Keputusan susulan mesyuarat khas Parti Pekerja (WP) pada 28 Jun yang diminta oleh 25 kader parti yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Encik Pritam Singh, tampak telah mengukuhkan perpaduan dan kesahan kepimpinan parti.

Ia berkemungkinan besar akan meletakkan WP dalam kedudukan lebih kukuh pada masa hadapan.

Demikian menurut pengamat politik yang dihubungi Berita Harian (BH).

Pemerhati politik bebas yang juga pensyarah daripada Sekolah Sains Kemasyarakatan, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Felix Tan, menambah, hakikat bahawa Encik Pritam terus menerajui kepimpinan WP selepas undian supermajoriti yang memihak kepadanya, dan mengekalkan jawatannya sebagai setiausaha agung tanpa bertanding, menandakan keyakinan parti itu terhadap kepimpinannya.

“Keputusan ini tidaklah begitu mengejutkan, memandangkan sokongan padu yang terus dinikmati oleh Pritam Singh dalam WP.

“Sepanjang keseluruhan saga ini, kepimpinan parti – terutama Anggota Parlimennya – sentiasa menyokongnya, menunjukkan keyakinan terhadap kepimpinannya meskipun terdapat cabaran perundangan dan politik yang dihadapinya,” kata Dr Tan.

“Cabaran ini nampaknya telah mengukuhkan perpaduan dan keabsahan kepimpinan parti dan bukannya mendedahkan perpecahan dalaman.

“Ini berkemungkinan akan meletakkan WP dalam kedudukan yang lebih kukuh pada masa hadapan, membolehkannya kurang memberi tumpuan kepada politik dalaman dan lebih memberi fokus kepada peranannya di Parlimen sebagai parti pembangkang utama negara,” tambah beliau.

Penganalisis Kanan, Ehwal Antarabangsa di Solaris Strategies Singapore, Dr Mustafa Izzuddin, pula mengulas:

“Dengan sokongan majoriti besar, dan tiada sesiapa yang bertanding menentangnya bagi jawatan Setiausaha Agung, kedudukan Encik Pritam jelas telah diperkukuh dalam parti, justeru memberikannya mandat yang sihat untuk memimpin parti sebagai pemimpinnya di dalam dan di luar parti untuk membentuk masa depan politik pembangkang di Singapura.

“Dengan kedudukan Encik Pritam yang diperkukuh, kedudukan WP juga telah diperkukuh.”

Pensyarah undang-undang, Profesor Madya Eugene Tan, daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU), pula berpendapat bahawa Encik Pritam berjaya mengekalkan kedudukannya bukan hanya kerana beliau menerima bilangan undi yang banyak, bahkan juga kerana mantan Ketua Parti WP, Encik Low Thia Khiang, tidak menarik balik sokongannya terhadap beliau.

“Sebagai ahli politik yang bijak, Encik Pritam dapat menunjukkan bahawa beliau layak menerima kepercayaan dan keyakinan kader.

“Pastinya beliau akan rasa rendah diri dengan cabaran terbuka pertama ini terhadap kepimpinannya dan saya percaya beliau bertindak balas dengan sewajarnya.

“Pengaruh Encik Pritam terhadap partinya mungkin lebih kuat walaupun ruang bagi sebarang kesilapan besar telah berkurangan dengan ketara,” ujar Profesor Tan.

Menurut Dr Mustafa, keputusan tersebut menunjukkan bahawa seruan bagi persidangan kader khas dibuat oleh minoriti yang lantang dan bukannya majoriti senyap yang menyokong Encik Pritam.

Ia juga menunjukkan WP bersatu dan mempunyai keyakinan penuh terhadap kepimpinan Encik Pritam.

Sementara itu, ahli sains politik, Profesor Madya Chong Ja Ian, daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata keputusan mesyuarat khas WP itu sama sekali tidak mengejutkan.

“Bagi WP, ini merupakan pengukuhan pendirian asal mereka, memandangkan mereka telah menunjukkan prestasi yang baik dalam pilihan raya di bawah kepimpinan Encik Pritam,” ujar Dr Chong.

Beliau berpendapat parti tersebut nampaknya sudah bersedia meletakkan isu ini di belakang dan mengorak langkah ke hadapan.

“Sama ada parti-parti politik (lain) dan beberapa pihak media akan membenarkan mereka berbuat demikian adalah perkara lain,” tambahnya.

Dalam pada itu, keputusan tersebut juga mencerminkan hakikat bahawa parti pemerintah dan pembangkang dinilai berdasarkan piawaian dan jangkaan yang berbeza, kata Profesor Tan.

Meskipun disabitkan Mahkamah Tinggi kerana memalsukan keterangan melibatkan mantan Anggota Parlimen (AP) WP, Cik Raeesah Khan, di hadapan jawatankuasa Parlimen, Encik Pritam tetap menerima sokongan padu WP.

“Adalah wajar untuk mengatakan bahawa PAP (Parti Tindakan Rakyat) dan parti-parti pembangkang, termasuk WP, masih dinilai berdasarkan piawaian dan jangkaan yang berbeza.

“Tetapi WP tidak boleh mengharapkan layanan berbeza itu kekal, apatah lagi ia berusaha untuk membentuk pemerintah suatu hari nanti,” ujar Profesor Tan.

“Sebaliknya, jika mereka menunjukkan mereka mempunyai piawaian dan norma setinggi PAP, kedudukan mereka akan meningkat dengan lebih tinggi.

“Dalam erti kata lain, mereka perlu menunjukkan mereka layak mendapat kepercayaan dan keyakinan pengundi,” tambah beliau.

Namun, Dr Tan daripada NTU berpendapat, piawaian berbeza yang digunakan oleh orang ramai untuk menilai parti pemerintah dan pembangkang memang boleh difahami.

“PAP secara tekal meletakkan dirinya sebagai parti yang menegakkan piawaian kecekapan, integriti dan kebertanggungjawapan yang tinggi.

“Akibatnya, pengundi sering memegang piawaian tersebut untuk PAP dan mengharapkannya memenuhi penanda aras yang telah ditetapkan untuk dirinya sendiri.

“Sebaliknya, parti-parti pembangkang secara amnya tidak berkempen atas dasar bahawa mereka sudah mampu mentadbir pada skala yang sama.

“Sebaliknya, mereka sering dinilai berdasarkan sama ada mereka membuat kemajuan yang boleh dipercayai sebagai kuasa politik alternatif,” jelas beliau.

Dr Mustafa berpendapat bahawa jurang semakin rapat antara piawaian yang dipegang bagi parti pemerintah PAP dengan parti pembangkang WP.

Dr Chong pula mengatakan bahawa pengundi berkebolehan menilai apa yang dianggap boleh dipercayai.

“Tanpa menolak penghakiman mahkamah ke atas Encik Pritam, mungkin berguna untuk memisahkan apa yang berlaku secara sah daripada bagaimana orang ramai mungkin melihat sesuatu keadaan perkara itu secara politik dan beretika.

“Rakyat Singapura arif. Saya tidak akan memandang rendah keupayaan mereka untuk membezakan apa yang mereka lihat sebagai boleh dipercayai,” tambah Dr Chong.