Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengecaman wajah percepat pemeriksaan motosikal di Pusat Pemeriksaan Tuas
Pengecaman wajah percepat pemeriksaan motosikal di Pusat Pemeriksaan Tuas
Penunggang dan pembonceng motosikal yang melalui Pusat Pemeriksaan Tuas kini boleh menjalani pemeriksaan imigresen lebih pantas menerusi teknologi pengecaman wajah.
Kemudahan itu terdapat di kesemua 80 lorong automatik ketibaan dan pelepasan di pusat pemeriksaan itu mulai 18 September, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam satu hantaran Facebook pada hari yang sama.
Ia boleh digunakan oleh penduduk Singapura, pemegang pas jangka panjang dan pelawat asing yang pernah memasuki Singapura sebelum ini.
Pelawat asing yang kali pertama memasuki Singapura dan pengembara yang kembali ke sini dengan menggunakan pasport berbeza daripada lawatan sebelum ini, perlu menjalani pemeriksaan imigresen secara biasa, tambah ICA.
Sistem itu, sebahagian daripada Konsep Pelepasan Baru (NCC) bagi pengalaman imigresen lebih pantas dan selamat, mula diperkenalkan di 18 lorong motosikal automatik di ruang ketibaan Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 31 Mac.
Pihak berkuasa itu pada 26 Mac telah berkata sistem tersebut akan diperluas secara berperingkat ke kesemua 70 lorong motosikal automatik bagi ketibaan dan pelepasan di Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Sistem pengecaman wajah baharu itu mengurangkan masa pemeriksaan motosikal di Pusat Pemeriksaan Woodlands daripada 30 saat kepada sekitar 20 saat.
Di bawah sistem baharu itu, penunggang dan pembonceng motosikal perlu mengimbas pasport atau kod QR yang dijana melalui aplikasi mudah alih MyICA di pusat pemeriksaan tersebut.
Palang untuk masuk kemudian dinaikkan bagi membolehkan penunggang motosikal memasuki lorong dan meneruskan proses pengimbasan wajah.
Penunggang motosikal yang memakai topi keledar jenis muka terbuka mesti memandang ke arah kamera supaya imejnya dapat dirakam.
Penunggang motosikal dan pembonceng yang memakai topi keledar jenis muka penuh mesti menanggalkan topi keledar mereka bagi memastikan ciri-ciri wajah mereka kelihatan sepenuhnya.
Setelah identiti mereka disahkan, palang masuk akan dinaikkan bagi membolehkan mereka melepasi pemeriksaan imigresen.
Pengembara mesti membawa pasport mereka kerana ia mungkin diperlukan untuk pengesahan.
Imej wajah akan menggantikan cap jari sebagai pengecam biometrik utama bagi penunggang dan pembonceng motosikal secara berperingkat di pusat pemeriksaan darat.
