Topik diikuti
Pergi ke BHkuPermulaan perjalanan politik Faishal
Permulaan perjalanan politik Faishal
Permulaan perjalanan politik Faishal
Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim mula diperkenalkan sebagai calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Marine Parade semasa Pilihan Raya Umum (GE) 2006.
Ketika itu, beliau merupakan pensyarah hartanah di Universiti Nasional Singapura (NUS) dan merupakan aktivis parti itu sejak 1997.
Anak ketiga daripada empat beradik – yang bapanya bekerja sebagai pemandu dan ibunya sebagai operator kilang – belajar dengan kesungguhan selepas menyaksikan kegigihan kededua ibu bapanya mencari rezeki.
Bagi menambah pendapatan keluarga, bapanya memandu teksi pada waktu malam dan menjadi pemuzik sambilan, manakala ibunya pula melakukan pelbagai kerja sambilan.
Dr Faishal dipelawa menyertai PAP oleh mantan Anggota Parlimen (AP) GRC Holland-Bukit Panjang, Encik Teo Ho Pin, yang mengajaknya membantu dalam Sesi Bertemu Penduduk (MPS) mingguan.
Pada 1997, beliau melihat sendiri bagaimana sesi itu sering menjadi tempat terakhir penduduk menerima bantuan kewangan dan bantuan lain.
Pada akhir 1997, Dr Faishal meninggalkan Singapura untuk melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam Sains Pengurusan di Institut Sains dan Teknologi Universiti Manchester menerusi biasiswa NUS.
Sekembalinya ke Singapura, Pensyarah Kanan di NUS itu menyambung semula penglibatannya dengan PAP, serta bergiat dalam kerja kemasyarakatan, termasuk membantu pertubuhan Melayu/Islam.
Beliau kemudian membantu dalam mengendalikan sesi MPS di kawasan Punggol North yang ketika itu diwakili AP GRC Pasir Ris-Punggol, Cik Penny Low.
Dalam temu bual bersama The Straits Times (ST) pada April 2006, ahli akademik berusia 38 tahun ketika itu berkata beliau keberatan memegang jawatan kerana lebih puas berkhidmat kepada masyarakat sebagai sukarelawan biasa.
Menurutnya, Menteri Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan ketika itu, Encik Vivian Balakrishnan, telah meyakinkannya tentang kepentingan kepimpinan dan perkhidmatan kepada masyarakat.
Apabila ditanya mengenai kelemahannya ketika itu, Dr Faishal berkata rakan-rakannya sering menganggap beliau terlalu baik hati, sehingga ada pihak mungkin mengambil kesempatan terhadapnya.
Dr Faishal merupakan antara empat calon baharu, termasuk Speaker Parlimen sekarang, Encik Seah Kian Peng, dalam pasukan enam anggota PAP bagi GRC Marine Parade, yang ketika itu diketuai Menteri Kanan, Encik Goh Chok Tong.
