Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengamat: Cabaran berterusan banteras maklumat palsu dalam talian
Pengamat: Cabaran berterusan banteras maklumat palsu dalam talian
Pengamat: Cabaran berterusan banteras maklumat palsu dalam talian
Usaha membanteras maklumat palsu dalam talian berdepan cabaran berterusan, apabila platform sebegitu boleh muncul kembali dengan pantas, meskipun selepas tindakan penguatkuasaan diambil.
Justeru, peranan penting itu menjadi tanggungjawab individu dan masyarakat untuk memerangi laman web tidak sahih, melalui peningkatan celik media serta kesedaran yang lebih tinggi apabila berinteraksi dengan kandungan dalam talian.
Ini adalah pandangan yang dikongsi pengamat yang dihubungi Berita Harian (BH), menyusuli tindakan menyekat enam laman web tidak sahih yang dikenal pasti oleh pemerintah pada 23 April.
Ia dipercayai digunakan untuk melancarkan kempen maklumat berniat jahat (HIC) terhadap Singapura.
Berkongsi pandangannya kepada BH, pengasas dan pengarah urusan agensi kajian pemasaran dan sosial, Black Dot Research, Encik Nicholas Fang, berkata:
“Menyekat laman web sahaja tidak memadai untuk menangani isu ini.
“Setiap kali sesebuah laman web disekat, yang baharu akan terus muncul.
“Ini menjadikan ancaman tersebut sukar dihapuskan secara menyeluruh.
“Justeru, kita perlu membina masyarakat yang lebih berpendidikan dan celik media agar ekosistem maklumat yang sihat dapat melindungi masyarakat daripada ancaman sedemikian.
“Usaha ini menuntut kerjasama padu daripada sektor awam, swasta dan rakyat, termasuk individu, untuk memastikan mereka dididik serta peka terhadap ancaman yang wujud di sekeliling mereka,” ujarnya.
Dalam kenyataan bersama pada 23 April, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) menjelaskan bahawa laman-laman web itu menyamar sebagai laman web Singapura.
Penyamaran itu dilakukan dengan memperdaya identiti atau spoofing, menggunakan istilah Singapura dalam nama domain, serta memaparkan berita dan teks tempatan yang serupa.
Enam laman web yang dikenal pasti ialah singaporeheadline.com, singaporeweek.com, singapore24hour.com, nanyangweekly.com, singaporebuzz.com, dan sgtimes.com.
Mengulas lanjut, Encik Fang menjelaskan bahawa perkembangan itu mencerminkan sebahagian daripada media sintetik, di mana kandungan dihasil atau dimanipulasi menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Ia semakin kerap digunakan untuk meniru pelbagai platform media, termasuk media sosial dan berita.
“Taktik ini merupakan antara perkembangan terkini dalam evolusi ancaman operasi maklumat, campur tangan, dan HIC.
“Dengan meniru platform berita dan media sedia ada, laman web tidak sahih ini mungkin lebih berupaya meyakinkan netizen sebagai sumber maklumat yang sah.
“Ini seterusnya membantu mereka membina pengikut dalam kalangan kumpulan sasaran, sebelum naratif tertentu disalurkan pada masa yang sesuai,” jelas beliau.
Menjawab pertanyaan BH, MHA berkata tiada keperluan untuk mengambil tindakan segera terhadap laman-laman web tersebut, kerana ia belum digunakan dalam mana-mana HIC terhadap Singapura, serta tahap pendedahan di dalam negara yang masih rendah.
Sementara itu, Zamil Kanan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Encik Benjamin Ang, mengingatkan bahawa laman web sebegitu boleh menimbulkan risiko lebih luas terhadap kepercayaan awam dan keharmonian sosial.
Ini kekal benar meskipun laman web berkenaan pada awalnya kelihatan menerbitkan kandungan neutral dan tidak kontroversial.
“Pada masa hadapan, sekiranya laman web yang kelihatan neutral ini digunakan untuk menyiarkan cerita yang bersifat memecahbelahkan... dan disebarkan melalui kumpulan sembang peribadi dalam kalangan keluarga dan rakan, gaya hidup yang sibuk mungkin menyebabkan orang ramai lebih mudah mempercayainya.
“Ini seterusnya boleh menjejas kepercayaan awam serta keharmonian sosial,” tambah beliau.
