Peningkatan hubungan Singapura-Jepun kepada perkongsian strategik pada Mac bukan sekadar mengiktiraf hubungan dua hala yang luas, malah menunjukkan tekad untuk bekerjasama dalam dunia yang tidak menentu, kata Presiden Encik Tharman Shanmugaratnam pada 18 November.

Kedua-dua negara dapat membantu membentuk masa depan lebih terbuka, mantap dan mampan bersama rakan lain, kata beliau pada jamuan tengah hari bagi meraikan kedatangan Puteri Aiko dari Jepun.

Puteri Aiko mengadakan lawatan rasmi lima hari ke Singapura sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Pada majlis di Vila Istana, Tuan Presiden berkata syarikat Jepun adalah antara pelabur terawal di Singapura pada 1960-an, mewujudkan banyak pekerjaan, termasuk bagi wanita dalam sektor perkilangan.

Pelaburan itu membantu Singapura membangunkan kemahiran dan keupayaan sendiri, di mana ramai usahawan setempat yang menjadi pembekal syarikat Jepun kemudian berkembang ke luar negara.

Malah, Singapura kini pelabur langsung asing ketiga terbesar di Jepun, kata beliau.

Beliau turut menyifatkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) 2002 sebagai perintis, kerana merupakan perjanjian dua hala pertama Jepun dan FTA pertama Singapura dengan negara yang mempunyai ekonomi utama dunia.

“Lebih dua dekad kemudian, semangat sama mesti terus memandu kita memperkukuh kerjasama dalam inovasi, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, prasarana digital, ekonomi hijau dan bidang baharu lain,” katanya.

Pada Mac, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dan rakan sejawatannya dari Jepun, Cik Sanae Takaichi, mengumumkan perkongsian strategik meliputi lima bidang, termasuk pendigitalan, pertahanan, tenaga dan pertukaran institusi semasa lawatan Encik Wong ke Tokyo.

Kerjasama kini turut merangkumi teknologi, kemampanan, pendidikan dan usaha membantu warga emas kekal aktif.

Tuan Presiden mengimbas lawatan Putera Mahkota Akihito dan Puteri Mahkota Michiko pada 1970, ketika mereka menanam dua pokok sikas raja (King Sago) di Taman Jepun di Taman Tasik Jurong.

Pasangan itu kembali sebagai Maharaja Akihito dan Permaisuri Michiko pada 2006 dan melihat pertumbuhan pokok tersebut, yang melambangkan perkembangan hubungan kedua-dua negara.

Lawatan Puteri Aiko melambangkan generasi baharu yang meneruskan persahabatan itu.

“Pokok yang Tuanku tanam minggu ini pasti menjadi lambang persahabatan kita yang terus berkembang,” kata Tuan Presiden.

Puteri Aiko akan menanam pokok di Taman Tasik Jurong dan melawat Taman Botani Singapura, di mana orkid hibrid baharu akan dinamakan sempenanya.

Tuan Presiden berkata persahabatan kedua-dua negara turut tercermin melalui minat rakyat terhadap negara dan budaya masing-masing.

Singapura mempunyai masyarakat Jepun di luar negara keempat terbesar dalam kalangan bandar di seluruh dunia.

Lebih 720,000 rakyat Singapura melawat Jepun pada 2025, meningkat lebih 50 peratus berbanding 2019.

Berucap dalam bahasa Jepun, Puteri Aiko menghargai populariti budaya Jepun di Singapura serta bantuan negara ini ketika Jepun dilanda bencana alam.

Beliau pernah menulis harapan untuk keamanan dunia ketika melawat Pavilion Singapura di Ekspo Dunia Osaka pada 2025.

Tuan Presiden menegaskan keamanan perlu dipelihara melalui undang-undang antarabangsa, persefahaman dan kerjasama.

Puteri Aiko berharap kedua-dua negara terus membina keamanan sambil mengingati penderitaan Singapura semasa Perang Dunia Kedua.

Beliau turut berharap generasi muda meneruskan persahabatan itu.

Sepanjang lawatan, beliau akan bertemu pemimpin Singapura serta melawat muzium, pusat penjaja dan masyarakat Jepun di sini.