Mesej mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, kepada seorang wanita secara objektifnya ‘tidak wajar dan meragukan’, kata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam, pada 22 Julai.

Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, menambah bahawa Dr Faishal telah diberikan peluang untuk memperjelaskan secara adil.

Dr Faishal sendiri telah membuat kesimpulan bahawa kedudukannya sebagai Anggota Parlimen (AP) dan Menteri tidak lagi dapat dipertahankan, katanya.

“Tanpa mengira niat beliau, seseorang itu perlu melihat kepada bukti dan fakta,” kata Encik Shanmugam dalam satu hantaran di Facebook pada 22 Julai.

Encik Shanmugam merujuk kepada siri perbualan antara Dr Faishal dengan seorang orang awam yang tidak dinamakan, yang menjadi punca peletakan jawatan Dr Faishal pada 20 Julai.

Dalam surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, Dr Faishal menyatakan bahawa tiada hubungan fizikal antara beliau dengan wanita berkenaan.

Dr Faishal juga tidak berniat untuk membiarkan interaksi tersebut berkembang menjadi hubungan sedemikian.

Encik Shanmugam berkata terdapat siri interaksi dalam talian antara Faishal dengan wanita terbabit, yang tidak dinamakan.

“Dr Faishal menjelaskan bahawa beliau bimbang wanita itu mungkin bertindak balas secara negatif sekiranya beliau memutuskan hubungan dengannya secara tiba-tiba,” katanya.