Topik diikuti
Pergi ke BHku20 penerbangan dari S’pura dibatal dek Taufan Bavi di Jepun
20 penerbangan dari S’pura dibatal dek Taufan Bavi di Jepun
20 penerbangan dari S’pura dibatal dek Taufan Bavi di Jepun
Beberapa penerbangan dari Singapura ke timur laut Asia telah dibatalkan pada 11 dan 12 Julai akibat Taufan Bavi.
Sebagai menjawab pertanyaan The Straits Times, Changi Airport Group (CAG) berkata sekurang-kurangnya 20 penerbangan telah dibatalkan merentasi syarikat penerbangan dan destinasi.
Penerbangan yang dibatalkan termasuk penerbangan Singapore Airlines (SIA) SQ828, SQ830, SQ832 dan SQ836 dari Singapura ke Shanghai pada 11 Julai.
SIA juga menambah dalam nasihatnya pada 10 Julai bahawa penerbangan SQ831, SQ833, SQ835 dan SQ825 yang berlepas dari Shanghai ke Singapura pada 11 dan 12 Julai telah dibatalkan.
Dua penerbangan syarikat penerbangan itu antara Singapura dengan Shanghai juga telah dijadualkan semula.
Penerbangan oleh China Airlines, EVA Air, XiamenAir, Juneyao Airlines dan Air China dari Singapura ke Taipei, Fuzhou atau Shanghai juga telah dibatalkan, kata CAG.
Penumpang dinasihatkan supaya menyemak kemas kini di laman web Lapangan Terbang Changi, kerana perubahan penerbangan lain mungkin diumumkan kelak.
Awal minggu ini, SIA dan syarikat penerbangan tambang rendahnya, Scoot, telah membatalkan sekurang-kurangnya 18 penerbangan antara Singapura dengan Tokyo, Sapporo, Seoul dan Taipei.
Dengan angin meniup lebih 200 kilometer sejam, Taufan Bavi melanda wilayah pulau selatan Jepun, Okinawa, pada pagi 11 Julai, menjejaskan beberapa penerbangan dan mendorong Agensi Meteorologi Jepun memberi amaran tentang tanah runtuh dan banjir, menurut Kyodo News.
Ia diramalkan akan mendarat di sekitar bandar Wenzhou, timur China, pada lewat hari itu atau awal 12 Julai.
Reuters melaporkan ia dijangka menjadi salah satu taufan terkuat yang menjejaskan China sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Media sebelum ini melaporkan kedua-dua syarikat penerbangan itu menyatakan pelanggan yang terjejas akan dimaklumkan mengenai perubahan tersebut, dan akan ditawarkan pilihan untuk menukar tempahan mereka, atau memohon bayaran balik penuh.
Pelanggan yang membuat tempahan menerusi ejen pelancongan atau syarikat penerbangan rakan kongsi, dinasihatkan supaya menghubungi terus ejen pelancongan atau syarikat penerbangan tempat mereka membeli tiket untuk mendapatkan bantuan.
