaran untuk menjadi Ketua Pengawas, sekali gus memupuk keyakinannya memikul tanggungjawab sebagai pemimpin pelajar.

Selain pernah menjadi Ketua Darjah, dia juga merupakan Kapten Pasukan Bola Sepak di Sekolah Rendah Yumin, di Tampines Street 21.

“Pengalaman ini membantu saya membina keyakinan diri, mengasah kemahiran berkomunikasi serta memberi saya keupayaan untuk memimpin rakan sebaya,” tambahnya.

Penting untuk membuat persiapan lebih awal dan banyak berlatih dengan soalan tahun-tahun yang lalu. Kalau kita konsisten buat ulang kaji dan menggunakan masa dengan baik, insya-Allah akan ada hasilnya. Jika tidak berjaya peroleh keputusan seperti yang diharapkan, tidak perlu kecewa, kerana masih ada peluang lain.
Faiz Zaid.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg