Proses pembentukan barisan pemimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) generasi kelima (5G) akan datang sedang berjalan dengan baik, kata Perdana Menteri Lawrence Wong, sambil menyatakan bahawa tiada jadual waktu yang tetap untuk membentuknya.

Menjawab soalan daripada media susulan pengumumannya mengenai barisan Kabinet terbarunya pada 22 Julai, Encik Wong, yang kekal sebagai Menteri Kewangan, berkata beliau perlu menilai kesediaan setiap individu dan akan membuat pelantikan yang diperlukan pada masa yang sesuai.

“Sudah tentu, saya ingin ia dibentuk secepat mungkin, tetapi seperti yang kita bincangkan dan seperti yang saya jelaskan sebentar tadi, setiap orang mempunyai tahap kemajuan yang berbeza.

“Kita tidak boleh memaksa ini. Semua orang belajar dan berkembang mengikut tahap mereka sendiri; ada yang lebih pantas, ada yang mengambil sedikit masa. Jadi sebenarnya tiada jadual waktu yang tetap,” kata Encik Wong.

Selain itu, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam akan dilantik sebagai Menteri Kanan.

Dalam kalangan penjawat politik Melayu/Islam, Encik Zaqy Mohamad dan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim akan melihat perubahan dalam peranan mereka.

Encik Zaqy sebelum ini telah diumumkan sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, mengambil alih daripada Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Dengan perubahan yang diumumkan pada 22 Julai, Encik Zaqy akan kekal di Kementerian Pertahanan (Mindef), namun akan melepaskan portfolionya di Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE).

Encik Zhulkarnain pula akan dilantik sebagai Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), dan melepaskan portfolionya di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Penjawat politik Melayu/Islam yang lain – Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam dan Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi – akan kekal dalam peranan mereka.

Encik Wong menyatakan bahawa perubahan Kabinet terbarunya telah dibuat dalam tempoh setahun sejak Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Dengan ini, Encik Wong berkata beliau yakin PAP akan terus mencapai kemajuan yang baik dalam membentuk pasukan kepimpinan 5G pada masa hadapan.

Beliau menambah bahawa pelantikan Encik Shanmugam sebagai Menteri Kanan mencerminkan peranannya dalam pasukan Kabinetnya.

Bersama dengan Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, kedua-duanya merupakan anggota pasukannya yang paling berpengalaman, tambahnya.

“Saya rasa mereka mempunyai peranan untuk dimainkan dengan lebih meluas bagi membimbing dan menjadi mentor kepada pemegang jawatan yang lebih baru dan lebih muda.

“Dan itu sangat berharga bagi saya. Saya fikir ia sangat berharga bagi semua orang dalam pasukan, terutamanya ketika kita menjalankan peralihan kepimpinan ini,” kata Encik Wong.