Singapura dan Vietnam mengesahkan semula hubungan yang cemerlang antara kededua negara berdasarkan pertukaran peringkat tinggi, hubungan rakyat kededua negara yang kukuh serta hubungan ekonomi yang erat.
Menyatakan demikian dalam satu kenyataan media pada 2 Disember, Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata demikian ketika mengulas lawatan rasmi Presiden Perhimpunan Kebangsaan Sosialis Republik Vietnam, Encik Tran Thanh Man, ke Singapura pada 1 hingga 3 Disember 2024, atas undangan Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng.
Encik Tran telah bertemu Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong pada 2 Disember, dan Encik Seah juga bertemu serta menjamu Encik Tran makan tengah hari pada hari yang sama.
Beliau diiringi anggota-anggota dari Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, serta perwakilan dari pelbagai kementerian dan wakil-wakil dari Perhimpunan Nasional.
Sedang para pemimpin mengadakan perbincangan mengenai isu sejagat yang menjadi kepentingan bersama, mereka juga berharap dapat mengukuhkan lagi hubungan kededua negara dalam pelbagai bidang lain.
“Mereka berharap dapat mengukuhkan hubungan antara Parlimen, dan meningkatkan kerjasama dalam bidang baru seperti tenaga boleh diperbaharui, kredit karbon, dan ekonomi digital,” jelas MFA.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 2 Disember, Encik Wong ketika mengulas lawatan Encik Tran ke Singapura berkata beliau mengalu-alukan peningkatan hubungan dua hala antara Singapura dengan Vietnam, yang menurutnya adalah “rakan baik”.
“Saya berharap dapat mengumumkan peningkatan hubungan kita kepada Perkongsian Strategik Komprehensif tahun depan! (2025),” ujar beliau.
Pada hari terakhir lawatannya, Encik Tran dijangka bertemu Presiden Tharman Shanmugaratnam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg