Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Raikan Ilmu 2025 wadah penting selami aspirasi masyarakat Melayu/Islam

Zaqy: Dapat bantu golongan belia, ibu bapa tentukan hala tuju masa depan mereka
Jun 27, 2025 | 8:35 PM
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran) yang juga Pengerusi Yayasan Mendaki, Encik Zaqy Mohamad, berkata bengkel yang akan diadakan bagi Raikan Ilmu disediakan untuk pelbagai segmen masyarakat.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran) yang juga Pengerusi Yayasan Mendaki, Encik Zaqy Mohamad, berkata bengkel yang akan diadakan bagi Raikan Ilmu disediakan untuk pelbagai segmen masyarakat. - Foto BH oleh KHALID BABA

Lebih 100 kegiatan akan ditawarkan di merata Singapura sempena acara Raikan Ilmu 2025, anjuran Yayasan Mendaki.

Ini termasuk bengkel yang akan diadakan untuk pelbagai segmen masyarakat, antaranya keluarga yang mempunyai anak kecil serta golongan belia dan yang sedang mencari kerja.

Demikian dikongsi Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, di sidang media Raikan Ilmu 2025 di Safra Choa Chu Kang pada 27 Jun.

Encik Zaqy, yang juga Pengerusi Yayasan Mendaki, berkata:

“Salah satu aspek penting bulan Raikan Ilmu ialah memanfaatkannya sebagai wadah untuk memahami aspirasi masyarakat kita – bukan sahaja golongan belia, bahkan juga ibu bapa – dalam menentukan hala tuju masa depan.”

Sidang media Raikan Ilmu 2025 dihadiri oleh Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran) yang juga pengerusi Yayasan Mendaki, Encik Zaqy Mohamad (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah.
Sidang media Raikan Ilmu 2025 dihadiri oleh Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran) yang juga pengerusi Yayasan Mendaki, Encik Zaqy Mohamad (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah. - Foto BH oleh KHALID BABA

Raikan Ilmu 2025 akan menampilkan lebih 60 rakan masyarakat, korporat, dan nasional, dan akan berlangsung selama empat minggu, dari 4 hingga 27 Julai.

Jumlah kegiatan juga akan ditingkatkan daripada sekitar 80 yang ditawarkan pada 2024.

Ia akan bermula dengan empat acara utama yang akan diadakan di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands dari 4 hingga 7 Julai.

Raikan Ilmu@Heartlands pula akan diadakan di tiga lokasi – Our Tampines Hub, Choa Chu Kang Safra dan Northpoint City – dengan menumpukan kepada kegiatan berorientasi masa hadapan.

Program itu akan menampilkan pelbagai bengkel, demonstrasi interaktif, dan kegiatan praktikal yang berpusat pada lima teras bertema – Kerjaya dan Pembangunan Diri; Seni Kreatif dan Budaya; Masa Depan Pembelajaran; Kesihatan dan Kesejahteraan; serta Kemampanan dan Alam Sekitar.

Antara program baru yang ditawarkan ialah bengkel lakonan untuk keluarga dan anak kecil oleh Singapore Repertory Theatre dan bengkel membuat pembalut lilin lebah untuk masyarakat melalui Projek Kemampanan.

Bagi belia dan yang sedang mencari kerja, bengkel pembangunan kerjaya dalam bidang kejuruteraan, sains hayat, dan penjagaan awal kanak-kanak juga akan diadakan.

Encik Zaqy berkata bengkel yang disediakan dapat memberikan pengalaman baru seperti kecerdasan buatan (AI) generatif, robotik, dan dron, supaya masyarakat Melayu/Islam dapat memahami teknologi tersebut dan menggunakannya untuk memberi impak kepada kerjaya mereka.

“Kami rasa ini ialah penting bukan saja bagi belia atau pelajar kita bahkan juga bagi ibu bapa berkerjaya hari ni.

“Kami juga berharap dengan melihat pada trend masa kini, ia akan membawa kita untuk berfikir apakah kita harus lakukan untuk meningkatkan kerjaya dan potensi kita di Singapura yang sedang berkembang,” kata Encik Zaqy yang merupakan pengerusi baru Mendaki.

Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran) yang juga pengerusi Yayasan Mendaki, Encik Zaqy Mohamad (kanan) meninjau reruai Institut Pengajian Runcit Singapura (SIRS) yang berhasrat untuk menjadikan Kecerdasan Buatan (AI) Generatif lebih mudah diakses oleh masyarakat.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran) yang juga pengerusi Yayasan Mendaki, Encik Zaqy Mohamad (kanan) meninjau reruai Institut Pengajian Runcit Singapura (SIRS) yang berhasrat untuk menjadikan Kecerdasan Buatan (AI) Generatif lebih mudah diakses oleh masyarakat. - Foto BH oleh KHALID BABA
Antara rakan yang akan menyertai Raikan Ilmu 2025 ialah Plastify. Peserta berpeluang mengitar semula plastik dalam masa kurang seminit menggunakan Mesin Kitar Semula Segera, serta meneroka pameran produk plastik kitar semula.
Antara rakan yang akan menyertai Raikan Ilmu 2025 ialah Plastify. Peserta berpeluang mengitar semula plastik dalam masa kurang seminit menggunakan Mesin Kitar Semula Segera, serta meneroka pameran produk plastik kitar semula. - Foto BH oleh KHALID BABA

Sesuai dengan itu, Encik Zaqy percaya Raikan Ilmu mampu mendedahkan masyarakat Melayu/Islam kepada dunia, mengenai perkara di sekeliling mereka.

Antaranya, keluarga berpendapatan rendah boleh diperkenalkan mengenai teknologi canggih termasuk robotik dan kecerdasan buatan (AI) generatif yang tidak mudah diakses oleh mereka.

“Ini merupakan teknologi canggih dan maju, yang tidak dapat diakses oleh setiap orang.

“Lantas, kami ingin memberikan pendedahan kepada seramai mungkin anggota masyarakat Melayu/Islam, terutamanya mereka daripada golongan berpendapatan rendah dan yang kurang bernasib baik, agar mereka juga dapat menikmati peluang ini.

Mendaki juga akan bekerjasama dengan Bouncetopia untuk memberikan 1,500 baucar di Raikan Ilmu@Heartlands (Choa Chu Kang), manakala Climb Central akan menawarkan diskaun keahlian dan baucar untuk pengunjung yang kembali.

Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran) yang juga pengerusi Yayasan Mendaki, Encik Zaqy Mohamad (kiri) mencuba Bouncetopia di sidang media Raikan Ilmu 2025 di Safra Choa Chu Kang pada 27 Jun. 
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran) yang juga pengerusi Yayasan Mendaki, Encik Zaqy Mohamad (kiri) mencuba Bouncetopia di sidang media Raikan Ilmu 2025 di Safra Choa Chu Kang pada 27 Jun.  - Foto BH oleh KHALID BABA

Selain itu, Encik Zaqy turut menggariskan program ‘#MakingConnections” yang bakal diadakan pada 4 Julai dan menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DBS, Cik Tan Su Shan sebagai penyampai.

Beliau berkata program sebegitu dapat memberi inspirasi kepada masyarakat untuk menerokai kerjaya dalam bidang yang kurang diceburi.

“Walaupun Singapura lazimnya dikenali sebagai hab kewangan, namun tidak ramai dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam yang mempertimbangkan bidang ini sebagai pilihan kerjaya – khususnya wanita.

“Ini merupakan salah satu cara bagaimana kami ingin memberi inspirasi kepada golongan wanita muda dalam industri untuk memikirkan kerjaya dalam bidang yang berbeza dan tidak konvensional,” ujarnya.

Beliau menambah selain menumpukan kepada masyarakat Melayu/Islam, Raikan Ilmu turut melibatkan pelbagai lapisan masyarakat di Singapura melalui kerjasama rakan kongsi yang membantu menjayakan inisiatif itu.

Kumpulan bantu diri seperti Majlis Bantuan Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC), Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (Sinda), Persatuan Serani (EA), serta benefisiari mereka turut akan menyertai Raikan Ilmu.

