Topik diikuti
Pergi ke BHkuShanmugam: E-mel aduan kepada PM Wong jadikan kes Faishal ‘separuh awam’
Shanmugam: E-mel aduan kepada PM Wong jadikan kes Faishal ‘separuh awam’
Shanmugam: E-mel aduan kepada PM Wong jadikan kes Faishal ‘separuh awam’
Wanita yang membuat dakwaan gangguan terhadap mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, telah membawa perkara itu kepada tahap lebih tinggi dengan menghantar e-mel kepada Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Apabila beliau melakukan demikian, isu berkenaan tidak lagi menjadi perkara peribadi yang dipersetujui bersama antara dua individu, kata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K Shanmugam.
Sebaliknya, Encik Shanmugam menjelaskan bahawa ia telah menjadikan isu tersebut kepada “separuh awam”, sekali gus memerlukan Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk menilai kesesuaian tingkah laku Dr Faishal.
Demikian dikongsinya dalam satu hantaran di Facebook pada 22 Julai.
Beliau menambah bahawa piawaian yang mengawal tingkah laku peribadi dalam situasi sebegini telah ditetapkan oleh Perdana Menteri Pengasas, mendiang Lee Kuan Yew.
Ia kemudian disusuli Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, semasa beliau menjadi Perdana Menteri.
“Prinsipnya adalah mudah. Apabila sesuatu perkara kekal peribadi sepenuhnya dan tingkah laku yang tidak wajar itu berhenti selepas sesi kaunseling, ia boleh kekal sebagai perkara peribadi.
“Namun, apabila perkara itu memasuki domain awam melalui aduan atau sebaliknya, ia mesti diperiksa dan sekiranya terdapat salah laku, tindakan yang wajar mesti diambil,” katanya.
Encik Shanmugam merujuk kepada siri perbualan antara Dr Faishal dengan seorang wanita awam yang tidak dinamakan dalam talian, yang menjadi punca peletakan jawatan mantan menteri itu pada 20 Julai.
Dalam surat peletakan jawatannya kepada Encik Wong, Dr Faishal menyatakan bahawa tiada hubungan fizikal berlaku antara beliau dengan wanita berkenaan.
Beliau, yang sudah berumah tangga dengan dua anak itu, juga tidak berniat untuk membiarkan interaksi tersebut berkembang menjadi hubungan sedemikian.
Menurut Encik Shanmugam, mesej Dr Faishal kepada wanita itu secara objektifnya ‘tidak wajar dan meragukan’.
Beliau menambah bahawa mantan menteri itu telah diberikan peluang untuk menjelaskannya secara adil.
Dr Faishal sendiri telah membuat kesimpulan bahawa kedudukannya sebagai Anggota Parlimen (AP) dan Menteri tidak lagi dapat dipertahankan, kata Encik Shanmugam.
Berkongsi apa yang terjadi antara Dr Faishal dengan wanita itu, Encik Shanmugam, berkata:
“Dr Faishal menjelaskan bahawa beliau bimbang wanita itu mungkin bertindak balas secara negatif sekiranya beliau memutuskan perbualan dengannya secara tiba-tiba.
“Walau bagaimanapun, respon beliau, secara objektifnya, adalah tidak wajar dan meragukan.”
Encik Shanmugam, turut menambah bahawa respon tersebut kelihatan seperti melayan wanita itu.
“Malah, begitulah wanita itu menafsirkan respon beliau, dan berkata bahawa beliau terdorong untuk meneruskannya.
“Namun, apabila Dr Faishal cuba hentikan perbualan dalam talian tersebut, wanita itu menjadi marah,” kongsinya.
Wanita itu kemudiannya menghantar e-mel kepada Encik Wong, dengan menyertakan beberapa mesej dan gambar daripada interaksi mereka, serta mendakwa Dr Faishal telah melakukan gangguan ke atasnya, kata Encik Shanmugam.
“Dr Faishal juga mendakwa wanita itu telah mengganggunya. Itulah sebabnya perkara ini dirujuk kepada pihak polis untuk disiasat,” kongsinya.
Sebaik sahaja wanita itu menghantar e-mel kepada Encik Wong, isu berkenaan tidak lagi menjadi “perkara peribadi yang dipersetujui bersama antara dua individu”, tambahnya.
Malah, menurut Encik Shanmugam, isu tersebut telah meningkat kepada “separuh awam”.
“Wanita itu telah membuat aduan terhadap seorang penjawat awam.
“Dr Faishal telah diberikan pendengaran yang adil. Tanpa mengira niat beliau, seseorang itu perlu melihat kepada bukti dan fakta,” kongsi Encik Shanmugam.
Beliau maklum bahawa Dr Faishal sendiri telah mengakui bahawa beliau sepatutnya tidak membiarkan perbualannya dengan wanita itu berterusan dan batasan yang jelas sepatutnya ditetapkan dari awal.
“Beliau juga membuat kesimpulan bahawa kedudukannya sebagai Anggota Parlimen dan Menteri tidak lagi dapat dipertahankan.
“Disebabkan itulah, beliau memutuskan untuk meletakkan jawatan dan PM (Encik Wong) menerima peletakan jawatannya,” kata Encik Shanmugam.
Walau demikian, Encik Shanmugam turut memberi penghormatan kepada Dr Faishal bahawa beliau telah menjalankan tugasnya dengan tekun dan telah memberikan sumbangan yang besar, termasuk di GRC Nee Soon.
“Dr Faishal ialah seorang yang sentiasa tumpukan untuk bawa perubahan positif dalam kehidupan orang lain.
“Beliau ibarat permata, niat hatinya ikhlas – untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Saya belum pernah bertemu ramai orang, sama ada di dalam atau di luar pemerintah, yang lebih baik daripada Dr Faishal,” tulis Encik Shanmugam.