Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia kuat kuasa penuh VEP 1 Jul, kenderaan asing tidak berdaftar disaman

Sekurang-kurang 10 pemandu warga S’pura disaman RM300 dalam sejam pertama
Jul 1, 2025 | 9:37 AM
Malaysia, Singapura, VEP, JPJ, kenderaan asing
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli (kiri), memberi penjelasan kepada pemandu warga Singapura dalam Operasi VEP di Johor Bahru. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia mula menguatkuasakan sepenuhnya keperluan Permit Masuk Kenderaan (VEP) bagi kenderaan asing dari Singapura yang memasuki negara itu melalui pintu sempadan darat, bermula tengah malam 1 Julai.

Pemeriksaan Berita Harian (BH) mendapati sekurang-kurangnya 10 pemandu dari Singapura disaman dalam tempoh sejam pertama VEP dikuat kuasa.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata tindakan tegas diambil terhadap pemilik kenderaan asing yang tidak mendaftar atau mengaktifkan tag Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) VEP masing-masing sebelum memasuki Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Setiap kenderaan tidak berdaftar akan disaman RM300 ($91).

Beliau memaklumkan sebanyak 38 kenderaan dari Singapura dikenakan saman di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor, dan lagi 11 kenderaan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Linkedua dalam operasi yang bermula sejak 12 tengah malam sehingga 4 pagi 1 Julai.

Datuk Aedy berkata setakat 29 Jun lalu, sebanyak 206,088 kenderaan persendirian individu dan 3,765 kenderaan persendirian syarikat telah memasang dan mengaktifkan tag RFID.

Bagaimanapun, terdapat 42,416 tag RFID yang masih belum diaktifkan.

“Kita akan keluarkan notis saman kepada mana-mana kenderaan Singapura yang memasuki Malaysia tanpa mendaftar atau mengaktifkan VEP.

“Mereka juga tidak dibenarkan keluar dari Malaysia selagi tidak menyelesaikan saman tersebut,” katanya dalam sidang media di Johor Bahru.

Datuk Aedy menjelaskan bahawa JPJ kini menumpukan operasi penguatkuasaan di negeri Johor, khususnya di kawasan yang menjadi tumpuan kenderaan asing, dengan keanggotaan seramai 55 pegawai JPJ digerakkan bagi tujuan itu.

“Buat masa ini, keutamaan kami adalah kepada kenderaan yang tidak berdaftar atau tidak mengaktifkan VEP. Mana-mana pemandu yang didapati melakukan kesalahan boleh menyelesaikan saman serta-merta melalui unit bergerak JPJ yang disediakan,” katanya.

Menurutnya, mereka boleh mengaktifkan VEP di pusat-pusat berkaitan seperti di pejabat TCSens Danga Bay yang kini beroperasi 24 jam.

JPJ turut menyediakan saluran pembayaran saman melalui kaunter JPJ, unit bergerak, atau secara dalam talian menerusi wadah MyEG.

Menjawab pertanyaan media, beliau menegaskan bahawa alasan memasuki Malaysia untuk tujuan pendaftaran VEP tidak akan diterima sebagai pengecualian daripada tindakan undang-undang.

Antara kenderaan warga Singapura yang dikenakan tindakan saman ketika operasi di Johor Bahru, yang bermula sejak 12 tengah malam sehingga 4 pagi 1 Julai.
Antara kenderaan warga Singapura yang dikenakan tindakan saman ketika operasi di Johor Bahru, yang bermula sejak 12 tengah malam sehingga 4 pagi 1 Julai. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

“Tempoh tujuh tahun sudah diberikan untuk mereka membuat persediaan. Mulai 1 Julai, mana-mana kenderaan tanpa VEP akan disaman serta-merta,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pemilik kenderaan asing supaya segera mendaftar dan mengaktifkan tag RFID VEP bagi mengelakkan sebarang kesulitan di pintu masuk dan keluar Malaysia pada masa akan datang.

“Daripada lebih 248,000 pendaftaran VEP, lebih 200,000 telah mengaktifkan tag mereka.

“Ini menunjukkan majoriti rakyat Singapura mematuhi peraturan. Kita hanya mahu segelintir yang masih ingkar turut patuh,” katanya.

Beliau turut menjelaskan cadangan meluaskan pelaksanaan VEP kepada penunggang motosikal masih dalam peringkat dasar dan belum dilaksanakan.

Beberapa warga Singapura yang ditemui menyambut baik pelaksanaan penuh VEP, sambil berharap prosedur pendaftarannya dapat dipermudah dan diperjelaskan.

Seorang pekerja swasta, Encik Muhd Fadhil Abd Hamid, 38 tahun, berkata sistem itu memberi kemudahan kepada pemandu untuk keluar masuk antara Malaysia dengan Singapura tanpa perlu berhenti lama di palang sempadan.

“Ia hanyalah sistem yang memudahkan kita. Tidak perlu hulur tangan keluar dari tingkap.

“Sekarang lalu sahaja, palang terus terbuka,” katanya yang telah menyiapkan pendaftaran VEP sejak Disember 2024.

Beliau berkata meskipun pada awalnya proses pemasangan agak rumit kerana tag tidak sampai ke rumah seperti dijadualkan, beliau mengambil inisiatif untuk ke pusat pemasangan di Danga Bay, Johor Bahru, bagi menyelesaikan urusan itu.

Seorang lagi warga Singapura, Encik Muhammad Zulhadis Zulkeplie, 37 tahun, dari Clementi, berkata beliau tidak menghadapi masalah besar, namun mengakui kekeliruan berkaitan proses pengesahan masih berlaku.

“Saya sudah daftar untuk kereta lama pada Mei 2025, tetapi sehingga hari ini masih belum terima pengesahan. Sekarang saya ada kereta baru, jadi kena daftar semula di Danga Bay.

“Bagi warga Singapura yang lain, pastikan anda tahu prosedur pendaftaran VEP supaya tidak hadapi masalah semasa keluar masuk ke Malaysia,” katanya selepas membayar saman sebanyak RM300 di kaunter bergerak JPJ.

“Buat masa ini, keutamaan kami adalah kepada kenderaan yang tidak berdaftar atau tidak mengaktifkan VEP (Permit Masuk Kenderaan). Mana-mana pemandu yang didapati melakukan kesalahan boleh menyelesaikan saman serta-merta melalui unit bergerak JPJ yang disediakan.”
Datuk Aedy Fadly Ramli, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg