Pendekatan bagi pembaharuan kepimpinan masyarakat Melayu/Islam akan dilaksanakan sama seperti pembaharuan kepimpinan secara menyeluruh di Singapura, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa pengumuman rombakan Kabinet pada 22 Julai.

Menurutnya, pemerintah sentiasa memastikan barisan kepimpinannya diperbaharui dan disesuaikan secara berterusan.

Encik Wong menjelaskan keseimbangan antara kepimpinan berpengalaman dengan perspektif baharu adalah penting untuk menghadapi ketidakpastian dunia.

Antara pemimpin yang menurut Encik Wong telah menunjukkan kemajuan baik ialah Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.

Encik Zhulkarnain, seorang peguam, menyertai politik sebagai calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020). Beliau mempertahankan kerusinya di GRC Chua Chu Kang pada GE2025, dan meninggalkan bidang guaman selepas dilantik sebagai Menteri Negara.

Beliau telah memberi impak positif kepada pasukannya, kata Encik Wong.

Encik Zhulkarnain, yang juga merupakan Menteri Negara Ehwal Luar (MFA), akan berpindah daripada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) kepada Ehwal Dalam Negeri (MHA) bermula 27 Julai, susulan rombakan Kabinet untuk memperkukuh pasukan kepimpinan kementerian tersebut.

“Beliau telah menyesuaikan diri dengan baik dan menunjukkan potensi yang baik,” kata Encik Wong sambil menambah bahawa rombakan itu dapat memberikan Encik Zhulkarnain pengalaman yang lebih luas di seluruh peringkat pemerintah.

Encik Wong menambah, Singapura akan terus menilai potensi pemimpin Melayu/Islam lain dalam masa beberapa tahun akan datang.

Sementara itu, mengulas mengenai peletakan jawatan mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Encik Wong berkata ia merupakan satu tamparan buat Singapura dan masyarakat Melayu/Islam.

Namun, beliau memberi jaminan bahawa segala projek dan inisiatif mantan menteri itu akan diteruskan.

“Kami akan bekerja seganda lebih keras untuk membina semula keyakinan atau kepercayaan yang mungkin terjejas disebabkan insiden itu,” kata Encik Wong.

Menjawab soalan wartawan mengenai pembaharuan pemimpin Melayu/Islam di sidang media pengumuman barisan baharu Kabinetnya, Encik Wong berkata:

“Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kami akan terus menilai potensi pemimpin yang lain.

“Apabila tiba masanya dan mereka sudah bersedia, kami berkemungkinan dapat memberikan tanggungjawab yang lebih besar, pelantikan yang berbeza, dan mungkin juga (individu tersebut) dalam kalangan Anggota Parlimen (AP) biasa tanpa jawatan politik.”

Encik Wong menambah, pemerintah akan memastikan bahawa mereka mampu “memperbaharui dan menyegarkan kepimpinan secara menyeluruh, termasuk bagi masyarakat Melayu/Islam”.

Mengulas mengenai pembaharuan kepimpinan Singapura, Encik Wong menjelaskan bahawa ia bukanlah sesuatu yang dilakukan sekali dalam beberapa tahun secara besar-besaran.

Sebaliknya, pendekatan pemerintah adalah menerusi proses pembaharuan dan penyesuaian yang berterusan, di mana penilaian dilakukan setiap tahun, terutama sekali dengan ketidaktentuan dunia.

“Kita mungkin melantik pemegang jawatan baharu, membuat beberapa kenaikan pangkat, (dan) membuat penyesuaian pada portfolio, bagi meluaskan pendedahan seseorang individu.

“Ia merupakan proses pembaharuan berterusan serta mengekalkan keseimbangan itu,” kata Encik Wong.

Ini kerana, menurut Encik Wong, dalam menghadapi dunia yang sentiasa berubah-ubah dan ketidakpastian, Singapura memerlukan keseimbangan yang baik antara kepimpinan berpengalaman dengan perspektif baharu.

“Lantas, kita mengekalkan teras pemimpin yang berpengalaman.

“Malah, pada masa akan datang, sekiranya ada dalam kalangan mereka yang meninggalkan portfolio, kita masih boleh memanfaatkan kepakaran mereka dalam pelbagai cara lain,” tambahnya.

Seusai itu, untuk meneruskan usaha yang ditinggalkan Dr Faishal, Encik Wong menjelaskan bahawa aspirasi dan kemajuan masyarakat Melayu/Islam kekal sebagai keutamaan baginya dan pemerintah.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam terbaru, Encik Zaqy Mohamad, akan menerajui usaha itu bersama barisan pemegang jawatan politik dan AP Melayu/Islam yang lain.

Mereka juga akan bekerjasama rapat dengan pemimpin masyarakat, katanya.

“Peletakan jawatan Dr Faishal merupakan satu tamparan... bagi saya, pemerintah, masyarakat Melayu/Islam, dan Singapura.

“Kami sangat sesal kerana beliau telah meninggalkan kami, terutamanya dalam keadaan sebegini,” ujar Encik Wong.

Sesuai dengan itu, beliau menambah bahawa pemerintah tidak akan berhenti sejenak atau rehat dalam meneruskan usaha buat masyarakat Melayu/Islam.

“Segala projek, inisiatif dan usaha baik yang telah dilaksanakan Dr Faishal sepanjang tempoh singkat setahun lebih beliau berkhidmat sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam, akan diteruskan.

“Kami memberi jaminan bahawa segala usaha ini akan berjalan terus tanpa sebarang gangguan,” kongsi Encik Wong.