Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis siasat wadah pelaburan palsu guna imej pemimpin S’pura

Nov 4, 2025 | 8:35 PM
pemimpin, palsu, tipu, S’pura
Wadah Immediate Era menggunakan imej pemimpin dan laporan palsu, kononnya daripada media arus perdana untuk menipu penduduk Singapura. - Foto GROUP-IB

Polis sedang menyiasat satu operasi penipuan selepas wadah pelaburan Immediate Era didapati menggunakan imej pemimpin Singapura, termasuk Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, serta laporan palsu yang kononnya daripada media arus perdana untuk memperdaya penduduk membuat pelaburan palsu.

Dalam kenyataan pada 4 November, polis berkata laporan telah dibuat terhadap wadah tersebut dan siasatan sedang dijalankan. 

Orang ramai diingatkan berhati-hati apabila menjawab iklan berkaitan pelaburan.

Firma keselamatan siber Group-IB mendedahkan pada Oktober Immediate Era terlibat dalam kegiatan penipuan besar-besaran yang dikaitkan dengan platform pelaburan forex di Mauritius.

Menurut laporan itu, Immediate Era menggunakan akaun pengiklan yang disahkan dan menyasarkan pengguna Internet dengan alamat IP Singapura.

Iklan tersebut menyalahgunakan imej pemimpin seperti Encik Wong dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam untuk menimbulkan tanggapan palsu pelaburan itu sah sambil menjanjikan pulangan tinggi. 

Menurut laporan akhbar The Straits Times (ST), platform itu juga didapati mendakwa mempunyai kaitan dengan tokoh tempatan seperti pengasas Razer, Encik Tan Min-Liang, dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif DBS, Encik Piyush Gupta.

Immediate Era boleh diakses melalui iklan Google berbahaya di platform seperti Gmail, Maps dan YouTube, yang didaftarkan di bawah sekurang-kurangnya 28 akaun pengiklan sah dari luar negara termasuk Bulgaria, Romania, Latvia, Argentina dan Kazakhstan.

Pengguna yang klik pada iklan itu akan dibawa ke laman rekaan yang menyerupai portal berita dengan “laporan” palsu memaparkan tokoh terkenal dan platform tersebut. 

Mereka kemudian digalak memberikan butiran perhubungan mereka dan membuat pengeluaran deposit sekurang-kurangnya AS$250 ($330).

Group-IB mendapati lebih 3,800 pengguna di Singapura telah menekan iklan sedemikian dalam tempoh sebulan menjelang 21 Oktober.

Polis menasihatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan mesej atau laman web yang mencurigakan melalui aplikasi atau laman web ScamShield di scamshield.gov.sg, serta mengesahkan ketulenan syarikat pelaburan melalui laman mas.gov.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg