Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penghantaran palsu bungkusan SingPost: Lebih banyak butiran didedah

Penghantaran dikendali anak syarikat SingPost di Hong Kong yang kini telah dilupuskan
Dec 22, 2025 | 6:57 PM
Singapura, SingPost, penghantaran, bungkusan, delivery fraud, parcel
Bungkusan yang terjejas dikendalikan oleh bekas anak syarikat SingPost, Quantium Solutions (Hong Kong). - Foto BT

Lebih banyak butiran telah didedahkan mengenai kes penghantaran palsu bungkusan Singapore Post (SingPost) yang terbongkar pada 2024.

Pelanggan utama yang terlibat ialah Cainiao, anak syarikat logistik kepada Alibaba.

Penipuan tersebut melibatkan pemindahan transit bungkusan dari China ke Canada melalui Hong Kong, yang dikendalikan oleh bekas anak syarikat SingPost, Quantium Solutions (Hong Kong), lapor The Business Times (BT).

Pada 22 Disember 2024, dalam pemfailan kepada Bursa Singapura (SGX), SingPost mendedahkan kewujudan laporan pemberi maklumat mengenai dakwaan kemasukan kod status penghantaran tertentu secara manual, bagi bungkusan transit antarabangsa untuk salah seorang pelanggan terbesarnya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tanpa asas atau dokumen sokongan, dengan tujuan mengelakkan penalti kontrak.

Bungkusan berkenaan dimaklumkan ditanda dengan kod ‘kegagalan penghantaran’ (DF), yang menunjukkan cubaan penghantaran telah dibuat tetapi gagal.

Namun, difahamkan sebenarnya tiada percubaan penghantaran dilakukan.

Sebaliknya, bungkusan tersebut disimpan di sebuah gudang di Hong Kong sebelum akhirnya dipulangkan kepada penjual.

Menurut sumber, tindakan itu menjimatkan kos penghantaran serta mengelakkan penalti kewangan akibat prestasi tidak memenuhi piawaian daripada pelanggan, iaitu Cainiao.

Kontrak dengan platform e-dagang lazimnya mengandungi klausa prestasi dan penghantaran.

Penandaan kod ‘DF’ membolehkan pengelakan penalti serta kerosakan reputasi.

Tiada petunjuk jelas bila amalan tersebut bermula, namun ia dipercayai berlaku sejak 2023.

Dari segi skala, anggaran jumlah bungkusan terlibat boleh mencecah ratusan hingga ribuan.

Sebagai respons kepada BT, SingPost berkata pihaknya telah menangani perkara itu melalui pemfailan bursa dan kenyataan media pada 22 dan 29 Disember 2024.

Kumpulan itu turut memaklumkan protokol operasi telah diperketat dan komitmen terhadap tadbir urus serta ketelusan diperkukuh.

Pendedahan ini turut menimbulkan persoalan sama ada penjualan pelaburan tertentu baru-baru ini adalah hasil daripada insiden yang terjadi.

Pada November, SingPost mengumumkan penjualan Quantium Solutions (Hong Kong), bersama unit di Thailand dan Malaysia, kepada kumpulan berpangkalan di Hong Kong, Morning Global (QS) Holding.

Penjualan unit di Taiwan dan Indonesia juga sedang dalam proses.

Quantium Solutions (Hong Kong) merupakan sebahagian daripada Quantium Solutions International (QSI), yang diambil alih sepenuhnya oleh SingPost pada 2009.

Pada 2015, SingPost dan Alibaba menubuhkan usaha sama logistik rentas sempadan, dengan Alibaba membeli 34 peratus pegangan dalam QSI pada harga $86.2 juta.

Namun, pada 16 April, SingPost mengumumkan ia akan memperoleh pegangan Alibaba dalam QSI pada harga S$36.9 juta, sekali gus membatalkan usaha sama berkenaan.

Sebuah laporan pemberi maklumat pertama diterima pada Januari 2024, diikuti satu lagi laporan kepada Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada Februari.

Siasatan dalaman membawa kepada pemecatan tiga kakitangan operasi pada Jun 2024 serta laporan polis.

Pada Disember 2024, SingPost mengumumkan penamatan perkhidmatan tiga eksekutif kanan, walaupun mereka tidak terlibat secara langsung dalam dakwaan tersebut.

SingPost berkata penipuan itu berlaku secara berasingan dan terhad kepada kontrak pelanggan tertentu serta amalan tiga bekas kakitangan dalam unit antarabangsa Singpost (IBU).

Amalan kemasukan DF secara manual dihentikan dan langkah pembetulan dilaksanakan.

Satu penyelesaian juga dicapai dengan pelanggan terlibat, tanpa kesan kewangan kepada kumpulan yang ketara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg