Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengasas Shopee gesa usahawan S’pura berani kejar cita-cita besar
Pengasas Shopee gesa usahawan S’pura berani kejar cita-cita besar
Usahawan perlu mempunyai keyakinan dan ketabahan dalam mengejar cita-cita besar, malah sanggup dianggap ‘gila’ kerana berbuat demikian, kata Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sea Limited, Encik Forrest Li.
Berkongsi iktibar daripada perjalanan keusahawanannya, Encik Li menggesa rakyat Singapura agar sentiasa dahagakan kejayaan dan berani melakukan sesuatu yang dianggap ‘tidak masuk akal’, serta menjadikan semangat keusahawanan sebagai budaya yang berkekalan.
“Singapura sudah pun mempunyai kisah kejayaan keusahawanan yang luar biasa – sebuah negara yang pada mulanya tidak dijangka berjaya, namun akhirnya mencapai kejayaan.
“Tetapi tidak kira sebanyak mana yang kita capai, saya berharap kita tidak akan berasa tugas kita sudah selesai.
“Saya berharap kita sentiasa menginginkan lebih banyak lagi – demi masyarakat kita, anak-anak kita dan generasi cucu kita.
“Saya juga berharap kita sentiasa cukup berani untuk memperjuangkan apa yang kita yakini, tidak kira apa pandangan orang lain.
“Sentiasa bersedia untuk bersatu dan menjayakannya, sebagaimana yang dilakukan generasi pengasas kita,” kata Encik Li, yang menerajui perniagaan permainan video, Garena, dan platform e-dagang global, Shopee.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama di Siri Ceramah Ulung JY Pillay edisi ketiga anjuran Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) pada 25 November.
Bertemakan ‘Staying Hungry, Staying Foolish’, ceramah itu menyingkap perjalanan keusahawanan Encik Li serta pengalaman beliau melibatkan diri dalam arena bola sepak Singapura.
Mengimbau perjalanan keusahawanannya, Encik Li berkata beliau mengambil risiko meninggalkan pekerjaan dengan pendapatan tetap untuk menubuhkan Garena ketika Krisis Kewangan Global, meskipun dibebani hutang pengajian sebanyak $100,000.
Dalam tempoh beberapa tahun, Garena berjaya mencapai status ‘unicorn’, dengan nilai syarikat mencecah $1 bilion.
Kejayaan Garena kemudian mendorong beliau menceburi bidang e-dagang dengan menubuhkan Shopee, meskipun langkah itu dipersoal pelabur memandangkan syarikatnya tidak mempunyai pengalaman dalam bidang tersebut.
Shopee, yang bermula dengan hanya 22 pekerja, kini turut menjadi antara platform e-dagang terbesar di Brazil.
“Langkah yang dianggap ‘gila’ hanya kelihatan baik apabila kita menoleh ke belakang setelah mencapai kejayaan,” ujar beliau.
Menurut Encik Li, jika seseorang mengetahui sejak awal betapa sukarnya sesuatu usaha, mereka mungkin tidak akan memulakannya, namun keazaman untuk terus maju membolehkan mereka mengatasi cabaran.
Encik Li, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), berkata semangat keusahawanan itu turut diterapkan dalam usahanya membangunkan bola sepak setempat.
Ini termasuk menubuhkan Lion City Sailors, kelab bola sepak profesional milik swasta pertama di Singapura, yang mencipta sejarah pada 2025 dengan mara ke final Liga Juara-Juara AFC Dua (ACL2).
Penglibatannya didorong hasrat membalas jasa Singapura serta mengembalikan rasa bangga dan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat menerusi sukan tersebut.
Beliau turut menarik persamaan antara semangat keusahawanan dengan keberanian pemimpin pengasas Singapura dalam membangunkan negara meskipun berdepan pelbagai kekangan.
Menurutnya, saiz Singapura yang kecil juga merupakan satu kelebihan kerana rakyatnya mampu bersatu dan bergerak pantas apabila mempunyai matlamat bersama.
“Setiap kejayaan seharusnya meningkatkan lagi tahap cita-cita dan aspirasi kita.
“Dengan semangat keusahawanan, saya percaya kita mampu mencapai sesuatu yang tidak terbayangkan,” tambahnya.