Penduduk Kallang kumpul $6,000 dalam masa 4 jam untuk keluarga Allahyarham Daniel
Penduduk Kallang kumpul $6,000 dalam masa 4 jam untuk keluarga Allahyarham Daniel
Penduduk Kallang Trivista, sebuah estet perumahan awam di sepanjang Sungai Kallang, telah berganding bahu untuk mengumpul kira-kira $6,000 dalam tempoh empat jam bagi membantu keluarga remaja lelaki berusia 13 tahun yang lemas di sungai tersebut.
Mangsa, Allahyarham Muhammad Qayyim Daniel Putra Rosli, dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika memancing bersama rakan-rakannya pada 25 Februari.
Mayatnya ditemui pada 26 Februari, lebih 30 jam selepas dia dilaporkan hilang.
Seorang penduduk berusia 45 tahun yang hanya dikenali sebagai Encik Fazlin dalam laporan Mothership membantu menyelaras usaha kutipan dana tersebut.
Beliau berkata penduduk mahu melakukan sesuatu untuk keluarga itu.
Sejak dua hari sebelumnya, ramai melihat ahli keluarga menunggu khabar berita di kawasan itu dan berasa simpati.
Sebagai ibu bapa, mereka merasakan kejadian itu lebih dekat di hati kerana tempat kemalangan hanya beberapa langkah dari rumah mereka.
Memandangkan ketika itu Ramadan dan keluarga mangsa berpuasa, penduduk tidak dapat menawarkan makanan atau minuman.
Apabila mayat Allahyarham ditemui pada petang Khamis, seorang penduduk mencadangkan kutipan dana bagi meringankan beban keluarga, memandangkan ibunya pencari nafkah tunggal.
Encik Fazlin menghubungi bapa saudara Allahyarham, yang dikenali sebagai ‘Encik Sham’, dan memaklumkan penduduk lain keesokan paginya.
Lebih 80 penduduk menyumbang pada 27 Februari.
Encik Fazlin merekod setiap derma bagi memastikan ketelusan sebelum menyerahkan wang itu kepada ibu mangsa bersama nota takziah.
Selain sumbangan kewangan, beberapa penduduk turut berjalan di sepanjang sungai bagi membantu usaha mencari.
Seorang lagi penduduk, Cik Pamela, 40 tahun, berkata mereka amat bersedih dan mahu menunjukkan sokongan selepas melihat keluarga Allahyarham menunggu di blok mereka.
Allahyarham, pelajar Northlight School dan anak kedua daripada tiga beradik, turut dikenang dalam talian apabila rakan-rakan meninggalkan mesej kesedihan dan doa di akaun TikToknya.
Menurut laporan The Straits Times, Encik Sham mengesahkan identiti mayat tersebut sebelum memaklumkan keluarga.
“Sekurang-kurangnya keluarga kini boleh berasa tenang kerana Daniel sudah pulang,” katanya.
Daniel dilaporkan hilang sekitar 4:30 petang pada 25 Februari ketika cuba melepaskan tali pancing yang tersangkut.
Seorang lagi remaja berjaya diselamatkan, namun Daniel dihanyutkan arus.
Operasi mencari dan menyelamat oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) disambung keesokan harinya sebelum mayatnya ditemui pada malam 26 Februari.

