KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan saksi wanita yang hilang pada 9 April, Datin Seri Pamela Ling Yueh, dan suaminya, Datuk Seri Hah Tiing Siu, sedang berhadapan siasatan berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram sejak Mei 2024.
Bagaimanapun kata SPRM, Datin Ling awalnya gagal memberi kerjasama untuk membantu siasatan dalam kes berkenaan sehingga satu waran tangkap dikeluarkan pada Disember 2024, yang kemudian membolehkan wanita itu ditahan secara sah di Singapura dan dibawa pulang ke Malaysia.
Menurut SPRM, siasatan berkenaan dimulakan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
SPRM juga memaklumkan, Datuk Hah telah dipanggil untuk memberikan keterangan berkaitan kes yang disiasat selepas kertas siasatan dibuka pada 28 Mei 2024.
Bagi melengkapkan siasatan, Datin Ling turut dipanggil, namun beliau gagal memberikan kerjasama.
“Sehubungan itu satu waran tangkap terhadap Pamela (Datin Ling) diperoleh daripada Mahkamah Majistret Putrajaya pada 2 Disember 2024, sebelum satu tindakan operasi bersama antara SPRM dengan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura, pada 8 Januari lalu dilancarkan bagi menahan Pamela secara sah dan dibawa pulang ke Malaysia.
“Pada 9 Januari 2025, Pamela dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya sebelum perintah reman selama tiga hari terhadapnya diperoleh hingga 11 Januari lalu.
“Beliau kemudian dilepaskan dengan ikat jamin SPRM sebelum diminta hadir pada 9 April lalu bagi meneruskan rakaman lisan, selain dokumen perjalanannya ditahan mengikut Akta SPRM 2009,” kata SPRM dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.
Bagaimanapun Datin Ling gagal menghadirkan diri dan dikatakan diculik ketika dalam perjalanan ke SPRM dari kediamannya di Cheras, Kuala Lumpur, pada 9 April sehinggalah peguamnya membuat laporan polis mengenai kehilangannya pada hari sama.
SPRM turut menekankan bahawa pihaknya telah bertindak mengikut kerangka undang-undang termasuk mendapatkan semua perintah mahkamah yang diperlukan serta mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Semakan kehakiman yang difailkan oleh Pamela sebelum kehilangannya tidak menafikan atau membatalkan siasatan yang sedang dijalankan berhubung kesalahan yang disyaki.
“Cabaran perundangan adalah hak mana-mana individu tetapi ia tidak mengganggu perjalanan penguatkuasaan mengikut proses perundangan yang ditetapkan,” kata SPRM.
SPRM turut memaklumkan, sejak laporan kehilangan Datin Ling, pihaknya telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kini mengetuai siasatan.
Terdahulu, Datin Ling dilapor memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dua hari sebelum kehilangannya, bagi mencabar tindakan dan layanan SPRM terhadap dirinya.
Peguam keluarga, Encik Sangeet Kaur Deo, berkata dalam permohonan pada 7 April itu, SPRM didakwa menggunakan kuasa di bawah Akta SPRM dan AMLA untuk menekan Datin Ling supaya menyelesaikan pertikaian peribadi dengan suaminya, dan bukannya untuk penyiasatan sah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg