Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerlu lebih inisiatif galak penggunaan Pas Budaya SG
Usaha sokong seni tempatan perlu libat, dekati masyarakat
Perlu lebih inisiatif galak penggunaan Pas Budaya SG
Ketika membeli barangan keperluan dapur di pasar raya FairPrice baru-baru ini, saya disajikan dengan playlist atau senarai main lagu daripada empat bahasa rasmi di Singapura.
Lagu pelbagai genre daripada artis tempatan seperti Faiz Zikry, Alyph, Shazza, Nathan Hartono, Regina Song, Joie Tan dan Tabitha Nauser menjadi santapan halwa telinga saya dan pelanggan lain sepanjang kami membeli-belah di cawangan Chinatown Point itu.
Ia membuat saya terfikir mengapa senarai main itu ditujukan khas buat artis tempatan?
Selepas bertanya kepada salah seorang pekerja di situ, saya mendapat tahu bahawa ia sebahagian daripada kerjasama antara Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dengan FairPrice Group di mana lagu tempatan akan dimainkan semasa waktu sibuk di 159 cawangan pasar rayanya.
Kerjasama selama tiga tahun yang diberi nama ‘Shop Till You Bop’ dan bermula sejak 17 Julai lalu memberi peluang untuk menarik lebih ramai pendengar baharu sambil menyokong karya tempatan.
Inisiatif sebegitu yang membawa seni ke ruang awam di luar lokasi kebudayaan tradisional merupakan antara usaha yang boleh dibanggakan.
Namun, menghayati dan melestarikan seni tempatan merupakan satu usaha yang bukan hanya melibatkan agensi pemerintah, pihak berkepentingan dan badan korporat.
Ia memerlukan kesedaran dan penglibatan setiap anggota masyarakat agar ia dapat memberi kesan yang efektif.
Justeru apabila saya membaca laporan The Straits Times (ST) pada 1 September bahawa hanya 10 peratus Pas Budaya SG telah digunakan selepas setahun dilancarkan, ia membuat saya tertanya-tanya apakah antara langkah untuk menggalak orang ramai menggunakannya dan terus menyokong seni tempatan.
Pas Budaya SG yang dilancarkan pada September 2025 merupakan inisiatif bagi menggalakkan warga Singapura meneroka pelbagai acara seni, warisan dan sastera tempatan dengan kredit $100 yang berakhir pada penghujung 2028.
Ia kemudian turut diluaskan kepada pembelian buku terbitan tempatan dan menonton filem tempatan.
Berdasarkan laporan tersebut, 43 peratus daripada jumlah kredit digunakan merupakan belia berusia antara 18 dengan 35 tahun manakala mereka antara 36 dengan 54 tahun membentuk 38 peratus.
Mereka yang berusia 55 tahun ke atas hanya menyumbang 19 peratus.
Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) berkata pihaknya sedang membangunkan sebuah laman yang diberi nama Group-Assist Portal untuk memudahkan warga emas menggunakan kredit itu mulai November.
Projek rintis tersebut turut dapat membantu pusat penuaan aktif dan rumah penjagaan mengatur lawatan berkumpulan ke program seni dan budaya.
Namun, saya rasakan lebih banyak inisiatif boleh dilakukan untuk menarik minat warga tempatan menggunakan Pas Budaya SG.
Dengan kehidupan masyarakat Singapura yang sering sibuk, tidak hairanlah ramai di antara rakan saya yang berkata masa merupakan antara faktor utama mereka belum berkesempatan menggunakan pas tersebut.
Lantas, saya merasakan bahawa penggiat seni, kumpulan budaya dan penganjur acara boleh bekerjasama dengan badan masyarakat atau jawatankuasa penduduk (RC) bagi mengadakan acara seni di kawasan kejiranan.
Di samping itu, rakaman daripada konsert, muzikal atau pementasan teater boleh dijadikan video di mana mereka yang tidak berkesempatan untuk menonton secara langsung boleh melanggannya secara digital menggunakan pas tersebut.
Selain memudahkan orang ramai menggunakan Pas Budaya SG, saya berpendapat bahawa acara seni dan budaya pada masa hadapan perlu melibatkan orang ramai dalam usaha tersebut agar mereka rasa lebih dekat dengan seni.
Acara yang memerlukan peserta turut serta dalam lukisan, persembahan, tarian atau kegiatan kebudayaan lain dapat membuat mereka menghargai kepentingan seni dalam kehidupan mereka.
Apabila peserta terlibat dalam proses menghasilkan sesebuah karya, mereka dapat mempelajari tentang teknik yang digunakan dan makna di sebalik karya itu dengan lebih mendalam.
Ia turut dapat mengubah perspektif mereka terhadap seni tempatan dan membuat mereka tertarik untuk menyertai acara sebegitu pada masa hadapan.
Selain itu, saya turut berharap Pas Budaya SG dapat diluaskan kepada barangan seni dan pakaian tradisional yang dihasilkan oleh pereka tempatan yang mahir dalam bidang mereka.
Dengan kehidupan masa kini menuju ke arah digitalisasi, barangan tradisional merupakan antara cara kita memelihara seni dan budaya.
Barangan yang boleh dipakai seperti beg tangan bermotif batik, kebaya dan kasut manik Peranakan, ceongsam, sari serta baju kurung turut boleh mendekatkan orang ramai dengan budaya tempatan.
Semoga lebih ramai individu tertarik untuk menggunakan Pas Budaya SG mereka dan tidak membazirkan kredit yang telah diberikan.
Saya turut berharap inisiatif ini dapat menjadi pemangkin untuk melestarikan seni dan budaya secara berpanajngan dan tidak menjadi satu usaha yang mensia-siakan.
“
“Selain memudahkan orang ramai menggunakan Pas Budaya SG, saya berpendapat bahawa acara seni dan budaya pada masa hadapan perlu melibatkan orang ramai dalam usaha tersebut agar mereka rasa lebih dekat dengan seni...Ia turut dapat mengubah perspektif mereka terhadap seni tempatan dan membuat mereka tertarik untuk menyertai acara sebegitu pada masa hadapan.”