Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenyelidik NUS raih Hadiah Kajian Iklim Sedunia pertama kerana inovasi guna air banjir atasi kemarau
Penyelidik NUS raih Hadiah Kajian Iklim Sedunia pertama kerana inovasi guna air banjir atasi kemarau
Penyelidik NUS raih Hadiah Kajian Iklim Sedunia pertama kerana inovasi guna air banjir atasi kemarau
Seorang penyelidik dari National University of Singapore (NUS) menjadi pemenang pertama Hadiah Kajian Iklim Sedunia menerusi kajian inovatifnya yang menggunakan air banjir untuk mengurangkan kekurangan air semasa kemarau.
Dr He Xiaogang, penolong profesor di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar NUS, memenangi anugerah itu pada 10 Jun dengan menewaskan tiga finalis dari Stanford University, University of California, Berkeley dan University of Toronto.
Anugerah dwitahunan tajaan Clare Hall College, University of Cambridge, dan LUT University ini mengiktiraf penyelidikan kritikal yang mendepani cabaran iklim seperti banjir, kemarau, dan penyebaran penyakit.
Analisis mendalam Dr He terhadap data global selama 67 tahun mendedahkan corak membimbangkan di mana banjir dan kemarau sering berlaku berturutan, sekali gus mengancam jaminan bekalan makanan dan air dunia.
Beliau membangunkan rangka kerja untuk meningkatkan ramalan dan pengurusan risiko air, serta meneroka penggunaan air banjir yang disimpan semasa musim kering bagi mengukuhkan bekalan air bawah tanah dan daya tahan terhadap kemarau.
“Beliau telah membangunkan rangka kerja yang meningkatkan daya tahan kemarau dan kemampanan air bawah tanah, yang dilaksanakan dari California hingga Asia Tenggara,” kata Clare Hall dan LUT University dalam kenyataan bersama pada 11 Jun.
Geran berjumlah €200,000 ($297,000) itu akan disalurkan kepada NUS bagi memperkasa penyelidikan berkenaan. Pembiayaan tersebut datang daripada City of Lappeenranta dan Marjatta ja Eino Kollin Saatio, sebuah yayasan Finland yang mendukung penyelidikan saintifik dan gunaan.
Dr He mengakui beliau tidak menyangka kemenangan ini, apatah lagi bersaing dengan tokoh besar seperti pemenang Hadiah Nobel, Profesor Omar Yaghi dari University of California, Berkeley. Inovasi Profesor Yaghi dalam ‘menuai’ air dari udara gurun menggunakan tenaga suria sentiasa menjadi ilham yang melengkapi usaha Dr He sendiri dalam merungkai misteri iklim ekstrem.
Beliau berhasrat memanfaatkan dana tersebut untuk membangunkan penyelesaian strategik yang memperkukuh ketahanan air, makanan, dan tenaga di rantau ini.
Selain itu, fokus beliau adalah melatih pelapis saintis iklim tempatan dan memperluas kerjasama penyelidikan rentas sempadan serta disiplin, demi mengangkat NUS sebagai pusat sains iklim tropika bertaraf dunia.
Asia Tenggara kini berdepan cabaran genting akibat perubahan iklim, daripada kenaikan paras laut hingga gelombang haba yang melampau.
Projek-projek finalis lain turut menggarap penyelesaian kritikal, seperti pemantauan gas rumah hijau, teknologi air solar, serta pencegahan penyebaran penyakit berjangkit.
