Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyampaikan ucapan takziah kepada Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr, berikutan gempa bumi yang melanda utara Cebu pada 30 September.
Dalam sepucuk surat bertarikh 2 Oktober, Encik Wong berkata beliau “amat sedih apabila mendapat tahu tentang kehilangan nyawa dan kerosakan besar” yang disebabkan oleh gempa bumi itu.
Bagi pihak pemerintah Singapura, Encik Wong menyampaikan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka yang cedera segera sembuh.
“Kami bersama rakyat Filipina dalam menghadapi waktu sukar ini,” kata Encik Wong.
Beliau menambah Singapura, sebagai salah satu anggota Asean dan rakan karib Filipina, “bersedia” untuk memberikan bantuan bagi usaha bantuan dan pemulihan yang sedang dijalankan, lapor The Straits Times (ST).
“Jangan teragak-agak memberitahu kami bagaimana kami boleh menyumbang,” katanya.
Kementerian Ehwal Luar (MFA), dalam satu kenyataan pada 2 Oktober, berkata ia sedang memantau rapi keadaan di Filipina, dan telah menghubungi warga Singapura yang berdaftar secara elektronik di kawasan terjejas untuk memberi bantuan konsular.
“Dengan mengambil kira kemungkinan gegaran susulan, warga Singapura di kawasan terjejas dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengambil semua langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan,” kata MFA.
Ia menambah, setakat ini, tiada laporan warga Singapura yang cedera akibat gempa bumi tersebut.
MFA turut menasihatkan warga Singapura di Filipina atau yang melancong ke negara itu supaya mendaftar secara elektronik dengan pihaknya di https://eregister.mfa.gov.sg serta membeli insurans perjalanan yang menyeluruh.
Warga Singapura di Filipina yang memerlukan bantuan konsular juga boleh menghubungi Kedutaan Singapura di Manila, atau Pejabat Bertugas MFA di talian +65-6379-8800/8855 (talian 24 jam).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg