Topic followed successfully
Go to BHkuPerpustakaan hidupan liar baru bantu orang ramai kenali fauna S’pura
Perpustakaan hidupan liar baru bantu orang ramai kenali fauna S’pura
Mantan guru bangun pangkalan data lengkap dengan fakta, lukisan anatomi haiwan dan gambar jarak dekat hidupan liar
Perpustakaan hidupan liar baru bantu orang ramai kenali fauna S’pura
Kegiatan meneroka hidupan liar di Singapura kini menjadi lebih mudah dan lebih senang disertai dengan pelancaran sebuah perpustakaan hidupan liar dalam talian secara percuma.
Diusahakan oleh mantan guru yang kini bergelar pempengaruh sains, Cik Kong Man Jing, 32 tahun, pangkalan data ‘Singapore Pokedex’ yang tersedia di laman web, justkeepthinking.sg memaparkan pelbagai fakta menarik mengenai fauna tempatan.
Setiap entri dilengkapi dengan lukisan anatomi haiwan serta gambar jarak dekat hidupan liar.
Selain itu, video haiwan tersebut di habitat asal mereka turut disediakan.
Mempunyai fungsi serupa dengan Pokedex – pangkalan data pelbagai spesies dalam permainan video Pokemon – laman web itu menyediakan katalog hidupan liar tempatan bagi memudahkan pengguna mencari maklumat mengenai hidupan tersebut.
Sebagai contoh, orang ramai boleh menggunakan perpustakaan digital itu untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pari karang (blue-spotted fantail ray), termasuk rupa bentuk, serta jenis habitat yang dihuni spesies tersebut.
Maklumat sedemikian turut digunakan bagi memberi penekanan terhadap langkah keselamatan yang perlu diambil ketika meneroka kawasan alam semula jadi di Singapura.
Sebagai contoh, orang ramai dinasihatkan supaya memakai kasut bertutup semasa meneroka kawasan pasang surut (intertidal) bagi mengelakkan kecederaan.
Cik Kong, atau lebih dikenali sebagai Biogirl MJ – nama beliau di media sosial – merupakan pengasas syarikat hiburan pendidikan, Just Keep Thinking.
Syarikat tersebut turut menganjurkan lawatan pendidikan di kawasan pasang surut serta paya bakau, selain mengadakan kegiatan mendekati masyarakat seperti ceramah di sekolah dan program membersihkan pantai.
Sehingga 5 April, perpustakaan hidupan liar tersebut sudah mempunyai sekitar 80 entri yang memaparkan pelbagai spesies hidupan kawasan pasang surut yang boleh ditemui di perairan Singapura, termasuk tapak sulaiman dan jerung.
Syarikat tersebut merancang menambah lebih banyak spesies ke dalam perpustakaan tersebut secara berperingkat, kata Cik Kong.
Walaupun pasukannya kini menumpukan usaha menambah baik laman web itu, beliau berharap dapat menyenaraikan sekurang-kurangnya 100 spesies menjelang akhir 2026.
Menurut pangkalan data hidupan liar, Biodiversity of Singapore, oleh Muzium Sejarah Alam Semula Jadi Lee Kong Chian, Singapura dianggarkan menjadi habitat kepada lebih 50,000 spesies haiwan, tumbuhan dan kulat.
Cik Kong menjelaskan pasukannya memilih untuk memulakan perpustakaan tersebut dengan kepelbagaian biologi di kawasan pasang surut kerana menyedari ramai peserta lawatannya berminat dengan hidupan di sana, namun, maklumat mengenainya sukar diperolehi.
“Kami berharap dapat menarik lebih banyak perhatian terhadap kawasan pesisir pantai yang kadangkala kita terlepas pandang, dan juga memupuk kesedaran tentang cabaran semasa seperti perubahan habitat dan tekanan pembangunan, sambil menggalak orang ramai supaya lebih menghargai alam sekitar,” tambah Cik Kong.
Pasukan yang dianggotai 10 orang itu menghasilkan setiap entri dengan merujuk kepada pelbagai sumber seperti buku, kertas penyelidikan, dan pangkalan data tempatan sedia ada termasuk Singapore Red Data Book – sebuah penerbitan mengenai tumbuhan dan haiwan terancam di Singapura.
Mereka turut menghimpunkan rakaman hidupan liar yang telah direkodkan sejak pelancaran, Just Keep Thinking, pada 2019.
Cik Kong berharap dapat bekerjasama dengan pertubuhan alam sekitar seperti Persatuan Burung Singapura dan Persatuan Herpetologi Singapura untuk memasukkan hidupan liar lain seperti burung dan reptilia ke dalam perpustakaannya.
Ini sekali gus menjadikan maklumat mengenai fauna setempat lebih mudah diakses.
Matlamat utama perpustakaan hidupan liar itu adalah untuk menyampaikan maklumat dengan cara berbeza, tambah Cik Kong.
Perpustakaan itu memberi lebih tumpuan kepada penyampaian maklumat melalui visual dan ilustrasi menarik, serta penulisan lebih ringkas dan mudah difahami.
Daya usaha itu juga menyasarkan untuk menarik minat lebih ramai audiens, sebelum membimbing pengguna ke wadah sedia ada yang lain untuk meneruskan penerokaan mereka.

