Polis dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada 16 Oktober berkata mereka sedang menyiasat seorang individu dan dua syarikat kerana menjalankan operasi sebagai ejen pelancongan tanpa lesen.
Dalam satu kenyataan media, STB berkata lelaki tersebut, Lim Yi Shoon, dan dua syarikat, iaitu I-Travel dan LikeTravel, didakwa telah menawarkan produk pelancongan kepada orang awam, lapor The Straits Times (ST).
Lim dan kedua-dua syarikat itu bukan ejen pelancongan berlesen di bawah STB, tambahnya.
Apabila ditanya mengenai Lim dan kedua-dua syarikat tersebut, polis berkata laporan telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.
Peringatan STB itu dikeluarkan selepas beberapa hantaran di platform media sosial, termasuk Reddit dan TikTok, mendakwa Lim atau syarikat-syarikat itu tidak dapat dihubungi selepas pelanggan membayar untuk produk pelancongan.
Hantaran-hantaran tersebut – ada yang dibuat sejak Ogos – mengandungi kisah daripada orang yang mendakwa mereka adalah pelanggan yang telah disyorkan perkhidmatan Lim atau syarikat-syarikat tersebut oleh rakan-rakan mereka.
STB berkata sesiapa yang didapati bersalah kerana menjalankan operasi sebagai ejen pelancongan tanpa lesen boleh dikenakan denda hingga $25,000, dipenjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya.
Mereka yang berurusan dengan Lim atau mana-mana syarikat itu boleh membuat laporan melalui https://go.gov.sg/contactstbform.
Laporan tersebut harus mengandungi maklumat berkaitan seperti butiran tempahan dan penerangan mengenai kejadian itu, kata STB.
STB berkata mereka memandang serius aktiviti seperti itu dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan.
Mereka juga mengingatkan orang ramai supaya berurusan hanya dengan ejen pelancongan berlesen ketika membeli produk pelancongan, dan untuk mengesahkan sama ada ejen pelancongan yang dipilih mempunyai lesen melalui direktori Ejen Pelancongan di laman web TRUST.
STB telah dihubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg