Penunggang dan pembonceng motosikal yang melalui Pusat Pemeriksaan Tuas kini boleh menjalani pemeriksaan imigresen lebih pantas menerusi teknologi pengecaman wajah.

Kemudahan itu terdapat di kesemua 80 lorong automatik ketibaan dan pelepasan di pusat pemeriksaan itu mulai 18 September, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam satu hantaran Facebook.

Ia boleh digunakan oleh penduduk Singapura, pemegang pas jangka panjang dan pelawat asing yang pernah memasuki Singapura sebelum ini, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Pelawat asing yang kali pertama memasuki Singapura dan pengembara yang kembali ke sini menggunakan pasport berbeza daripada lawatan sebelum ini, perlu menjalani pemeriksaan imigresen secara biasa, tambah LTA.

Sistem itu, sebahagian Konsep Pelepasan Baru (NCC) bagi pengalaman imigresen tanpa sentuhan yang lebih pantas dan selamat, mula diperkenalkan di 18 lorong motosikal automatik di ruang ketibaan Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 31 Mac.

Pihak berkuasa berkata sistem itu akan diperluas secara berperingkat ke kesemua 70 lorong motosikal automatik ketibaan dan pelepasan di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Sistem pengecaman wajah baharu itu mengurangkan masa pemeriksaan motosikal di Pusat Pemeriksaan Woodlands daripada 30 saat kepada sekitar 20 saat.

Di bawah sistem baharu itu, penunggang dan pembonceng motosikal perlu mengimbas pasport atau kod QR yang dijana melalui aplikasi mudah alih MyICA di pusat pemeriksaan.

Palang untuk masuk kemudian dinaikkan bagi membolehkan penunggang motosikal memasuki lorong dan meneruskan proses pengimbasan wajah.

Penunggang dan pembonceng motosikal bertopi keledar perlu memandang kamera untuk merakam imej wajah mereka. Setelah identitinya disahkan, palang masuk dinaikkan dan pemeriksaan imigresen selesai.

Pengembara mesti membawa pasport mereka kerana ia mungkin diperlukan untuk pengesahan.

Imej wajah akan menggantikan cap jari sebagai pengecam biometrik utama bagi penunggang dan pembonceng motosikal secara berperingkat di pusat pemeriksaan darat.