Antara 60 rakan yang menyertai Raikan Ilmu kali ini ialah Eyeyah! dan Meta.

Eyeyah! menggunakan seni untuk mendidik golongan muda tentang penipuan.

Ia bekerjasama dengan Meta sebagai wadah media sosial dalam menggunakan imej menarik untuk membantu orang ramai berfikir secara kritikal mengenai penipuan.

Ini merupakan penglibatan sulung mereka di Raikan Ilmu, dan ketika ditemui Berita Harian (BH) di sidang media Raikan Ilmu, Ketua Dasar Awam, Singapura dan ASEAN, Meta, Cik Clara Koh, berkata:

“Kami tahu bahawa penipuan boleh menjejaskan sesiapa sahaja. Oleh itu, melalui program ini, kami ingin menjangkau seramai mungkin orang di Singapura.”

Berkongsi bagaimana pelajar dapat meraih manfaat daripada mereka, Pegawai Perhubungan Pendidikan, EYEYAH!, Cik Isabella Andrews, berharap ia dapat membantu pelajar dalam memperlahankan rentak hidup mereka.

“Dalam suasana Singapura yang pantas dan semua orang tertumpu pada pencapaian akademik, kami percaya penting untuk meningkatkan kemahiran pemerhatian mereka.

“Daripada situ, ia akan turut membina kemahiran berfikir secara kritikal, agar mereka dapat belajar untuk berfikir secara berdikari,” katanya.

Pegawai Perhubungan Pendidikan, EYEYAH!, Cik Isabella Andrews (kiri) berharap melalui usaha menggunakan imej yang menarik dapat membantu orang ramai berfikir secara kritikal mengenai penipuan. Bersama beliau ialah Ketua Dasar Awam, Singapura dan ASEAN, Meta, Cik Clara Koh. Kedua-dua Eyeyah! dan Meta kali pertama menyertai Raikan Ilmu.
Pegawai Perhubungan Pendidikan, EYEYAH!, Cik Isabella Andrews (kiri) berharap melalui usaha menggunakan imej yang menarik dapat membantu orang ramai berfikir secara kritikal mengenai penipuan. Bersama beliau ialah Ketua Dasar Awam, Singapura dan ASEAN, Meta, Cik Clara Koh. Kedua-dua Eyeyah! dan Meta kali pertama menyertai Raikan Ilmu. - Foto BH oleh KHALID BABA

Satu lagi pertubuhan yang menyertai buat kali pertama di Raikan Ilmu, Persatuan Cacat Penglihatan Singapura (SAVH), akan menunjukkan bagaimana sistem Braille, peranti bantuan dan teknologi dapat digabungkan untuk membantu golongan yang mempunyai masalah penglihatan.

Ketua Jabatan bagi Kebolehcapaian, Advokasi dan Kelab White Cane, SAVH, Cik Lyn Loh, berharap penyertaan mereka dalam Raikan Ilmu dapat meningkatkan kesedaran tentang masalah penglihatan termasuk dalam kalangan masyarakat Melayu.

Ketua Jabatan bagi Kebolehcapaian, Advokasi dan Kelab White Cane, SAVH, Cik Lyn Loh (tengah), berharap penyertaan mereka dalam Raikan Ilmu dapat meningkatkan kesedaran tentang masalah penglihatan termasuk dalam kalangan masyarakat Melayu. Beliau ditemani Penyelia Jabatan Pengeluaran Braille, SAVH, Encik Jason Setok (kiri) dan Jurulatih IT, Cik Valerie Lim.
Ketua Jabatan bagi Kebolehcapaian, Advokasi dan Kelab White Cane, SAVH, Cik Lyn Loh (tengah), berharap penyertaan mereka dalam Raikan Ilmu dapat meningkatkan kesedaran tentang masalah penglihatan termasuk dalam kalangan masyarakat Melayu. Beliau ditemani Penyelia Jabatan Pengeluaran Braille, SAVH, Encik Jason Setok (kiri) dan Jurulatih IT, Cik Valerie Lim. - Foto BH oleh DIAN A’QIDAH AHMAD
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg