PM Wong ucap tahniah atas pelantikan semula To Lam sebagai Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam
PM Wong ucap tahniah atas pelantikan semula To Lam sebagai Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam
Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Lawrence Wong, mengucapkan tahniah kepada Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam (CPV), Encik To Lam, atas pelantikan semulanya sebagai pemimpin parti tersebut pada 26 Januari.
Dalam satu surat kepada Encik Lam, Encik Wong, yang juga Perdana Menteri (PM) Singapura, berkata pelantikan semulanya merupakan “bukti kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh parti tersebut serta rakyat Vietnam terhadap kepimpinannya”.
“Di bawah kepimpinan anda, Vietnam telah mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, pembangunan sosial serta integrasi serantau dan antarabangsa.
“Saya yakin Vietnam akan terus makmur dalam era baru ini di bawah kepimpinan anda yang mantap,” ujarnya.
Encik Wong menambah bahawa kedua-dua Singapura dan Vietnam telah membangunkan hubungan yang kukuh dalam bidang ekonomi, politik serta hubungan antara rakyat.
“Hubungan kita disokong oleh wawasan bersama kita untuk membina kerjasama yang saling menguntungkan demi kemakmuran kedua-dua negara dan rakyat kita,” kata beliau.
PM Wong turut menyifatkan lawatan Encik Lam ke Singapura pada Mac 2025, yang menyaksikan peningkatan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP), sebagai satu “pencapaian penting”.
Dalam satu kenyataan pada Mac 2025, Kementerian Ehwal Luar (MFA) menyatakan kededua pihak berikrar memperkukuh kerjasama yang saling menguntungkan dan kepercayaan politik.
Ini selain meningkatkan penyelarasan dalam menangani cabaran kontemporari berdasarkan undang-undang antarabangsa.
“Ia telah memberi dorongan kepada kita untuk memperkukuh lagi kerjasama, termasuk melalui penubuhan Dialog Strategik Singapura-Vietnam.
“Saya menantikan kerjasama yang berterusan dengan anda dalam memperkukuh hubungan dua hala kita, serta menangani isu-isu serantau dan antarabangsa,” kongsi beliau.
Encik Lam, 68 tahun, dipilih semula secara sebulat suara sebagai pemimpin CPV oleh jawatankuasa pusat parti itu pada akhir kongres lima tahunannya.
Beliau berikrar mempercepat pertumbuhan di negara yang bergantung kepada eksport itu dan turut berhasrat untuk memegang jawatan presiden, dengan keputusan mengenainya dijangka diumumkan kelak.

