Pengunjung tinjau kepelbagaian juadah, gerai bazar Kg Gelam 2026

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengunjung tinjau kepelbagaian juadah, gerai bazar Kg Gelam 2026

Pentas turut disediakan di Sultan Gate Park bagi anjur pelbagai persembahan, hiburan
Feb 11, 2026 | 8:25 PM

Pengunjung tinjau kepelbagaian juadah, gerai bazar Kg Gelam 2026

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Bazar Kg Gelam, pengunjung,  juadah
Bazar Gemilang Kampong Gelam 2026 menampilkan 103 gerai, termasuk 91 gerai makanan dan minuman (F&B) serta 12 gerai runcit. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sebelum ini Encik Ridzwan Hakim Radwan memang kurang menggemari bazar Ramadan kerana kesesakan pengunjung.

Namun, pandangannya itu berubah apabila peranannya sebagai pemandu pelancong di Masjid Sultan membuka peluang kepadanya untuk menyaksikan sendiri proses awal persiapan dan pembangunan bazar Kampong Gelam.

Sewaktu hari pertama bazar, pelajar Institut Teknologi Singapura (SIT) berusia 27 tahun itu berkongsi kegembiraannya bersama Berita Harian (BH).

Senyumannya melebar saat melihat aneka pilihan makanan tradisional dan moden, termasuk juadah kegemarannya sejak kecil.

Beliau antara ramai pengunjung yang dilihat di bazar Gemilang Kampong Gelam 2026 pada 11 Februari – yang ghairah menikmati kemeriahan suasana sambil menyusuri kawasan itu lebih awal sebelum kehadiran ramai pengunjung menjelang Ramadan.

Edisi bazar 2026 kali ini menampilkan 103 gerai, dengan 91 gerai makanan dan minuman (F&B) serta 12 gerai runcit, berbanding 120 gerai pada 2025.

Ketika BH hadir di bazar tersebut dari 3.30 petang hingga 7.30 malam, beberapa gerai sudah mula beroperasi sepenuhnya, manakala yang lain masih membuat persiapan.

Ada yang hadir lebih awal untuk meninjau pilihan makanan yang ditawarkan.

Encik Ridzwan berkata: “Saya biasanya hanya lihat bazar apabila ia sudah beroperasi dengan sepenuhnya, saya kini lebih menghargai usaha di sebalik penganjurannya.

“Saya gembira dapat hadir pada hari pertama untuk meninjau keadaan sebelum pengunjung semakin ramai,” tambah beliau.

Beliau sempat membeli kudapan kegemarannya seperti keropok lekor dan wade, dan merancang untuk kembali mencuba pilihan makanan lain.

Pencipta kandungan gaya hidup, Cik Athirah Khairuan, dan rakan yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Nooratika, turut teruja menyambut kehadiran penjual makanan baru di bazar Kampong Gelam 2026.

Pengunjung setia yang hadir setiap tahun itu sudah dapat merasai suasana bazar yang lebih meriah berbanding 2025.

Cik Noratika, 34 tahun, berkata: “Tahun lalu (2025) sebahagian bazar di sini sunyi dan kurang selesa untuk pengunjung. Kali ini, saya rasa lebih ramai pengunjung akan tertarik dengan adanya pentas dan tempat duduk yang baru.”

Cik Athirah, 28 tahun, berpendapat adalah mudah untuk pengunjung makan dan membeli-belah untuk Hari Raya di kawasan utama baru bazar tersebut.

Beliau merujuk kepada Sultan Gate Park yang menjadi lokasi utama bagi kegiatan harian bazar, termasuk peraduan hafalan Al-Quran, persembahan nasyid dan juga persembahan hiburan oleh artis dari dalam dan luar negara.

Sebanyak 22 gerai F&B serta 13 gerai runcit ditempatkan di situ, dengan pentas disediakan buat julung-julung kalinya pada 2026 bagi persembahan dan hiburan.

“Saya rasa kegiatan tersebut akan menyemarakkan suasana di bazar, sambil menjadi kegiatan menarik untuk anggota keluarga yang hadir,” tambah Cik Athirah.

Encik Aminur Rasid, 44 tahun, sempat singgah di bazar itu bersama keluarga seusai kerja, khas untuk membeli baju Raya.

Guru tuisyen itu sekeluarga lazimnya berkunjung sebelum bermulanya Ramadan setiap tahun kerana mahu menikmati suasana yang lebih tenang.

Turut kelihatan meninjau bazar ialah pelajar Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Cik Nurin Izza Ahmad Nizam, dan rakan-rakannya.

Meskipun mengakui bazar kali ini lebih kecil, Cik Nurin dapat rasai kemeriahannya tetap utuh seperti sebelumnya.

Harga makanan di bazar juga tidak menjadi isu buat beliau, yang membelanjakan sekitar $20 hingga $40 setiap kali mengunjunginya.

“Saya rasa harga itu setimpal dengan bazar-bazar lain. Lagipun, bazar Ramadan seperti ini hanya muncul setahun sekali,” tambahnya.

Encik Ridzwan berkongsi pandangan itu, sambil berkata: “Saya faham harga di bazar mungkin tidak semurah tempat lain, tetapi saya sanggup bayar demi makanan yang mengiringi zaman pembesaran saya dan penuh nostalgia.”

Pengarah Tempat Perikatan Kampong Gelam (KGA), Encik Syed Osman Alsagoff, turut hadir memantau persiapan Bazar Kampung Gelam pada hari pembukaan.

Bercakap kepada BH, beliau mendapati para peniaga gerai cepat menyesuaikan diri dan berusaha melancarkan proses bagi mereka yang sedang giat membuat persiapan.

Beliau juga berharap usaha mencantikkan kawasan itu, termasuk pemasangan lampu gantung, hiasan lebih moden dan peningkatan penglibatan media sosial, akan menarik lebih ramai pengunjung daripada pelbagai lapisan usia.

“Kami juga telah bersedia untuk menguruskan lebih ramai pengunjung dalam tempoh yang lebih lama. Misalnya, pegawai keselamatan sudah dikerahkan ke kawasan sibuk berhampiran pintu masuk bazar serta Masjid Sultan,” jelasnya.

Sambil menyelesaikan persiapan akhir menjelang pelancaran rasmi pada 13 Februari, beliau berharap suasana bazar akan bertambah rancak apabila kehadiran pengunjung mula bertambah.

Bazar di Kampong Gelam berlangsung selama 33 hari iaitu dari 11 Februari hingga 15 Mac – beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri yang dijangka jatuh pada 21 Mac.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg